webnovel

Lelongan untuk Orang Kaya (5)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Eliksir seperti ini mungkin tidak begitu menggoda bagi orang biasa.

Tetapi apabila diletakkan di hadapan para pelajar Akademi Zephyr….

Eliksir ini menjadi senjata yang amat diingini untuk membolehkan mereka menunjuk-nunjuk kekuatan mereka!!

Selama satu hari, mereka akan mendapat kuasa yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Eliksir ini juga akan membolehkan mereka melepaskan diri daripada situasi genting di dalam Perburuan Roh di masa hadapan. Tuhan saja yang tahu betapa bermaknanya eliksir ini bagi para pelajar yang terpaksa bergelut untuk mengharungi Perburuan Roh yang amat melelahkan. Mereka diseksa oleh Binatang-binatang Roh yang kuat. Berapa kali mereka mendapati kuasa mereka tidak cukup kuat lalu terpaksa melarikan diri dalam ketakutan daripada Binatang Roh yang tidaklah sekuat mana pun? Tambahan pula, para pelajar ini tahu ramai rakan-rakan mereka turut kehilangan nyawa sewaktu Perburuan Roh disebabkan kuasa rohani mereka amat lemah.

Eliksir Peningkat Roh ini tidak syak lagi akan menjadi azimat yang tiada galang gantinya untuk menyelamatkan nyawa mereka!

Peningkatan kuasa rohani secara serta merta ini akan menambah kelajuan serta kelincahan mereka dan menjadikan mereka lebih tangkas. Apabila berdepan dengan bahaya, mereka akan dapat kekuatan luar biasa untuk melarikan diri dan dapat terus hidup!

Hampir serentak dengan saat jurulelong itu menghabiskan pengenalannya mengenai eliksir tersebut, para pelajar Akademi Zephyr yang ada di situ sudah tidak dapat mengawal diri mereka lagi dan mula tidak senang duduk.

Mereka semua memanjangkan leher untuk melihat lebih dekat, cuba mendengar harga permulaan dan tidak sabar-sabar lagi mahu membida eliksir yang hebat ini.

Dengan adanya Eliksir Peningkat Roh ini, mereka tak perlu bimbang akan mati dibunuh oleh Binatang Roh sewaktu Perburuan Roh yang akan datang. Mereka juga akan mendapat kuasa luar biasa yang melangkaui pelajar-pelajar lain dalam waktu-waktu kritikal! Walaupun hanya untuk sehari, mereka akan dapat berhadapan dengan Binatang Roh yang mereka biasanya tidak berani buru!

Mereka akan dapat memperoleh batu roh yang lebih berkualiti dan ini akan membolehkan mereka mendapatkan markah lebih baik dalam Perburuan Roh, seterusnya mendapatkan bahagian yang lebih besar daripada sumber yang diberikan oleh Akademi Zephyr. Ini akan menjadikan kehidupan mereka di akademi itu lebih senang di masa hadapan!

"Kuantiti Eliksir Peningkat Roh yang kami ada untuk lelongan kali ini ialah sebanyak lima biji. Harga permulaan bagi setiap biji ialah lima ribu tahil. Sekarang mari kita mulakan bidaan untuk eliksir pertama." Melihatkan keghairahan para pengunjung di situ, jurulelong yang sedang berdiri di atas pentas itu diam-diam berasa lega. Sewaktu teringat kata-kata He Chang Le tadi, dia terus menjadi lebih bersemangat!

"Wah, lima puluh ribu tahil setiap satu. Kalau kita dapat jual semuanya, itu bermakna kita akan dapat sekurang-kurangnya dua ratus ribu tahil, bukan?" kata Qiao Chu sambil menjilat bibirnya yang tiba-tiba berasa kering.

Fei Yan menjeling Qiao Chu, kelihatan seperti memperkecil-kecilkan Qiao Chu. Kemudian Fei Yan berkata, "Dua ratus lima puluh ribu tahil? Kamu ni memang terlalu naif."

Qiao Chu terkebil-kebil memandang Fei Yan. Sebelum dia sempat berkata apa-apa, suasana di tingkat bawah tiba-tiba menjadi huru-hara.

"Enam puluh ribu!"

"Tujuh puluh ribu!"

"Seratus ribu!"

Para pemuda ini melompat berdiri seorang demi seorang. Semuanya memakai pakaian seragam Akademi Zephyr.

Sebagai tempat yang mempunyai reputasi sebagai hanya memiliki pelajar yang teramat kaya, pakaian seragam Akademi Zephyr itu dianggap sebagai lambang kekayaan keluarga dan kuasa besar yang berada di belakang mereka.

Duit sejumlah berpuluh ribu malah beratus ribu juga tidak menjadi masalah besar pada mereka. Terutamanya jika apa yang mereka mahu beli itu akan menyelamatkan nyawa mereka sendiri. Duit dianggap tidak begitu penting.

Dalam sekelip mata harga Eliksir Peningkat Roh yang pertama sudah pun meningkat sehingga mencecah seratus dua puluh ribu tahil!

Mata Qiao Chu terbeliak dan hampir terjojol keluar!

[Bukankah budak-budak ni agak melampau?]

[Ya Tuhan, bidaan itu meningkat berpuluh ribu. Mereka ni bercakap tentang butiran pasirkah?]

Sejurus kemudian, Eliksir Peningkat Roh yang pertama dimenangi oleh seorang pelajar Akademi Zephyr dengan bidaan seratus tiga puluh ribu tahil. Setelah membelanjakan sejumlah wang yang besar, pelajar tersebut berdiri dengan gembira dan melambai-lambai bangga pada para pelajar Akademi Zephyr lain yang berada di rumah lelong itu.

Aksinya ini ibarat cemuhan pada orang lain di situ, menyemarakkan lagi api di dalam hati pemuda-pemuda lain!

Mereka semua dari akademi yang sama, mereka sedar yang mereka tidak boleh kalah lagi!

Tahap kemahiran mereka bergantung kepada betapa berbakatnya mereka dan hakikat ini tidak boleh diubah. Tetapi kalau dalam hal membandingkan kekayaan…. Mereka juga tidak mudah mengalah….

Setelah pemuda pertama itu berjaya mendapatkan Eliksir Peningkat Roh dan mula mencemuh yang lain, lelongan yang berlangsung selepas itu menjadi perang bidaan yang sengit dalam kalangan pelajar yang amat kaya ini.

Bermula daripada eliksir kedua dan seterusnya, harga setiap Eliksir Peningkat Roh melangkaui seratus lima puluh ribu tahil. Jumlah yang mengejutkan ini membuatkan orang-orang luar daripada kuasa-kuasa besar lain terus memutuskan yang eliksir ini di luar kemampuan mereka.