webnovel

Keperitan Perpisahan (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Éditeur: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie membawa Fan Zhuo bertemu dengan Ah Jing. Dia berdiri di luar pintu dan tidak masuk ke dalam. Sebaik terdengar tangisan Ah Jing dari dalam bilik itu, Jun Wu Xie berpusing dan berjalan menuju sebuah bilik lagi.

Wen Xin Han membuka pintu. Sebaik terlihat Jun Wu Xie berdiri di luar, dia tersenyum. Dia baru sahaja mendapat tahu yang rancangan Jun Wu Xie bukan hanya melibatkan dia menyelamatkan Fan Jin. Apabila terlihat Gu Li Sheng di rumah tumpangan itu, barulah dia sedar yang Cik Muda Istana Lin ini telah merangka satu rancangan yang lebih rumit daripada yang dia fikirkan.

Di dalam bilik itu Fan Jin duduk di katil sambil termenung kosong. Dia tidak bercakap dan enggan tidur, hanya duduk dengan kaku. Kekotoran pada badannya telah dibersihkan dan pakaiannya telah ditukar. Seseorang telah menyikat rambutnya dan penampilannya kini hampir sama seperti dirinya sebelum ini.

Tetapi keghairahan yang ada di matanya sebelum ini sudah lenyap.

Jun Wu Xie berdiri di sebelah Fan Jin dan mengangkat tangan pemuda itu. Dia meletakkan hujung jarinya ke pergelangan tangan Fan Jin.

Kecederaan fizikal Fan Jin tidaklah begitu teruk. Dia hanya memerlukan sedikit rawatan sebelum dapat sembuh. Tetapi kecederaan yang paling sukar disembuhkan adalah di bahagian otaknya.

Dua pukulan daripada Gu Ying telah menyebabkan kecederaan serius pada otaknya dan menjadikan dia jasad yang kosong tanpa akal.

Jun Wu Xie memeriksa Fan Jin dengan teliti sebelum akhirnya melepaskan tangannya.

"Macam mana?" tanya Wen Xin Han yang memerhati dari sisi.

Sejak eliksir ajaib Jun Wu Xie menyelamatkan nyawa cucunya, wujud perasaan hormat yang mendalam pada Cik Muda Jun ini. Tak lama selepas keluar dari pengasingan, Wen Xin Han terdengar tentang kemusnahan Kumpulan Qing Yun. Dia bertemu dengan Mu Chen ketika berada di Istana Lin dan sedar bahawa kata-kata yang Jun Wu Xie ucapkan pada pengikut-pengikut Kumpulan Qing Yun di luar pagar Istana Lin dulu bukan sekadar ancaman. Dia telah mengotakannya!

Kumpulan paling berkuasa di seluruh dunia dihapuskan dengan begitu sahaja!

"Dia boleh dirawat, tapi bukan sekarang,:" kata Jun Wu Xie.

Kecederaan otak Fan Jin agak serius dan akan memerlukan tempoh rawatan yang lama. Setelah membuat penilaian, Jun Wu Xie tidak mempunyai masa yang cukup untuk diluangkan.

Hal di Akademi Zephyr masih belum selesai. Kalau dia melepaskannya sekarang, Ning Rui yang akan mendapat untung,

Jun Wu Xie merenung Fan Jin. Tanpa mempedulikan sama ada Fan Jin memahaminya, dia berkata, "Ketika saya masuk ke Akademi Zephyr, saya beruntung kerana kamu melindungi saya. Pembalasan dendam yang tertangguh untuk kamu dan ayah kamu akan saya lunaskan."

Wen Xin Han yang memandang dari sisi berasa tersentuh.

"Kamu nak buat apa?" Wen Xin Han menyangkakan Jun Wu Xie hanya berniat mahu menyelamatkan Fan Jin. Tetapi setelah mendengar kata-kata tadi, dia sedar yang hal ini masih belum selesai.

"Saya perlu susahkan Senior Wen untuk menjaga Fan Jin lebih lama sedikit. Saya ada beberapa eliksir di sini. Saya mohon Senior Wen beri Fan Jin makan salah satu eliksir ini tiga kali sehari." Sambil bercakap, Jun Wu Xie meletakkan beberapa botol eliksir di atas meja dan dengan berhati-hati dia menerangkan kesan eliksir dan dosnya sebelum meninggalkan bilik itu.

Jun Wu Xie terlihat Fan Zhuo berdiri di luar. Wajahnya pucat lesi. Mulutnya tersenyum pahit.

Entah berapa lama dia sudah berdiri di luar pintu itu tetapi Fan Zhuo tidak mempunyai keberanian untuk menolak pintu tersebut.

Dia tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan Fan Jin. Kalau bukan kerana niat Fan Qi untuk melindunginya, Fan Qi tidak akan memberitahu semua orang yang Fan Zhuo adalah anak kandungnya. Ning Rui pula tidak akan dapat meletakkan beban kesalahan itu pada Fan Jin dengan alasan Fan Jin merancang untuk merampas kedudukan Guru Besar dan membunuh ayahnya.

Fan Zhuo merasakan dia banyak terhutang budi dengan Keluarga Fan atas segala-gala yang telah berlaku.

"Saya boleh sembuhkan dia," kata Jun Wu Xie sambil merenung Fan Zhuo.

Fan Zhuo mampu mengukir senyuman pahit.

"Saya mohon kamu tolong lakukannya."

Jun Wu Xie tidak berkata apa-apa. Dia tidak tahu bagaimana untuk memujuk Fan Zhuo. Dia juga tidak tahu kata-kata apa yang sesuai diucapkan pada ketika itu.

Sebaik mereka berdua mahu beredar, Ye Sha tiba-tiba muncul.

"Saya ada laporan untuk Cik Muda. Ning Rui merancang untuk menghantar semua pelajar Akademi Zephyr ke Cenuram Penghujung Syurga dalam masa tiga hari!"