webnovel

Cincin Roh (3)

翻訳者: EndlessFantasy Translation 編集者: EndlessFantasy Translation

Cincin roh terbentuk daripada roh berkontrak. Satu objek maya yang dibentuk hasil dari gabungan rupa bentuk roh. Hanya apabila manusia yang mempunyai kontrak dengan roh tersebut menggunakan kuasa rohnya sendiri untuk menyelubungi cincin tersebut, barulah cincin itu boleh ditanggalkan. Inilah sahaja cara untuk membolehkan cincin berkontrak ditanggalkan daripada pemilik manusianya dan masih mengekalkan rupa bentuk rohnya.

Menanggalkan cincin roh mendatangkan bahaya besar pada pemiliknya. Cincin roh itu tidak akan dapat memutuskan pertalian itu. Hanya dengan usaha pemilik manusianya sahajalah dia dapat membenarkan roh berkontrak meninggalkan tubuhnya buat seketika. Apabila terpisah dengan pemiliknya dalam bentuk cincin roh, roh berkontrak akan berada dalam keadaan amat lemah. Roh dalam bentuk cincin itu tidak akan dapat berubah bentuk menjadi rupa sebenarnya pun. Ketika berada dalam keadaan itu, pertalian di antara pemilik manusia dan roh berkontrak adalah sangat halus dan lemah. Kalau pemiliknya diserang pada ketika itu, roh berkontrak itu langsung tidak dapat menyerang balas.

Berdasarkan logik yang sama, jika ada penjahat yang memusnahkan cincin roh tersebut pada ketika itu, roh berkontrak itu akan turut mengalami kecederaan parah dan trauma.

Sebab itulah proses menempa cincin roh ini merupakan proses yang amat berbahaya. Jika Penempa Cincin itu bukan seseorang yang boleh dipercayai, tiada siapa akan berani menyerahkan cincin roh mereka semudah itu.

Mereka yang mencari Penempa Cincin sering membawa rakan yang boleh dipercayai untuk memerhatikan Penempa Cincin itu sepanjang proses penempaan tersebut. Ini bagi mengelakkan berlakunya sebarang perkara tidak diingini.

Fan Zhuo menerima cincin roh itu dengan berhati-hati dari tangan Hua Yao dan meletakkannya di atas tapak tangannya dengan perlahan-lahan. Dia meletakkan cincin roh itu ke atas Roh Api dan cincin roh yang diselubungi kuasa rohani itu bersinar dengan lebih terang lagi. Cincin roh tersebut terapung di atas Roh Api. Ketika cincin roh itu dijilat api, perubahan warnanya kelihatan agak membingungkan.

Roh berkontrak Hua Yao ialah Ular Tulang Berkepala Dua. Sewaktu berubah menjadi bentuk cincin roh, warnanya ialah putih perak. Tetapi di bawah kehangatan membara Roh Api, warna putih perak itu menjadi sedikit kemerah-merahan.

Ini adalah tindak balas yang berlaku disebabkan cincin roh itu sedang dibakar oleh Roh Api.

Hua Yao yang selalunya tenang itu juga berpeluh-peluh memerhatikan situasi ini.

Bukannya dia tidak percayakan Fan Zhuo, tetapi dia tidak dapat menahan diri daripada berasa risau tentang cincin rohnya.

Fan Zhuo memegang Roh Api itu dengan sebelah tangannya sambil sebelah tangan lagi mengelurarkan pisau tajam bersaiz ibu jari. Dalam cahaya yang malap, pisau itu berkilauan dengan warna perak dan kelihatan amat tajam. Fan Zhuo melalukan pisau itu ke atas Perak Hitam yang berada di atas meja itu dengan perlahan-lahan. Kemudian kepingan kecil Perak Hitam itu diangkat dengan hujung pisau lalu diletakkan di atas permukaan cincin roh itu dengan penuh hati-hati.

Satu cahaya hitam yang berbintik-bintik dengan bintang dingin kecil yang berkilauan mula memancar sewaktuk Perak Hitam itu sedikit demi sedikit mencair di bawah Roh Api lalu menitis dan meliputi keseluruhan permukaan cincin roh. Cecair hitam yang terus mengalir itu bersinar dengan kilauan logam, membiaskan cahaya dari Roh Api.

Hua Yao menahan nafasnya. Matanya tertumpu pada cincin roh itu dan seluruh tubuhnya dirasakan tegang.

Saat demi saat berlalu menjadi minit. Tangan Fan Zhuo yang memegang Roh Api itu terus mengeluarkan kuasa rohani yang tidak henti-henti serta tidak goyah, menyelubungi segala yang dipegang dalam tapak tangannya. Pada masa yang sama, kuasa rohaninya juga digunakan pada sebelah lagi tangannya untuk mengawal aliran cecair Perak Hitam. Dia menggunakan kuasa rohani secukupnya untuk menolak keluar cecair Perak Hitam itu dengan berhati-hati serta penuh teliti, sedikit demi sedikit.

Roh Api itu sendiri tidak menghasilkan sebarang haba. Jika ada manusia yang menyentuhnya, mereka langsung tidak akan terbakar. Tetapi jika api jenis ini terkena pada makhluk roh, mereka akan merasai suhu kepanasan yang amat tinggi.

Semua Penempa Cincin tidak akan menyentuh Roh Api secara fizikal. Walaupun api itu tidak akan mencederakan roh mereka, api tersebut masih akan menyebabkan roh mereka berasa sangat tidak selesa. Mereka tidak akan dapat menenangkan atau mengawal roh mereka dengan baik untuk menjalankan proses penempaan cincin roh dengan sempurna.

Satu kuasa yang tidak dapat dilihat seolah-olah muncul di atas Roh Api itu. Kuasa itu mengarahkan cecair Perak Hitam itu untuk mengelilingi cincin roh itu dan meliputi keseluruhan permukaannya.

"Batu Roh," kata Fan Zhuo. Matanya kelihatan tegas, tidak seperti selalu. Sambil bercakap, badannya langsung tidak bergerak walau seinci.