webnovel

Anak Serigala Ganas!

編輯: EndlessFantasy Translation

Selepas Qi Long dan Luo Lang menerima isyarat Ling Lan, mereka berdua mula menyerang sekali lagi.

Qi Long lebih laju sedikit daripada Luo Lang, dia mendekati pemeriksa itu dan menghayun tumbukannya.

Tumbukannya sangat kuat dan laju, membelah angin dengan bunyi yang kiat. Pemeriksa itu segera mengangkat tangannya untuk menangkis tumbukan itu.

Rasa membara pada tangan yang menangkis tumbukan tadi membuatkan pemeriksa itu dapat merasakan yang Qi Long semakin kuat dan laju. Qi Long penyerang yang sangat ganas. Prestasi Qi Long yang mengagumkan itu telah membuat pemeriksa itu semakin teruja.

Sebelum pemeriksa itu sempat membalas serangan itu dan menolak Qi Long, Luo Lang menyerangnya dari sebelah yang lain, menggunakan tendangan yang kuat.

Luo Lang tahu yang dia tidak begitu kuat dan penumbuknya tidak akan memberi ancaman pada pemeriksa itu. Jadi kali ini dia mengubah serangannya dengan menggunakan tendangan pula.

Luo Lang telah membuat keputusan yang betul. Pemeriksa itu mengakui yang tendangan Luo Lan itu lebih agresif daripada sangkaannya. Luo Lang, yang pada mulanya dianggap sebagai yang paling lemah dan tidak berbahaya juga telah menemui cara untuk menyerang dengan berkesan. Ini memaksa pemeriksa itu untuk menumpukan perhatian pada serangannya.

Kenapalah kanak-kanak ini tidak seperti kanak-kanak berusia enam tahun yang lain? Mengapa mereka terlalu bijak dan terfikir untuk mengubah taktik?

Pemeriksa itu tidak mempunyai pilihan selain menghalang tendangan Luo Lang dan menangkap kakinya. Tetapi sebaik sahaja dia mahu mencampakkan Luo Lang…

Oh, tidak!

Pemeriksa itu merasakan sesuatu yang berbahaya mendekatinya dari bawah dan dengan cepat dia melepaskan buku lali Luo Lang supaya dia boleh berundur.

Dia sempat mengelak serangan Ling Lan, tendangan yang disasarkan pada celah kelangkangnya! Pemeriksa itu tidak perasan yang Ling Lan telah berada di bawahnya dalam posisi mencangkung. Kedua-dua tapak tangannya diletakkan di atas tanah, dan dia mengayunkan kaki kanannya ke atas.

Ke arah… bahagian tubuh badan yang ramai lelaki paling risau akan tercedera.

Mujurlah pemeriksa itu perasan tepat pada masanya dan berjaya mengelak serangan Ling Lan.

Wah, dahsyatnya!

Sewaktu kembali mendarat di atas tanah, pemeriksa itu berasa takut dan bahagian celah kelangkangnya juga mengecut secara refleks. Manakala Ling Lan pula sedang berdiri tegak, tenang dan tidak berperasaan, sambil memandang celah kangkang pemeriksa itu dengan kesal kerana serangannya hampir kena. Melihatkan wajah Ling Lan, pemeriksa itu pula berundur tiga langkah lagi, menjauhkan dirinya daripada kumpulan Ling Lan kerana berasa tidak selamat.

Dia takut. Tengoklah kuasa di sebalik tendangan tadi! Jika Ling Lan berjaya menendangnya, pastinya dia tidak akan dapat anak lepas ini. Dia mula kesal, kenapalah dia terlalu ingin tahu? Dia mengusik kanak-kanak ini kerana terlalu teruja menemui bakat yang hebat. Tetapi dia tidak menjangka keadaan akan menjadi seperti ini.

Mereka bukanlah kanak-kanak comel seperti sangkaannya. Mereka sebenarnya anak serigala ganas yang menyamar sebagai kambing biri-biri!

Tetapi dia masih menyukai mereka!

Dia memandang ketiga-tiga orang kanak-kanak di hadapannya, masing-masing dengan ekspresi muka yang berbeza. Tidak kira sama ada ekspresi muka yang liar (Qi Long), marah (Luo Lang), atau tenang (Ling Lan), wajah mereka tidak dapat menyembunyikan ketabahan serta sifat ganas mereka. Senyumannya semakin melebar. Sesiapa sahaja akan menjadi gembira apabila menemui bakat muda yang hebat.

********

"Haha, kesian pemeriksa 072," pegawai itu tergelak menonton pertempuran mereka. Dia nampak dengan jelas betapa cemasnya pemeriksa itu dengan serangang Ling Lan.

Pegawai penguasa yang sedang memantau pegawai-pegawai lain, terdengar dia bersuara dan menoleh ke belakang. Apabila dia nampak yang suara itu datang dari pegawai yang melaporkan bilik 072 tadi, dia tidak jadi memarahinya. Lagipun, melalui pegawai itulah dia mendapat tahu tentang pewaris Mejar Jeneral Ling Xiao. Jadi, dia hanya menegur dengan lembut, "Diam. Kenapa pula kamu bersuara kali ini?"

Pegawai itu memandang ke arah pegawai penguasanya dan berdiri dengan senyuman untuk menabiknya, "Tuan, tolong tengok ini, ada masalah sedikit." Dia menunjuk ke arah skrin, meminta pegawai penguasa itu datang lebih dekat untuk melihatnya.

Pegawai penguasa itu ragu-ragu, tetapi masih membongkuk sedikit. Dia nampak tiga orang kanak-kanak menyerang dengan hampir serentak, seorang dari atas, seorang dari bawah, manakala yang terakhir mencari peluang terbuka. Walaupun mereka masih belum dilatih, mereka masih menyerang dengan teratur sehingga menyebabkan pemeriksa mereka mengalami masalah.

"Peliknya. Apa yang pemeriksa 072 sedang lakukan? Dia patut mengalahkan mereka sahaja." Pegawai penguasa itu tidak faham. Dia menganggap mudah sahaja bagi pemeriksa itu untuk mengalahkan dua atau tiga orang anak kecil.

"Tuan, tengok pergerakan budak ini dengan lebih teliti." Pegawai itu telah menonton pertempuran itu dengan lebih lama dan telah memahami masalahnya.

Pegawai penguasa itu tahu yang pegawai itu tidak akan menyebut sesuatu tanpa alasan, maka dia terus memerhatikan situasi itu.

********

Dalam bilik 072, Ling Lan mendapati semakin lama dia bertempur, semakin mudah pergerakannya. Pada mulanya, sukar untuk dia menghubungkan badannya dengan niatnya. Sudah beberapa kali dia memikirkannya sesuatu tetapi badannya lambat sedikit, membuatkan dia terlepas peluang untuk memukul pemeriksa itu. Walau bagaimanapun, selepas bertempur seketika, dia dapat merasakan badannya semakin tangkas dan mula bergerak seiring dengan niatnya.

Apabila Ling Lan semakin biasa dengan pergerakannya, pemeriksa itu mendapati pertempuran ini menjadi semakin sukar. Pada mulanya, dia masih boleh bergerak sambil lewa, tetapi semakin lama, dia mendapati yang dia tidak boleh lagi bermain-main. Sekiranya dia tidak memberikan perhatian sepenuhnya pada serangan mereka, dia mungkin akan terkena serangan Ling Lan tadi.

Selepas bertempur dengan lama, pemeriksa itu telah memahami strategi mereka. Mereka mahu mengelirukannya, dan mencari peluang terbuka untuk menyerang badannya dengan tangan atau kaki mereka. Mereka ingin membalas dendam. Dia tidak sangka yang usikannya itu telah menyebabkan kanak-kanak ini berazam untuk memukulnya.

Dia hanya boleh menghalang serangan mereka, dia tidak boleh menyakiti mereka, bukan? Sekalipun pihak tentera memberi kebenaran, dia tidak akan berbuat demikian. Yalah, tengok saja mereka! Ketiga-tiga orang kanak-kanak di hadapannya ini sangat berbakat.

Walau bagaimanapun, pemeriksa itu tidak cemas. Dia sabar menanti. Dia tahu yang mereka sudah tidak larat sejak mula lagi. Dia percaya yang tidak lama lagi mereka akan betul-betul kehabisan tenaga. Pada masa itu, mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa walaupun mereka mempunyai banyak lagi helah.

Memang betul seperti yang pemeriksa itu telah ramalkan, kanak-kanak itu tidak dapat bertarung dengan lebih lama. Luo Lang yang pertama sekali kehabisan tenaga dan ditangkap oleh pemeriksa itu, kemudian dilemparkan ke arah kumpulannya. Luo Lang rebah dan tidak bergerak. Sudah tentu pemeriksa itu memastikan yang badan Luo Lang tidak akan tercedera, dia hanya tidak dapat bergerak kerana keletihan.

Jadi, tinggal Ling Lan dan Qi Long sahaja untuk bertempur dengan pemeriksa itu. Tanpa Luo Lang, Ling Lan tidak dapat menggunakan serangan mengejutnya lagi. Jadi Ling Lan memutuskan untuk menggunakan semua gerakan asas pertempuran yang dia telah pelajari di dalam ruang mindanya.

Ling Lan tidak melupakan kata-kata Nombor Satu, 'Kamu perlu mengamalkan apa yang kamu telah pelajari, dan lebih baik jika kamu boleh mengamalkannya dalam pertempuran yang sebenar' Walaupun bertempur dengan pemeriksa itu bukanlah pertempuran sebenar, dia masih boleh mengamalkan ilmu pertempurannya, jadi sudah tentu Ling Lan tidak akan melepaskan peluang ini.

Lagipun, sepanjang pertempuran ini, Ling Lan dapat merasakan yang pemeriksa itu tidak akan mencederakan mereka. Maknanya, dia boleh menyerang tanpa rasa takut. Oleh kerana pemeriksa itu hanya akan menghalang serangan mereka, dia boleh mengambil kesempatan ini untuk berlatih semua pergerakannya. Kalau bukan sekarang, bila lagi?

Pergerakan Ling Lan semakin hebat, dan pergerakan Qi Long juga semakin agresif. Qi Long seorang kanak-kanak yang unik, dia tidak suka terlalu berfikir. Dia seorang yang berani dan kasar, tetapi ini tidak menghalangnya daripada menjadi kuat. Dia mengikut naluri untuk memilih kaedah yang paling sesuai untuk dirinya, jadi apabila serangan Ling Lan menjadi lebih ganas, dia setuju dengan cara Ling Lan dan mengikut rentaknya.

Kedua-duanya bertempur dengan ganas sehingga pemeriksa itu sukar menahan serangan mereka.

Kanak-kanak yang lain bersorak unutk Qi Long dan Ling Lan, kecuali Han Jijyun dan Luo Lang yang masih terbaring di atas tanah. Kedua-duanya kelihatan serius, mereka tidak fikir yang gaya serangan Qi Long dan Ling Lan kini berguna untuk mengalahkan pemeriksa itu.