webnovel

Sudah Tiba Masanya (2)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie berdiri lalu terus berjalan keluar dari bilik itu. Fan Zhuo bergegas bangun untuk mengekori Jun Xie.

Di halaman, para pelajar yang tidak henti-henti menjerit itu menjadi lebih bersemangat apabila terlihat Jun Xie keluar. Cacian dan cemuhan mereka semakin kasar.

"Baliklah ke asrama dan beritahu semua kawan-kawan tak guna kau tu yang aku akan datang pada hari Perburuan Roh. Memandangkan manusia-manusia jahanam macam kau semua ni nak sangat aku pergi, aku akan tunaikan permintaan itu. Jangan menyesal pula nanti," kata Jun Wu Xie sambil memberikan renungan dingin. Suaranya menusuk jantung mereka seperti sebilah pisau yang sejuk, memecahkan kekecohan yang mereka lakukan tadi.

Para pelajar ini terkejut dan tiba-tiba menjadi gerun mendengarkan kata-kata Jun Wu Xie. Mereka baru saja mahu membalas apabila terlihat pandangan mata Jun Wu Xie yang menakutkan. Mereka dapat melihat kedinginan membeku yang ada pada mata tersebut serta renungannya yang tajam seperti pisau. Kedinginan itu meresap ke dalam hati mereka dan semua pelajar tersebut ketakutan. Keberanian mereka lenyap ditelan tanah. Salah seorang daripada mereka menggumam perlahan dalam cubaannya untuk mengatakan sesuatu sebelum mereka semua akhirnya lari linatng-pukang.

Selepas pembuat kacau itu semuanya pergi, Fan Zhuo terus bertanya, "Jun Xie, kamu berniat nak pergi ke Perburuan Roh? Apa maksud kata-kata kamu tadi?"

Perburuan Roh ialah satu acara besar-besaran yang dianjurkan oleh Akademi Zephyr setiap enam bulan. Pada hari Perburuan Roh, semua pelajar Akademi Zephyr akan berkumpul dan dihantar masuk ke Hutan Roh Pertempuran untuk memburu Binatang-binatang Roh. Pemburuan Binatang Roh akan memberikan para pelajar batu roh selain mengasah pengalaman bertempur. Tetapi Hutan Roh Pertempuran ini luas kawasannya. Walaupun beribu-ribu pelajar ini memasuki hutan tersebut serentak, mereka hanyalah ibarat butiran pasir di laut. Semua jenis Binatang Roh, dari gred rendah hingga tinggi, tinggal di dalam hutan itu. Kalau tidak berhati-hati dan menimbulkan kemarahan Binatang Roh yang ganas, para pelajar ini dengan mudahnya boleh menjadi makanan Binatang-binatang Roh tersebut. Dalam Perburuan Roh sebelum ini, ada sahaja pelajar yang kehilangan nyawa sewaktu berada di dalam Hutan Roh Pertempuran.

Selain pelajar-pelajar kampus utama Akademi Zephyr, pelajar-pelajar kampus cawangan juga turut menyertai Perburuan Roh. Jumlah kematian tertinggi pada acara terdahulu biasanya datang dari kampus cawangan.

Pada hari Perburuan Roh, para pelajar senior yang menjadi mentor kepada pelajar baru dikehendaki mengetuai pelajar jagaan mereka dalam acara tersebut. Inilah salah satu sebab utama mengapa begitu ramai pelajar senior amat berat hati mahu menjadi mentor pelajar baru.

Hutan Roh Pertempuran ini dipenuhi bahaya dan seseorang itu tidak pasti sama ada dapat mengharunginya untuk menyelamatkan diri atau tidak. Berdampingan dengan pelajar baru yang lemah dan tidak berpengalaman pasti akan menyusahkan dan situasi ini perlu dielakkan.

Jun Xie mungkin telah mencapai roh tahap jingga, tetapi roh berkontraknya ialah….

Fan Zhuo tidak dapat menahan dirinya dari merenung muram pada kucing hitam kecil yang berada di bahu Jun Xie.

Hitam Kecil memang comel, tapi kalau dalam pertempuran….

"Sudah lama saya tinggal di sini. Sudah tiba masanya saya kembali ke akademi," kata Jun Xie sambil mengecilkan matanya. Begitu ramai orang yang "inginkan" dia kembali dan dia merasakan permintaan mereka itu perlu ditunaikan.

Wajah Fan Zhuo menjadi panik dan dia cepat-cepat berkata, "Jun Xie, kamu tak perlu peduli dengan apa yang orang lain kata. Abang saya dan saya yakin kamu bukan seperti yang mereka katakan. Kamu tak perlu ubah apa-apa tentang diri kamu dan tinggal saja di sini selama mana yang kamu mahukan. Seronok juga kamu ada di sini dan kamu pun dah selamatkan nyawa saya. Maksudnya kamu ni penyelamat saya. Saya tahu Ah Jing yang lakukan semua ni dan saya akan suruh dia balik ke akademi esok. Kamu….jangan pergi." Nada suara Fan Zhuo kedengaran seperti merayu dan wajahnya yang pucat itu kelihatan lebih lesu berbanding biasa akibat kerisauannya.

Walau bagaimanapun, Jun Wu Xie menggelengkan kepala.

"Kepulangan saya tidak dipengaruhi sesiapa. Ini keputusan saya sendiri."

Ah Jing hanyalah dipergunakan. Jun Wu Xie tak mahu ambil peduli tentang pembalasan dendam terhadap orang yang bodoh. Dia sudah dengar setiap patah kata-kata makian dan cemuhan yang dijeritkan oleh para pelajar tersebut dalam masa dua hari ini. Setiap cacian dan cemuhan tersebut semuanya mencabar dia keluar dari hutan buluh itu.

Kalau dia kembali ke akademi pada ketika ini, dia perlu menyertai Perburuan Roh.

Bukankah itu yang orang-orang tersebut mahukan?

Tapi…..

Jangan pula mereka menyesal dengan kepulangannya. Kalau mereka menyesal pun….

Sudah terlalu lewat!