webnovel

Sudah Tiba Masanya (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Mereka menyangkakan kehidupan di hutan buluh itu akan memberikan mereka ketenangan yang mereka ingini. Tidak pernah mereka terbayang yang pelajar lain akan begitu berani menceroboh sempadan lalu menganggu ketenangan tersebut.

Fan Zhuo merenung Ah Jing dengan marah. Dia tahu apa yang Ah Jing telah lakukan.

"Ah Jing, kalau perkara sebegini berlaku sekali lagi, kamu boleh balik ke akademi," kata Fan Zhuo sambil mengeluh. Ah Jing sudah lama bersama dengannya sehinggakan boleh dianggap yang mereka telah membesar bersama-sama. Sebelum ini, Ah Jing sentiasa meletakkan kehendak Fan Zhuo melebihi dirinya sendiri. Walaupun dia sangat setia, dia tidaklah begitu bijak. Hakikatnya, Jun Xie sudah beberapa lama merawat Fan Zhuo dan keadaannya jelas dapat dilihat bertambah baik. Tetapi itu tidak menghentikan Ah Jing daripada percaya pada khabar angin di akademi. Fan Zhuo tidak ada pilihan selain memberikan kata dua.

Ah Jing berdiri dengan bingung di halaman itu sewaktu terlihat pandangan dingin yang Fan Zhuo berikan padanya. Ah Jing merasakan seolah-olah dia telah dipanah petir. Dia menggenggam penumbuknya dengan erat sebelum berpaling dan merenung Jun Xie.

Jun Wu Xie menjeling sekilas pada Ah Jing sebelum menarik sehelai daun buluh. Dia meletakkan daun buluh itu di hadapan matanya sebelum berpusing dan berlalu pergi tanpa sepatah kata.

Adik-beradik Fan itu mengekori Jun Xie masuk ke dalam pondok. Fan Zhuo memerhatikan Jun Xie dengan teliti. Namun dia tidak melihat ada apa-apa yang berbeza dari biasa dan juga tidak mengesan sebarang kemarahan.

"Jun Xie, apa maksud tindakan kamu tadi?" Fan Zhuo menyedari tindakan Jun Xie yang meletakkan sehelai daun di depan matanya tadi dan ini membuatkan Fan Zhuo berasa ingin tahu.

"Disebabkan mata tertutup dengan sehelai daun, ada hutan yang luas pun orang tak nampak1." Jun Wu Xie menuangkan secawan teh untuk dirinya sendiri dan mula menghirup perlahan-lahan.

Adik-beradik Fan itu saling berpandangan dan mereka terus faham.

Jun Xie pasti sudah menyedari kebencian Ah Jing terhadapnya sejak mula lagi. Berkenaan kejadian hari ini, pasti Jun Xie juga mempunyai pendapat yang sama seperti mereka. Dia tidak berkata apa-apa, cuma memberi petunjuk sahaja sebagai jawapannya terhadap perbuatan Ah Jing.

Fan Jin berdehem lalu berkata, "Kamu tak perlu ambil hati dengan kejadian hari ini. Saya beri jaminan yang keadaan ini tak mungkin berlaku lagi." Kalau orang lain yang melakukannya, dia pasti sudah membelasah orang itu. Tetapi selama bertahun-tahun ini, kesetiaan Ah Jing terhadap Fan Zhuo tidak berbelah bagi. Fan Jin sedikit teragak-agak untuk menggunakan penumbuknya ke atas Ah Jing.

Jun Wu Xie merenung sekilas pada Fan Jin tetapi tidak berkata apa-apa.

Menjamin yang perkara sebegini tak akan berlaku lagi?

Bibir Jun Wu Xie menguntum senyuman, namun langsung tidak kelihatan mesra.

Seperti yang dijangka, dua hari lagi, sandiwara yang sama dimainkan lagi di dalam hutan buluh. Kumpulan pelajar yang lain pula kali ini, tapi skripnya hampir sama.

Ah Jing langsung tidak muncul kali ini dan membiarkan jeritan dan cacian itu berterusan tanpa halangan.

Kali ini, Fan Jin tidak ada. Hanya Fan Zhuo dan Jun Wu Xie sahaja berada di situ. Berdepan dengan para pelajar yang terjerit-jerit itu, Fan Zhuo mahu bangun dan menghalau mereka pergi. Jun Wu Xie menghalangnya.

"Biarkan saja mereka." Di dalam bilik itu, Jun Wu Xie masih kelihatan tenang.

"Kamu tak marah?" Fan Zhuo merenung wajah Jun XIe yang bersahaja. Dia amat mengagumi sikap tenang Jun Xie.

"Saya sedang mendengar," balas Jun Xie.

"Mendengar apa?"

"Mendengar apa yang sedang dirancang oleh dalang di sebalik semua ini." Jun Wu Xie memandang teh di dalam cawannya. Matanya tertumpu pada sehelai daun teh yang pucat, terapung di tengah-tengah permukaan tehnya. Jun Wu Xie menolak jari kelengkengnya ke atas daun tersebut dengan lembut. Permukaan air teh itu berombak dan beriak-riak ke tepi cawan.

Fan Zhuo diam sahaja, tidak faham apa yang Jun Xie maksudkan.

"Hari Perburuan Roh semakin tiba." Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan memandang ke luar tingkap. Dia merenung hutan buluh yang tebal dan subur.

"Betul tu." Fan Zhuo tidak dapat menyelami apa yang Jun Xie fikirkan.

"Sudah tiba masanya." Jun Xie mengalihkan pandangannya kembali ke dalam bilik. Keadaan sudah mencapai kemuncaknya. Dia sudah selesai mereka bentuk semula teknik Pemulihan Roh. Sudah sampai saat yang tepat.

"Jun Xie?" Mata Fan Zhuo tertumpu pada Jun Xie selama ini. Dia tiba-tiba merasakan ada sesuatu yang berubah tentang Jun Xie, menyebabkan dia kelihatan lain daripada dirinya yang biasa. Ketenangan yang tidak goyah itu beransur-ansur lenyap dari mata Jun Xie dan digantikan dengan kedinginan yang menggerunkan.