webnovel

Keperitan Perpisahan (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas Jun Wu Xie dan yang lain pergi dari Akademi Zephyr, Ye Sha kekal berada di situ untuk mengawasi keadaan. Sebaik terdengar perbualan Gu Ying dan Ning Rui, dia terus bergegas ke Bandar Chan Lin untuk memberitahu berita itu kepada Jun Wu Xie.

Mata Jun Wu Xie bertukar dingin. Dia tidak terfikir Ning Rui akan bertindak sebegini melampau!

Menghantar semua pelajar Akademi Zephyr ke Cenuram Penghujung Syurga?

Selepas Jun Wu Xie dan rakan-rakannya mengharungi keadaan menggerunkan di Cenuram Penghujung Syurga, dia yakin kalau ada seribu pelajar Akademi Zephyr sekalipun yang turun ke dasarnya, mereka semua akan mati!

Ning Rui benar-benar berniat untuk menggunakan seluruh Akademi Zephyr untuk mendapatkan sokongan Dua Belas Istana!?

"Ning Rui, bukan?" Jun Wu Xie belum pun berkata apa-apa ketika Fan Zhuo bertanya. Mata Fan Zhuo memancarkan sinar bahaya.

Walaupun Fan Qi bukan ayah kandungnya, Fan Zhuo terhutang budi kerana Fan Qi telah membesarkannya. Baik Ning Rui mahupun Gu Ying, kedua-duanya kini adalah musuh ketat Fan Zhuo buat selama-lamanya!

"Kita cuma ada masa tiga hari. Nampaknya rancangan ini perlu dipercepatkan." Jun WU Xie menggosok-gosok dagunya sambil mindanya ligat berfikir.

"Jun Xie, apa yang kamu rancangkan?" Fan Zhuo sedar kini bukan masanya untuk tenggelam dalam kekecewaan dan keperitan. Musuh masih bebas bergerak. Bagaimana dia sanggup membiarkan dirinya diselubungi kesedihan tanpa berbuat apa-apa?

Hatinya menangisi kematian Fan Qi dan pedih memikirkan Fan Jin yang sudah hilang akal.

Sebelum dendamnya dilunaskan, dia tidak layak untuk bertemu dengan Fan Jin.

"Saya dah katakan sebelum ini. Hanya kamu yang boleh buktikan Fan Jin tidak bersalah," kata Jun Wu Xie sambil memandang Fan Zhuo.

Fan Zhuo tersenyum. Dia faham apa yang Jun Wu Xie katakan.

"Betul tu. Hanya orang yang menyamar sebagai anak kandung Guru Besar sahaja yang boleh meyakinkan semua orang."

Hakikat yang Ning Rui berjaya meletakkan kesalahan pembunuhan Fan Qi ke atas Fan Jin hanyalah kerana Fan Jin bukan "anak kandung". Jadi kalau Fan Zhuo tampil memberitahu hal sebenar, penjelasan Ning Rui tentang motif pembunuhan akan dapat disangkal!

Sebagai anak kandung Fan Qi, mustahil Fan Jin akan membunuh ayahnya sendiri demi mendapatkan jawatan yang memang menjadi hak warisannya!

Jun Wu Xie sudah memikirkan semua ini. Sebab itulah dia memberitahu Fan Zhuo tentang segala yang berlaku di Akademi Zephyr. Hanya selepas Fan Zhuo memunculkan diri barulah tuduhan tidak berasas ini boleh dihapuskan sepenuhnya!

Ning Rui menyangkakan dia boleh menggunakan identiti Fan Jin sebagai anak angkat untuk menyingkirkan dia daripada menjadi waris. Tetapi Ning Rui tidak akan menjangkakan bahawa apa yang diketahuinya selama hampir dua dekad ini merupakan pembohongan sejak dari mula lagi!

Fan Qi hanya ada seorang anak kandung iaitu Fan Jin!

"Tapi saya perlukan seseorang lagi." Jun Wu Xie berpaling memandang Ye Sha. "Kamu dah hantar orang untuk beritahu Abang Hua?"

Kemunculan Fan Zhuo seorang sahaja tidak cukup. Dia perlukan seseorang lagi sebelum dapat menendang Ning Rui ke dalam jurang yang paling dalam!

Semua rancangannya sudah tersedia. Dia hanya perlukan satu watak lagi!

Ye Sha membalas, "Saya dah hantar seekor ular kecil. Rasanya Hua Yao akan tiba di sini tak lama lagi."

Walaupun ular Ye Sha tidak mampu bercakap, ular itu boleh menelan nota bertulis. Sebaik Hua Yao dan rakan-rakannya membaca nota itu, mereka akan terus faham apa yang sedang berlaku.

Rancangan Jun Wu Xie melebihi tindakannya di Akademi Zephyr sebelum ini. Dia telah menyelamatkan Fan Jin dan Gu Li Sheng tapi ada hal-hal lain lagi yang perlu dia tuntut. Jun Wu Xie tidak akan memberikan balasan yang kurang daripada sepatutnya!

"Cepat sediakan kereta kuda. Sebaik Abang Hua sampai, kita akan terus bertolak ke Akademi Zephyr!" kata Jun Wu Xie dengan suara yang dingin.

[Tirai bakal dinaikkan. Ning Rui, Gu Ying, bersedialah menerima apa yang bakal berlaku!]

Beberapa jam kemudian, setelah Hua Yao dan yang lain menerima mesej yang Ye Sha hantar, mereka bergegas ke Bandar Chan Lin. Seketika kemudian, selepas bertemu dengan Jun Wu Xie, mereka telah pun berada di dalam kereta kuda yang sedang menuju terus ke Akademi Zephyr.