webnovel

"Bertukar rupa?" tanya Jun Wu Xie sambil mengangkat keningnya.

Menurut apa yang dia tahu, ada tiga jenis roh berkontrak. Pada ketika ini, dia cuma tahu tentang tiga jenis tersebut iaitu roh senjata, roh binatang dan satu lagi ialah roh berkontrak jenis tumbuhan yang dia miliki. 

Dua jenis pertama itu mempunyai rupa bentuk yang tetap. Roh senjata dan roh binatang tidak boleh berubah bentuk. Tetapi roh tumbuhan nampaknya tidak mempunyai kekangan yang sama.

Fan Zhuo nampaknya dapat meneka keraguan Jun Wu Xie dengan tepat lalu berkata, "Roh jenis tumbuhan berbeza dengan roh berkontrak lain. Walaupun cincin roh yang ditempa dengan Emas Hitam akan membolehkan dua lagi jenis roh berkontrak itu berubah bentuk, tetapi… ini berbeza dengan roh berkontrak kamu. Roh berkontrak tersebut tidak boleh menjadi rupa manusia seperti roh berkontrak kamu tetapi boleh mencapai perubahan tertentu dalam bentuk dan rupa luarannya. Contohnya, selepas cincin rohnya ditempa semula, roh berkontrak jenis binatang boleh berubah menjadi bentuk senjata atau perisai."

"Menariknya." Fei Yan menggosok-gosok dagunya. Dia ingin mendapatkan sedikit Emas Hitam untuk menguji keadaan ini.

"Emas Hitam mungkin boleh memberikan penambahan kuasa luar biasa, tetapi bahan ini terlalu sukar ditemui. Setahu saya, dalam setiap Dua Belas Istana pun, bilangan orang yang memiliki cincin roh Emas Hitam berjumlah kurang daripada tiga orang. Malah di beberapa istana, hanya Pemerintah Istana sahaja yang memilikinya. Menempa cincin roh dengan Emas Hitam memerlukan Penempa Cincin yang sangat berkemahiran tinggi. Kalau kamu boleh berikan Emas Hitam pada saya sekarang pun, saya tak mampu menggunakannya untuk hasilkan cincin roh," kata Fan Zhuo dengan jujur. Proses menempa cincin roh yang dipelajari daripada ibunya itu sangat terhad. Penempa Cincin berkemahiran tinggi di Alam Pertengahan pula sangat sedikit jumlahnya. Kebanyakannya sudah pun dibahagikan di antara Sembilan Kota dan Dua Belas Istana. Orang biasa jarang bertemu dengan mereka.

"Jangan terlalu fikirkan hal ini. Ada Penempa Cincin yang sanggup menempa cincin untuk kami pun kami dah amat bertuah," kata Hua Yao sambil mengetuk kepala Fei Yan.

Fei Yan membantah dengan sedih, "Saya cakap saja. Hakikat yang Fan Zhuo sanggup menempa cincin roh untuk kita pun sudah buat saya berasa terhutang budi dengannya."

Fan Zhuo memandang Jun Wu Xie dan berkata, "Saya ada beberapa peralatan hasil tinggalan ibu saya yang boleh digunakan untuk menempa cincin roh. Disebabkan kita sudah ada Perak Hitam, saya boleh mulakan sekarang. Tapi…" Mata Fan Zhuo kelihatan sedikit ragu-ragu.

"Ibu saya tak pernah ajar saya cara menempa cincin untuk roh jenis tumbuhan. Jadi… Jun Xie, saya akan tempa cincin kamu paling akhir sekali kerana saya tak pasti akan berjaya atau tak. Kalau gagal, roh berkontrak kamu mungkin mengalami kecederaan."

Di mana sahaja mereka berada, kewujudan roh jenis tumbuhan amat jarang berlaku. Malah Fan Zhuo yang menerima tunjuk ajar daripada seorang Penempa Roh sejati juga tidak berani mencuba secara membuta-tuli.

"Suka hati kamulah," balas Jun Wu Xie. Dia tidak kisah tentang gilirannya.

Dia lebih tertarik dengan proses menempa cincin roh. Daripada segi perspektif tertentu, cincin roh boleh dianggap sebagai sejenis roh. Pada dasarnya, penempaan cincin roh melibatkan penggunaan teknik khas untuk mempertingkatkan kuasa roh. Bagi seseorang seperti Jun Wu Xie yang pernah melalui proses penggabungan roh, memahami rahsia mendalam dan misteri di sebalik fenomena ini adalah sangat bernilai.

Sejurus kemudian telah diputuskan yang Ular Tulang Berkepala milik Hua Yao akan menjadi yang pertama sekali menjalani proses penempaan semula cincin roh. Hua Yao berasal dari Puak Pengubah Tulang dan Ular Tulang Berkepala Dua miliknya itu dianggap lebih kuat daripada segi ketahanan dan pemulihan berbanding roh berkontrak Fei Yan dan yang lain. Ini menjadikan Hua Yao pilihan paling sesuai untuk mendapat giliran pertama.

Fan Zhuo tidak berlengah dan terus mengambil satu bola gangsa berongga yang tergantung di sisi pinggulnya. Bola gangsa itu kelihatan biasa sahaja pada luarannya. Tiada siapa dalam kalangan mereka yang menyangka apabila Fan Zhuo memusingkannya, bola gangsa itu terbuka dan mendedahkan bebola api hijau yang sedang menyala di dalamnya!

"Ini ialah Roh Api yang digunakan secara eksklusif untuk menempa cincin roh. Hanya dengan menggunakan api inilah roh berkontrak dapat bergabung dengan Perak Hitam secara sempurna." Sambil Fan Zhuo memberi penerangan, dia mengangguk ke arah Hua Yao.

Hua Yao menahan nafasnya dan menumpukan seluruh kuasa rohaninya ke dalam cincin roh. Satu sinaran cahaya yang lembut menyelubungi cincin roh itu. Dengan berhati-hati, Hua Yao mencabut cincin itu dari jarinya dan akhirnya menyerahkannya pada tangan Fan Zhuo!