webnovel

Pengukuhan Roh (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Pandangan matanya juga tidak berani berganjak dari Roh Api walau sedikit.

Hua Yao cepat-cepat menghulurkan Batu Roh gred tinggi berwarna biru yang telah disediakannya, ke hadapan mata Fan Zhuo. Fan Zhuo meletakkan pisau perak yang dipegangnya dan mengeluarkan satu penyepit dari dalam jubahnya. Dia menyepit Batu Roh itu sebelum meletakkannya ke atas cincin roh yang perlahan-lahan sedang memejal.

Masa kian berlalu, ibarat pasir yang melepasi celahan jari. Seolah-olah dalam sekelip mata sahaja, tempoh beberapa jam telah berlalu tanpa disedari. Satu lapisan peluh membasahi wajah Fan Zhuo.

"Siap!" Fan Zhuo tersenyum. Dia segera menggunakan penyepit itu untuk mengalihkan cincin roh yang telah siap ditempa semula. Kemudian dia menutup bola gangsa itu untuk menyimpan kembali Roh Api dengan cermat. Setelah itu dia meletakkan cincin roh yang masih berwap sedikit itu ke atas meja.

Cincin roh yang telah ditempa semula dengan Perak Hitam kelihatan berwarna hitam legam. Warna hitam itu berkilauan dengan cahaya dingin. Batu Roh berwarna biru nilam terletak kemas di atas cincin roh berwarna hitam itu.

Hua Yao tidak sabar menanti saat dia boleh mengambil cincin roh itu. Tiba-tiba dia menyedari yang di atas cincin roh itu terdapat tambahan beberapa ukiran yang tidak dapat dikenalinya. Ukiran itu mengelilingi seluruh cincin tersebut, tersembunyi di dalam warna hitam pekat itu dan sukar dapat dilihat.

Jun Wu Xie telah memerhatikan seluruh proses itu dengan teliti. Sebaik terlihat ukiran pada cincin itu, dia tiba-tiba bertanya, "Pengukuhan Roh?" 

"Apa?" Fan Zhuo terperanjat.

Jun Wu Xie menunjuk ke arah ukiran pada cincin roh itu lalu berkata, "Ini sebenarnya ialah simbol kuno dan digunakan untuk mengukuhkan lagi bentuk rohani."

Daripada memanggil corak ini sebagai ukiran, nama yang lebih tepat adalah simbol.

Dia pernah melihat corak dan bentuk ini sebelum ini. Ketika itu dia masih muda lagi dan belum lagi bergabung roh dengan kucing hitam kecil itu. Pada waktu itu lelaki tersebut sedang sibuk mengkaji dan melakukan eksperimen berkaitan bentuk-bentuk roh dan bagaimana untuk menambah baik keadaan mereka. Dalam era itu, topik ini sering dipertikaikan. Lelaki itu telah melakukan kajian menyeluruh, mencari-cari maklumat yang berkaitan dengan topik ini di seluruh dunia.

Simbol-simbol ini pula merupakan sebahagian bahan yang dikumpul oleh lelaki itu untuk tujuan kajiannya.

Jun Wu Xie pernah melihat simbol-simbol tersebut sebelum ini. Lelaki itu memberitahunya pada ketiak itu yang jika dia dapat mentafsirkan maksud di sebalik simbol-simbol itu, semua soalan berkaitan entiti rohani akan dapat dijelaskan.

Namun sehingga saat kematiannya, lelaki itu masih tidak dapat mentafsir maksud di sebalik simbo-simbol kuno tersebut. Dia hanya memiliki pengetahuan asas mengenainya.

Proses menguatkan roh dan menarik keluar lebih banyak kuasa dari entiti rohani dinamakan Pengukuhan Roh.

Walaupun lelaki itu hanya mencapai pemahaman primitif tentang simbol-simbol ini, dia masih meneruskan kajian. Dia menggunakan proses Pengukuhan Rohnya yang tidak lengkap itu untuk menggabungkan roh kucing hitam kecil itu ke dalam badan Jun Wu Xie.

Lelaki itu telah menggunakan simbol yang lebih banyak berbanding apa yang kini terukir pada cincin roh itu. Bilangan simbol yang terhad pada cincin roh ini mungkin hanya membentuk satu frasa pendek.

"Jun Xie? Kamu tahu tentang simbol ini?" tanya Fan Zhuo dengan teruja, seolah-olah Jun Wu Xie baru sahaja mengatakan sesuatu yang amat mengagumkan.

"Saya tak kata saya faham simbol-simbol ini tapi saya pernah melihatnya sebelum ini." Jun Wu Xie menerangkan sambil menggelengkan kepalanya. Lelaki itu tidak membenarkan dia menyentuh apa-apa yang berkaitan dengan kajiannya tentang entiti rohani. Jadi walaupun dia pernah melihat simbol-simbol itu sebelum ini, dia tidak berpeluang untuk mendapatkan pemahaman lebih jelas mengenainya.

"Jangan kata kamu pernah bertemu Penempa Cincin yang lain?" tanya Fan Zhuo sambil memandang Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie menggelengkan kepala sekali lagi.

Sebelum Fan Zhuo menyebut tentang Penempa Cincin tadi, Jun Wu Xie tidak tahu pun wujudnya pekerjaan seperti itu.

Fan Zhuo terus menerangkan, "Reka bentuk ukiran pada cincin ini digunakan oleh Penempa Cincin untuk merangsang dan mengeluarkan kuasa cincin roh. Saya tak begitu jelas dengan maksud atau kuasa sebenarnya. Ibu saya meninggalkan tiga buah lukisan yang menunjukkan reka bentuk dan corak yang berbeza. Setiap corak memberikan kesan yang berlainan."