38 Balai Rong Istana (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Istana Lin perlahan-lahan memulakan langkah pemulihan apabila harapan mereka selama sedekad ini akhirnya muncul kembali di tangan cucu Lin Wang. Sebaliknya...

Mo Xuan Fei sememangnya mempunyai reputasi yang baik di dalam Bandar Diraja. Dengan wajahnya yang tampan, dia sudah menawan hati ramai gadis-gadis muda. Mereka tergoda dengannya dan apabila berita tentang pertunangannya dengan Jun Wu Xie tersebar, mereka patah hati. Ramai yang menyumpah-nyumpah di dalam hati sambil mengejek, Jun Wu Xie itu mukanya biasa-biasa sahaja, langsung tidak sepadan dengan pasangannya! Dia tidak layak untuk Putera mereka yang kacak!

Sewaktu diumumkan yang pertunangan mereka sudah dibatalkan, kebanyakannya menganggap impian mereka sudah jadi kenyataan.

Selepas sesi menghadap di Balai Rong Istana, sedang Jun Xian bersiap-siap untuk meninggalkan Istana Diraja seperti biasa, beberapa orang lelaki tua yang memakai jubah rasmi berjalan menuju ke arahnya sambil masing-masing tersenyum lebar.

"Lin Wang, ada apa-apa perkembangan tentang penjahat yang menyerang Putera Kedua?" Lelaki tua yang paling gemuk sekali bersuara.

Jun Xian memandang lelaki itu yang tersenyum mengampu. Lelaki gemuk ini ialah adik Maharaja - Wu Wang.

Wu Wang berusia enam puluhan dan tidak ada banyak sumbangan kerana dia langsung tidak ada kemahiran. Dia hanya mengharapkan pengaruh Maharaja dan hidup mewah selama ini. Dia menganggap dirinya sangat berkuasa dan tidak sedar akan kekurangannya. Disebabkan dia daripada keturunan diraja, semua menteri mengampu dan memuji-mujinya walau apa sahaja yang dia lakukan.

Jun Xian sahaja yang terkecuali. Dia memang suka berterus-terang dan sentiasa menyatakan kekurangan Wu Wang. Oleh itu mereka berdua sering bertengkar dan tidak pernah sependapat.

Sewaktu Istana Lin berada di puncak kegemilangannya, ketika kedua-dua anak lelaki Jun Xian masih sihat, Wu Wang tidak berani menunjukkan perasaan tidak puas hatinya dan sentiasa kelihatan ramah dan mesra. Namun selepas Istana Lin mula mengalami kejatuhan, Wu Wang langsung tidak menghiraukan Istana Lin dan mula berkelakuan sesuka hatinya tanpa batasan.

Tersebarnya hal Mo Xuan Fei dan Jun Wu Xie putus tunang juga ialah disebabkan oleh Wu Wang.

Para menteri mula mengerumuni mereka untuk memerhatikan 'drama' yang berlaku.

"Hal ini tidak perlulah Tuanku risaukan. Walaupun penjahat itu licik seperti belut, Patik akan mengejar mereka sehingga ke hujung dunia dan menangkap mereka demi menjamin keselamatan Putera Kedua," Jun Xian menjawab tanpa perasaan.

"Pasti keadaan ini sukar buat kamu, Lin Wang bukannya muda lagi dan masih lagi perlu bekerja kuat. Bagaimana kami boleh biarkan kamu uruskan segalanya seorang diri? Kamu patut serahkan hal ini kepada generasi seterusnya untuk diuruskan…" Wu Wang ketawa sambil menepuk dahinya. "Oh, maaflah. Beta terlupa tentang anak-anak lelaki kamu. Seorang mati demi negara dan seorang lagi…"

Wu Wang tidak menghabiskan ayatnya tetapi memberi pandangan mengejek kepada Jun Xian.

Jelas sekali yang berita tentang kesusahan Istana Lin sudah tersebar luas.

Racun di dalam badan anak lelaki bongsu Lin Wang sudah merebak dan tabib-tabib diraja semuanya mencapai kesimpulan yang sama - nyawa Jun Qing ibarat telur di hujung tanduk. Dia tidak punya banyak masa lagi.

"Maaflah, Beta memang tidak pandai berkata-kata, hahahaha...Maaflah." Wu Wang ketawa sambil menghamburkan kata-katanya tanpa ditahan-tahan.

Jun Xian mengerutkan keningnya. Disebabkan pembunuhan yang dilakukannya di medan perang dan selepas terlibat dalam banyak peperangan, Jun Xian mempunyai aura membunuh yang tinggi. Selalunya dia akan cuba mengawal aura itu tetapi kini dia melepaskannya sedikit sambil menjeling menteri-menteri di sekelilingnya. Mereka semua menarik nafas panjang. Suhu di sekeliling mereka seolah-olah menjadi dingin dan udaranya melemaskan. Renungan tajam Jun Xian disasarkan kepada Wu Wang.

avataravatar
Next chapter