webnovel

Keperitan Perpisahan (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Lama Jun Wu Xie duduk di meja itu. Kesunyian yang menyesakkan di sekelilingnya membuatkan dia berasa sedikit gelisah. Hitam Kecil mendekati Jun Wu Xie dan melompat ke dalam pelukannya untuk memberikan sedikit kehangatan.

Tiba-tiba kedengaran bunyi barang terhempas. Jun Wu Xie tersentak. Pergelutan di dalam dirinya terpancar di matanya.

"Cik nak pergi tengok?" Hitam Kecil bertanya sambil menyentuh lengan baju Jun Wu Xie.

Jun Wu Xie berdiri dan berjalan menuju punca bunyi tersebut.

Ketika sampai di bilik Fan Zhuo, dia terdiam seketika ketika berdiri di hadapan pintu. Suasana di dalam bilik itu sunyi. Sewaktu membuka pintu, Jun Wu Xie terhidu bau darah. Gu Li Sheng sedang berdiri di tengah-tengah bilik itu. Dia berpaling memandang Jun Wu Xie tetapi kemudian mengalihkan pandangannya kerana tidak tahu apa yang boleh dikatakan.

Jun Wu Xie berjalan masuk ke bilik itu dan memandang susuk tubuh yang amat dikenalinya.

Fan Zhuo sedang duduk di satu sudut bilik itu, membelakangkan Jun Wu Xie. Dia sedang memberikan mandian berubat pada Tuan Embek Embek.

Keadaan Tuan Embek Embek sudah menunjukkan sedikit peningkatan. Kambing biri-biri kecil ini sudah pun mampu membuka matanya. Pandangan matanya yang jernih merenung Jun Wu Xie seketika sebelum memalingkan kepalanya yang kecil untuk memandang Fan Zhuo yang sedang membelakangkan Jun Wu Xie. Tuan Embek Embek bersusah payah untuk mengembek dengan lemah.

"Embek….."

"Tinggalkan kami sebentar," kata Jun Wu Xie apabila terlihat serpihan porselin yang bertaburan di kaki Fan Zhuo. Dia sedar, pasti barang inilah yang menghasilkan bunyi yang kuat tadi.

Gu Li Sheng mengangguk dan keluar dari bilik itu. Dia menutup pintu dengan cermat.

Hanya Fan Zhuo dan Jun Wu Xie yang berada di bilik itu.

"Abang saya… tak apa-apa?" Suara Fan Zhuo tidak kedengaran berbeza daripada biasa tetapi Jun Wu Xie tidak dapat melihat riak wajahnya.

"Tak bagus," balas Jun Wu Xie.

Badan Fan Zhuo menjadi tegang mendengarkan kata-kata itu.

"Boleh kamu sembuhkan dia? Kamu mampu sembuhkan saya, bukan?"

"Saya belum sempat tengok dia betul-betul lagi." Jun Wu Xie menjawab dengan jujur tetapi tekaknya terasa perit. Seolah-olah dia tidak sepatutnya berkata begitu dan kedengaran begitu dingin dan tidak berperasaan.

"Jun Xie."

"Hmm?"

"Saya merayu pada kamu. Tolong sembuhkan dia." Suara Fan Zhuo semakin tertekan.

"Baiklah."

Fan Zhuo tidak berganjak. Dia masih membelakangi Jun Wu Xie. Tangannya memegang badan Tuan Embek Embek yang sedang berendam di dalam mandian berubatnya.

"Kamu suruh saya tinggal di sini untuk menjaga Tuan Embek Embek sebab kamu terima berita itu sebelum kamu pergi?"

"Ya."

"Kamu tak mahu saya dapat tahu. Sebab itulah kamu balik sendiri untuk siasat dulu apa yang sedang berlaku?"

"Ya."

Satu ketawa panjang terlepas keluar dari mulut Fan Zhuo tetapi tidak ada sedikit kegembiraan pun dalam nadanya. Hanya kepedihan dan keperitan, ketawa yang membuatkan hati orang lain berasa pedih.

"Jadi kenapa kamu beritahu saya sekarang?"

Jun Wu Xie terdiam seketika sebelum berkata perlahan-lahan, "Hanya kamu yang boleh buktikan Fan Jin tak bersalah."

"Mana Ah Jing?"

"Tingkat tiga, bilik nombor dua." Jun Wu Xie terpaksa meletakkan Ah Jing dan Gu Li Sheng di dalam rumah tumpangan yang sama dengan Fan Zhuo. "Kamu tak mahu tanya di mana Fan Jin?"

Fan Zhuo menggeleng.

"Saya tak berani berhadapan dengannya." Suara Fan Zhuo menjadi serak dan hampir tidak kedengaran. Seolah-olah suaranya dipaksa keluar sehingga kedengaran menyesakkan di telinga orang lain.

Jun Wu Xie tidak membalas. Dia berjalan ke hadapan Fan Zhuo tanpa berkata apa-apa. AKhirnya dia dapat melihat riak wajah Fan Zhuo. Jun Wu Xie tidak akan melupakan riak wajah ini seumur hidupnya!

Wajah yang diselubungi kegelapan, berlawanan dengan cahaya. Wajah yang kelihatan menggerunkan untuk didekati.

Jun Wu Xie meletakkan Hitam Kecil di tangan Fan Zhuo. Dia merendahkan dirinya dengan dan memeluk Fan Zhuo dengan kekok, merapatkan kepala Fan Zhuo ke bahu kecilnya.

"Menangislah."

Fan Zhuo tidak berkata apa-apa. Dia cuba menahan perasaannya, menyembunyikan emosinya…

Tapi Jun Wu Xie dapat merasakan bahunya basah...