webnovel

Balai Rong Istana (2)

Editor: EndlessFantasy Translation

Wu Wang merasakan bulu romanya meremang akibat tekanan daripada renungan Lin Wang. Inilah kali pertama dalam hidupnya dia berasa terancam. Dia sudah hidup selama lebih enam puluh tahun dan sepanjang tempoh itu, nama Lin Wang yang mengagumkan sudah terkenal sehingga ke sempadan Negara Qi dan kini Wu Wang dapat merasai sendiri sebabnya.

Dia tanpa sengaja menelan air liurnya ketika cuba menenangkan perasaannya.

"Hal berkaitan Istana Lin tidak ada kaitan dengan Tuanku. Tak perlu Tuanku susah payah risau tentangnya." Melihat menteri-menteri di sekelilingnya tertawa gugup, Jun Xian menarik kembali aura membunuhnya dan keadaan tertekan itu berkurangan.

"Beta cuma risaukan hal berkaitan negara kita." Selepas Jun Xian menarik kembali aura membunuhnya, Wu Wang membuat kesimpulan yang Jun Xian sudah menjadi seperti harimau yang tidak bergigi. Kini dia sudah tua dan sudah kehilangan keberaniannya yang dahulu dan tidak berani bertindak seolah-olah tidak tahu malu.

"Oh, Beta dengar Cik Muda sudah lama tidak keluar dari Istana Lin? Dia masih muda, walaupun dia dan Xuan Fei tak ada jodoh, tak perlulah terlalu bersedih. Dia sepatutnya keluar menghirup udara segar, tak elok gadis muda seperti itu berkurung di rumah sepanjang hari!" Memikirkan yang Jun Xian bukan lagi harimau yang garang seperti dahulu, Wu Wang terus mengejek Jun Wu Xie selepas bercakap tentang Jun Qing.

Jun Xian menjeling Wu Wang.

Wu Wang tersenyum dan berkata, "Hari lahir Putera Mahkota ialah pada bulan depan dan Tuanku Maharaja sudah menyerahkan hal sambutan hari lahir itu kepada Beta untuk diuruskan. Memandangkan Wu Xie sudah lama tak keluar, benarkan dia menyertai sambutan ini untuk menghiburkan hatinya. Tuanku juga ada mengatakan yang Baginda kesal dengan apa yang terjadi dengan pertunangan itu dan memberi jemputan khas kepada Wu Xie."

"Baiklah." Jun Xian tidak mahu membuang masa lagi dengan orang-orang tua ini. Dia mengibaskan lengan bajunya dan kemudian berlalu pergi.

Wu Wang ketawa dengan seronok melihat Jun Xian berlalu pergi dengan perilaku 'tewas'.

"Masih lagi berlagak? Dia fikir dia Lin Wang yang dahulu?" Wu Wang mencemuh, tersenyum mengampu seperti kebiasaannya sambil menteri-menteri yang lain tertawa.

"Lin Wang tak dapat terima kenyataan dan masih lagi berangan-angan. Jun Qing tu umurnya tak panjang dan selepas dia mati, Istana Lin cuma ada si sampah itu. Lihat saja selama mana Tentera Rui Lin boleh bertahan," cemuh salah seorang menteri sambil tersenyum.

"Hmph, dia masih anggap dirinya Jeneral hebat yang mengetuai angkatan tentera, tapi pencapaiannya hanyalah kehilangan kedua-dua anak lelakinya." Wu Wang dan menteri-menteri lain meneruskan perbualan mereka.

Tidak ada seorang di antara mereka yang perasan sebaik Jun Xian membelakangkan mereka, ada kilauan pada matanya dan bahasa tubuhnya berubah sambil dia melangkah penuh bertenaga, sama seperti sewaktu dia mengetuai angkatan tentera dan kembali bersikap seperti wira yang telah membina Kerajaan Qi.

Sambil melangkah masuk ke halaman Jun Wu Xie, dia terhidu bauan herba yang amat dikenalinya.

Jun Wu Xie sedang memegang dua periuk berisi campuran herba sambil perlahan-lahan berjalan keluar daripada farmasinya sewaktu dia ternampak Jun Xian.

"Datuk." Jun Wu Xie memanggil dengan lembut dan dibalas senyuman mesra dan anggukan dari Jun Xian.

"Kamu masih bermain-main dengan benda-benda ni? Kamu tak bosan duduk di rumah sepanjang masa? Putera Mahkota akan adakan sambutan hari lahirnya bulan depan, Datuk akan bawa kamu bersama." Jun Xian memberikan senyuman penuh kasih sayang kepada cucunya.

"Baiklah." Jun Wu Xie menjawab tanpa terlalu memikirkannya.

Jun Xian senyum dan menepuk bahu Jun Wu Xie, kemudian tanpa berkata apa-apa lagi, dia kembali ke biliknya.

Jun Wu Xie berdiri di situ memerhatikan Jun Xian. Selepas dia tidak lagi nampak kelibat Jun Xian, dia meneruskan perjalanan ke bilik Jun Qing.

"Meow"

Sambil berjalan, kucing hitam kecil itu bermain-main meleset-leset di betis Jun Wu Xie.

[Ekspresi wajah Datuk macam ada yang tak kena.]

"Mmm." Jun Wu Xie juga menyedarinya.

"Meow"

[Adakah ia berkaitan dengan hari lahir Putera Mahkota?]