webnovel

Lelongan untuk Orang Kaya (4)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

He Chang Le berpaling dan menepuk-nepuk bahu jurulelong itu untuk memberikan semangat padanya. Dia berkata, "Lelongan ini pasti akan mempengaruhi reputasi Rumah Lelong Chan Lin. Kalau dengan eliksir ini kita dapat membawa Rumah Lelong Chan Lin ini ke peringkat lebih tinggi, itulah hasil terbaik. Ingat ya, kamu mesti memberikan persembahan menakjubkan hari ini. Kehadiran yang begitu ramai hari ini semuanya disebabkan mereka mahukan eliksir-eliksir itu. Kalau kita berjaya memuaskan hatinya dengan lelongan hari ini, apabila pelanggan itu kembali, saya akan berbincang dengan teliti dengannya. Saya mahu tahu jika dia boleh terus membekalkan eliksir pada kita. Kalau semuanya berjalan lancar, Rumah Lelong Chan Lin ini tidak hanya terbatas di bandar kecil ini!"

"Baik! Saya pasti akan buat yang terbaik malam ini!" Jurulelong itu berkata dengan yakin sambil menarik-narik bajunya dengan kemas buat kali terakhir.

"Pergilah! Masa depan rumah lelong kita ini akan ditentukan pada malam ini!" He Chang Le merenung kerumunan yang bersesak-sesak itu dengan penuh harapan. Walaupun Rumah Lelong Chan Lin memiliki reputasi yang tinggi di daerah ini, mereka turut tersekat hanya di sini. Kalau kali ini kemahsyuran mereka tersebar…..

Semakin He Chang Le memikirkannya, semakin dia teruja!

Sebaik jurulelong itu melangkah naik ke pentas, sorakan bergema daripada para pengunjung. Kehebatan serta keriuhan sorakan itu hampir meruntuhkan bumbung Rumah Lelong Chan Lin.

Sewaktu berdiri di atas pentas itu, jurulelong tersebut menelan air liurnya. Dia ialah jurulelong utama di Rumah Lelong Chan Lin dan dia amat berbangga dengan kebolehannya untuk pantas beradaptasi dengan perubahan. Tetapi setelah melihat kerumunan yang riuh-rendah serta amat bising ini, dia tidak dapat mengelak daripada merasakan kakinya sedikit lemah longlai.

Jun Wu Xie duduk tinggi di tingkat kedua di dalam bilik peribadinya. Dia merenung suasana bising di tingkat bawah itu dengan mata yang tenang.

"Pertama sekali, izinkan saya mengalu-alukan kedatangan tuan-tuan ke Rumah Lelong Chan Lin hari ini. Saya percaya, tuan-tuan yang dihormati ini sudah pun mendengar beritanya. Hari ini Rumah Lelong Chan Lin memiliki sejumlah eliksir yang amat berharga dan berkualiti tinggi. Eliksir-eliksir yang diamanahkan pada kami ini agak banyak juga dan kesannya lebih daripada sekadar memuaskan. Janganlah kita terus membazir masa dengan bercakap. Saya rasa tuan-tuan semua lebih berminat dengan kesan eliksir-eliksir ini! Tanpa membuang masa lagi, bolehkah Rumah Lelong Chan Lin mempersembahkan eliksir pertama yang akan dilelong? Bawa naik ke pentas!" Jurulelong itu membuat pengumuman dengan suara yang dalam. Kerumunan orang ramai yang hiruk-pikuk itu tiba-tiba senyap.

Mata mereka semua tertumpu pada pentas di hadapan mereka dan merenung barang yang sedang dibawa naik.

Seorang perempuan yang cantik dan menawan berjalan naik ke pentas dengan penuh menggoda sambil membawa sebuah dulang berwarna coklat.

Pada ketika itu, para penonton tidak peduli langsung dengan kecantikan perempuan tersebut. Mata mereka hanya tertumpu pada kotak broked kecil yang berada di atas dulang itu!

"Ini ialah Eliksir Peningkat Rohani. Sebaik dimakan, eliksir ini akan membolehkan pemakannya mendapat peningkatan sementara daripada segi kuasa rohani lalu mencapai kemajuan dalam peringkat kuasa rohani mereka! Kesannya akan bertahan selama satu hari. Dalam tempoh tersebut, pemakannya akan mengalami kekuatan kuasa rohani yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Kuasa tersebut pula boleh digunakan untuk mengalahkan lawan yang kuat, yang selama ini mereka tak dapat tewaskan! Walaupun kesannya hanya bertahan selama satu hari, eliksir ini amat berharga apabila digunakan sebaiknya pada waktu-waktu paling kritikal dan mampu menyelamatkan nyawa!" Jurulelong itu memberikan penjelasan panjang lebar sambil memberi peringatan mesra tentang bagaimana eliksir ini boleh digunakan dengan sebaiknya.

Penjelasan itu membuatkan para pengunjung semakin menggila!

Semakin tinggi peringkat kuasa rohani seseorang, semakin perlahan perkembangan kuasa rohani tersebut. Ramai orang yang telah tersekat di peringkat kuasa rohani mereka sekarang selama beberapa tahun, malah ada yang sudah tersekat selama satu dekad. Sepanjang tempoh bertahun-tahun yang tidak berkesudahan itu, kemajuan kuasa rohani mereka bergerak sepantas siput lalu menyebabkan ramai orang berasa putus asa. Peluang untuk merasai kuasa yang mereka inginkan tetapi tidak pernah dapat capai memang amat menggoda.

Namun begitu, kelebihan terbesar eliksir ini telah diberitahu oleh jurulelong tadi…. Berguna untuk menyelamatkan nyawa mereka sendiri.

Tak kiralah sama ada dalam pertempuran atau ketika keluar menyertai ekspedisi, eliksir yang membolehkan penggunanya mendapatkan lebih banyak kuasa dalam sekelip mata sememangnya merupakan barang berharga yang tiada gantinya!