webnovel

Lelongan untuk Orang Kaya (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Eliksir kali ini berbeza daripada dulu," kata Jun Wu Xie dengan tenang lalu memusnahkan angan-angan Qiao Chu.

Kejadian di pintu pagar Akademi Zephyr ketika itu tidak memberikan dia sebarang pilihan. Kalau tidak, dia tidak akan menjual eliksir yang boleh mempertingkatkan keadaan urat darah dan arteri itu.

"Tapi, harganya masih tinggi, bukan? Tujuh botol sekurang-kurangnya boleh mendapatkan kita seratus ribu tahil, bukan?" tanya Qiao Chu sambil menggaru-garu kepalanya. Keyakinannya semakin berkurangan.

Jun Wu Xie menjelingnya. "Siapa kata saya jual ikut botol?"

"Hah?" Qiao Chu semakin bingung.

Hua Yao menggelengkan kepalanya dengan tidak berdaya. Dia tidak mampu lagi terus melihat Qiao Chu menunjukkan kebodohannya walau sedetik lagi.

"Jun Xie berikan saya tujuh botol eliksir kali ini. Dalam setiap botol pula ada lima biji eliksir. Saya sudah berbincang dengan He Chang Le dan dia bersetuju untuk menjual eliksir-eliksir di dalam setiap botol itu mengikut biji. Satu biji akan dilelong pada satu-satu masa."

Qiao Chu mengangguk dengan keliru. Setelah lama berfikir, dia hanya mampu bertanyakan satu soalan.

"Kalau begitu, kita boleh dapat banyak duit?"

"….." Hua Yao menjeling Qiao Chu dengan perasaan menyampah. Dia membuat keputusan untuk tidak membazir air liur bercakap dengan orang dungu seperti ini.

Qiao Chu terdiam kerana berasa malu. Dia menggosok-gosok hidungnya dan tiba-tiba merasakan dia perlu minum air sedikit.

Semakin ramai orang tiba di rumah lelongan itu sehingga akhirnya mereka tidak dapat menutup pintu. Lebih ramai orang terus cuba untuk menyelit masuk.

Situasi yang tidak pernah berlaku ini amat mengejutkan Jun Wu Xie yang berada di bilik peribadi di tingkat dua.

Dia tidak tahu yang eliksir mempunyai permintaan yang amat tinggi. Walaupun respons di pintu pagar Akademi Zephyr dulu amat memberansangkan, eliksir yang dijualnya ketika itu mempunyai kesan luar biasa yang tidak pernah didengari di dunia ini. Eliksir yang dia berikan kepada Hua Yao kali ini agak bagus juga, tetapi kesannya langsung tidak setanding dengan apa yang mereka jual sebelum ini.

He Chang Le hanya menyebarkan berita yang Rumah Lelong Chan Lin mempunyai eliksir untuk dijual. Dia tidak ada menyebut tentang kesan eliksir tersebut. Namun begitu respons yang tercetus masih amat hebat.

Jun Wu Xie memutuskan untuk lebih memberikan perhatian pada eliksir-eliksir yang dihasilkannya.

Selama ini, dia hanya berniat mahu memberikan eliksir-eliksir itu untuk orang-orang di Istana Lin dan Tentera Rui Lin. Selain daripada itu, dia tidak banyak meluangkan masa memikirkan tentang eliksir-eliksir tersebut.

Dia tidak dapat pulang ke Istana Lin buat seketika. Sumber kewangannya yang semakin susut telah menjadi masalah besar pada dirinya.

Dia langsung tidak mengharapkan Qiao Chu dan yang lain, yang telah hidup dalam kemiskinan hampir seumur hidup mereka, akan tiba-tiba mendapat kekayaan.

Jadi kalau eliksir benar-benar amat popular, adakah ini bermakna dia boleh mendapat keuntungan daripadanya untuk perbelanjaan mereka?

Jun Wu Xie membuat keputusan untuk meneliti lebih lanjut sebelum membuat kesimpulan.

Orang ramai di situ begitu teruja menantikan lelongan dimulakan. Seluruh tempat itu penuh sesak. Ramai yang tidak mendapat tempat duduk dan bersandar di dinding bahagian tepi dan belakang….

Situasi yang berlaku ini membuatkan He Chang Le tersenyum lebar tanpa henti. Dia tidak dapat menutup mulutnya kerana terlalu gembira.

Walaupun Rumah Lelong Chan Lin selalu mendapatkan sokongan yang kuat serta mempunyai reputasi yang baik, mereka tidak pernah melelong eliksir sebelum ini kerana tidak ada puak pembuat eliksir terkemuka yang berdekatan. Bandar kecil ini menjadi makmur disebabkan kewujudan Akademi Zephyr. Sebahagian besar pengunjung ke bandar ini juga merupakan para pelajar Akademi Zephyr itu sendiri.

Sama juga seperti hari ini. Jika diperhatikan kerumunan yang memenuhi rumah lelong itu, kebanyakannya adalah para pemuda yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr. Mereka nampaknya datang secara berkumpulan dan sampai awal untuk mendapatkan tempat duduk terbaik. Berdasarkan ekspresi wajah teruja di muka masing-masing, jelas dapat dilihat mereka ternanti-nanti acara lelongan hari ini.

He Chang Le berasa sangat teruja. Dia langsung tidak menyangka eliksir-eliksir ini akan menarik begitu ramai orang ke Rumah Lelong Chan Lin.

Inilah kerumunan orang ramai paling besar pernah dilihatnya dalam sejarah Rumah Lelong Chan Lin!

"Bos, boleh kita mulakan?" Jurulelong itu bertanyakan pendapat He Chang Le buat kali terakhir sambil merapikan pakaiannya dan memastikan semuanya sudah tersedia.