webnovel

Sudah Tiba Masanya (3)

Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Xie nekad mahu menyertai Perburuan Roh dan Fan Zhuo tidak dapat meyakinkan dia untuk melupakan hasratnya itu, meskipun dia meminta Fan Jin turut sama memujuk Jun Xie.

Mujurlah Fan Jin akan berada bersama-sama Jun Xie sewaktu Perburuan Roh itu. Fan Zhuo yakin sepenuhnya terhadap kemahiran abangnya dan ini membuatkan fikirannya tenang sedikit.

Malam itu juga Fan Zhuo menghalau Ah Jing keluar dari hutan buluh itu. Ah Jing menangis dan meraung tanpa henti. Ini membuatkan Fan Jin begitu geram, lalu dia memukul Ah Jing dengan satu pukulan sehingga pengsan. Dia kemudiannya mencampakkan Ah Jing ke bilik bacaan Guru Besar, membiarkan Fan Qi menyelesaikan masalah ini.

.

Hari Perburuan Roh semakin tiba dan perburuan ini akan berlangsung selama tujuh hari. Jun Wu Xie sudah menyediakan semua bahan-bahan yang Fan Zhuo perlukan untuk proses pemulihannya. Sepanjang ketiadaan Jun Wu Xie, dia akan meningglakan kucing hitam kecil itu di hutan buluh.

Apabila adik-beradik Fan itu mendengarkan hal ini, mereka serta-merta menolaknya.

Daripada apa yang mereka dapat lihat, Hitam Kecil itu merupakan roh berkontrak Jun Xie. Walaupun kucing kecil ini mungkin bergred rendah, tetapi tetap dapat memberikan perlindungan pada Jun Xie yang kecil molek itu.

Jun Wu Xie berniat mahu meninggalkan kucing hitam kecil itu untuk mengenal pasti dalang di sebalik penyakit Fan Zhuo. Namun begitu, memandangkan kalau Jun Xie tak ada di hutan buluh tersebut, Fan Zhuo tidak dapat berpura-pura sakit, Jun Wu Xie akhirnya melupakan sahaja idea tersebut.

Beberapa hari sebelum Perburuan Roh, Jun Wu Xie mengurung dirinya. Proses pemulihan Teratai Salji agak baik dan Jun Wu Xie memerlukan beberapa hari terakhir ini untuk meningkatkan pemulihan Teratai Salji supaya dapat kembali ke kekuatan asalnya.

Teknik Pemulihan Roh yang telah ditambah baik itu memberikan khasiat kepada roh Teratai Salji sedikit demi sedikit sehingga akhirnya dia mendapat kembali bentuknya yang cantik dan elegan.

"Sebenarnya, apa tujuannya nak sertai Perburuan Roh?" Kucing hitam kecil itu sedang baring di atas meja. Ekornya menyapu-nyapu kelopak bunga Teratai Salji.

Sedikit pun kucing hitam itu tidak percaya yang tuannya akan tunduk pada ejekan budak-budak tak guna di akademi itu.

Tapak tangan Jun Wu Xie menutupi bahagian atas Teratai Salji dan sebahagian kecil tenaga rohaninya dialirkan keluar untuk menyelubungi sepenuhnya bunga teratai yang putih suci itu.

"Saya sudah terlalu lama tersekat di tahap jingga," kata Jun Wu Xie dengan perlahan.

Mata kucing hitam kecil itu bersinar-sinar.

"Haha! Cik dah pilih sasaran yang malang?"

Demi membolehkan Jun Wu Xie mencapai kemajuan, dia perlu membaham roh berkontrak orang lain. Dia sudah lama tersekat di tahap jingga, tetapi masih belum menemui roh berkontrak yang sesuai. Sewaktu Jun Wu Xie menyebut kata-kata itu, kucing hitam kecil tersebut terus faham apa yang dimaksudkannya.

"Belum," balas Jun Wu Xie.

Kucing hitam kecil itu terkebil-kebil sambil berfikir. Berdasarkan apa yang diketahui tentang tuannya, kucing hitam kecil itu meneka, "Cik cuma nak tunggu siapa yang datang bertemu Cik, kemudian membaham roh berkontrak mereka?"

Jun Wu Xie mengangguk kecil, "Ada orang yang mahu saya sertai Perburuan Roh. Maksudnya, mereka ada buat rancangan untuk saya di sana. Siapa sekalipun orangnya, saya perlu berterima kasih padanya."

Dia akan berterima kasih kepada sesiapa sahaja yang "memberinya" roh berkontrak untuk dibaham.

"Lagipun, Hua Yao dan yang lain juga akan turut serta. Sudah tiba masanya kita bertemu dengan mereka." Ular Tulang Berkepala Dua serta Beruang Yin Yang mengalami kecederaan serius di Puncak Berawan sebelum ini. Memandangkan Jun Wu Xie sudah mempelajari teknik Pemulihan Roh, tentulah dia terfikirkan mereka.

"Si bunga dungu ni sempat pulih tak dalam masa beberapa hari ni?" Kucing hitam kecil itu bertanya sambil merenung Teratai Salji.

"Ya." Jun Wu Xie menundukkan pandangan. Matanya bersinar penuh keazaman.

Masa berlalu hari demi hari. Akhirnya tibalah masanya untuk acara Perburuan Roh di Akademi Zephyr.

Awal pagi itu, semua orang di Akademi Zephyr bersiap sedia untuk memulakan perjalanan ke Hutan Roh Pertempuran dan menyertai cabaran yang diadakan dua kali setahun itu.

DI dalam hutan itu, ada di antara mereka akan mula menyedari langkah pertama untuk mencapai kemajuan. Manakala ada yang lain pula akan kehilangan nyawa setelah menjadi mangsa Binatang Roh yang berkeliaran di seluruh hutan tersebut.

Beratus-ratus kereta kuda bergerak dengan teratur, keluar dari pintu pagar Akademi Zephyr.