34 Serangan Berjaya!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas beberapa serangan, Qi Long semakin penat dan tenaganya semakin berkurangan. Auranya mula tidak stabil, dan dia semakin lelah.

Ling Lan tahu yang Qi Long akan rebah tidak lama lagi. Sekiranya Qi Long menarik diri, Ling Lan tidak akan dapat menahan serangan pemeriksa itu bersendirian, apatah lagi untuk berjaya menyerang pemeriksa itu.

Ling Lan mengerutkan dahinya sambil berfikir. Sebenarnya, dia agak tidak puas hati. Jika dia tahu yang dia perlu bertarung, dia akan membawa beberapa senjata tersembunyi bersamanya. Sekalipun dia tidak berjaya memukul pemeriksa itu dengan senjatanya, dia boleh menggunakan senjata itu untuk mengalih perhatian pemeriksa itu.

Malangnya, dia hanya membawa cecair tenaga yang boleh digunakan untuk menambah tenaga fizikal, sebagai bekalan untuk ujian hari ini. Dia hanya mempunyai tiga tiub, jadi, walaupun dia mahu menggunakannya sebagai senjata, cecair tenaga ini tidak akan begitu berkesan. Dia mungkin boleh menipu pemeriksa itu buat seketika dengan membaling tiub-tiub ini ke arah pemeriksa jika dia mempunyai bilangan tiub yang banyak. Tetapi dia hanya ada dua atau tiga tiub, pemeriksa itu tidak akan tertipu.

Apa yang Ling Lan patut lakukan? Bagi Qi Long minum cecair itu untuk menambah tenaganya?

Tiba-tiba Ling Lan mendapat satu idea, dan dia cepat-cepat membuat rancangan. Dia mula menyamakan keadaannya dengan Qi Long. Dia memperlahankan serangannya sambil membuatkan auranya menjadi tidak stabil, menjadi lelah, dan berpeluh. Semua tanda-tanda luaran ini menunjukkan yang dia akan rebah tidak lama lagi.

Prestasi Ling Lan dan Qi Long yang semakin merosot menyebabkan sorakan ahli kumpulan mereka semakin perlahan. Jelas yang mereka berasa kecewa dan kesal. Nampaknya impian mereka untuk memukul pemeriksa itu tidak akan direalisasikan.

Han Jijyun dan Luo Lang berpandangan sesama sendiri, dan terenyum pahit. Secara jujurnya, mereka telah menjangkakan keputusan ini, bagaimanapun, mereka merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Mereka benar-benar berharap yang Qi Long dan Ling Lan boleh melakukan keajaiban.

Adakah benar tiada harapan lagi?

Pada ketika itu, Qi Long sekali lagi menyerang pemeriksa itu. Kali ini, oleh kerana kekurangan tenaga, Qi Long terpelanting ke belakang akibat tangkisan pemeriksa itu, dan mengambil beberapa langkah ke belakang.

Dipaksa untuk berundur menyebabkan keyakinan Qi Long mula berkurangan, dan kekuatannya dalam pertempuran ini seolah-olah semakin menghilang. Posturnya mula goyah, dan dia kelihatan seperti akan rebah. Maka Ling Lan bergegas memegangnya, dan mengambil beberapa langkah untuk menjarakkan diri mereka dengan pemeriksa itu.

"Awak tidak apa-apa?" Ling Lan membelakangkan pemeriksa itu, dan bertanya pada Qi Long sambil menggenggam tangannya.

Qi Long tersentak dan kembali bersemangat, seolah-olah kebimbangan Ling Lan telah memberinya keyakinan dan keberanian. Dia tidak berkata apa-apa, tetapi mengangguk untuk menunjukkan yang dia tidak apa-apa.

Ling Lan berpaling pada pemeriksa itu, dan berkata dengan tegas, "Jadi, marilah kita bertarung buat kali terakhir." Keadaan mereka berdua jelas menunjukkan yang mereka tidak mampu bertarung lebih lama lagi.

Qi Long menggenggam tangannya, dan berkata dengan penuh keazaman, "Okey!" Kemudian, dia mengusap mukanya dengan tangan kanan untuk mengelap peluh, dan juga seolah-olah untuk mengenepikan keletihannya dan menjadi lebih yakin. Sekali lagi dia bersemangat untuk berjuang, malahan dia kelihatan seperti lebih bersemangat daripada sebelum ini.

Walaupun dia tahu dia akan kalah, dia tidak akan mundur kerana ini merupakan peluang terakhir mereka.

Pemeriksa itu bangga dengan prestasi Qi Long dan Ling Lan. Kasih sayang dan keprihatinan pada ahli kumpulan mereka, keberanian untuk bertarung dengan lawan yang kuat. Ini semua sifat yang diperlukan untuk menjadi seorang tentera yang hebat, dan mereka berdua mempunyai sifat-sifat itu. Ini sangat jarang berlaku. Dia gembira kerana menemui bakat muda yang hebat ini.

Qi Long menyerang dahulu. Walaupun tumbukannya masih laju dan kuat, pemeriksa itu masih berjaya mengelaknya dengan mudah. Qi Long tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana dia hanya tahu beberapa gerakan pertempuran. Selepas Qi Long berulang-kali menggunakan teknik yang sama, semakin mudah pemeriksa itu mengelak serangannya.

Pemeriksa itu baru saja menghalang serangan Qi Long, apabila Ling Lan meluru mendekatinya.

Walau bagaimanapun, perhatian pemeriksa itu telah ditumpukan pada Ling Lan sepanjang masa ini. Ini kerana, berbanding dengan Qi Long, Ling Lan lebih sukar untuk ditangani. Walaupun gerakan pertempuran Ling Lan tidak begitu berbeza (dia hanya belajar satu set asas kemahiran tempur), dia lebih pintar daripada Qi Long. Pemeriksa itu sukar meramal serangannya, dan dia akan menggunakan serangan yang berbeza mengikut situasi. Semua ini membuatkan pemeriksa itu lebih banyak berfikir tentang cara untuk menangani Ling Lan.

Pemeriksa itu nampak serangan Ling Lan, dan seperti sebelum ini, Ling Lan menyerang dari sudut yang paling rumit dan paling sukar untuk dielak. Sudut-sudut pilihannya ialah sudut titik buta, sangat sukar menahan serangan dari sudut ini. Musuh hanya boleh mengelak, atau menukar serangan menjadi gerakan pertahanan untuk memaksa pihak lawan berundur.

Tanpa perlu berfikir tentangnya, pemeriksa itu mengangkat tangannya, menghalakan tapak tangannya ke luar, ke arah dada Ling Lan. Lengannya lebih panjang dan telapak tangannya lebih luas. Walaupun sebagai serangan balas, dia pasti serangannya akan mengenai Ling Lan terlebih dahulu. Setiap kali dia melakukan gerakan ini, Ling Lan akan menarik balik serangannya. Lagipun, jika serangan diteruskan walaupun sudah diketahui yang serangan itu akan gagal, hanya akan menyebabkan diri sendiri tercedera manakala pihak musuh pula tidak apa-apa. Seseorang yang bijak tidak akan mengambil tindakan sebegini.

Pada ketika itulah, terjadinya satu kemalangan. Ling Lan tidak mengelak tetapi terus meluru ke hadapan. Kemudian, sesuatu berada di laluan tangannya yang sedang mensasarkan Ling Lan. Qi Long!

Alamak! Pemeriksa itu terkejut, tetapi kerana semuanya berlaku dengan begitu cepat, dia tidak sempat menghentikan serangannya. Dia cepat-cepat mahu menarik balik kekuatan tangannya apabila dia merasakan telapak tangannya tersentuh dada Qi Long.

"Ah!" Qi Long menjerit, seluruh badannya tercampak ke udara oleh kerana serangan pemeriksa itu. Darah keluar melalui mulutnya, dan apabila dia jatuh ke atas tanah, dia tidak lagi bergerak.

"Ah... Qi Long tercedera!" Kanak-kanak yang sedang memerhatikan pertempuran itu, semuanya menjerit ketakutan. Khususnya, Han Jijyun. Mukanya menjadi sangat pucat.

Pemeriksa itu terkejut. Adakah dia terlambat menarik tangannya? Dia menumpukan perhatiannya pada Qi Long, memandang badannya yang terbaring kaku di atas tanah. Darah segar mengalir keluar daripada sudut mulutnya.

Bagaimana ini boleh berlaku? Adakah dia benar-benar tidak sempat menarik balik tepat pada masanya, dan telah menyerang Qi Long dengan kuat? Adakah dia telah merosakkan organ dalaman Qi Long? Pemeriksa itu bingung, dan tidak boleh berfikir tentang perkara lain. Dia hanya boleh nampak Qi Long yang sedang terlantar atas tanah sambil berlumuran darah.

"BAM!"

Tiba-tiba kedengaran bunyi penumbuk terkena pada daging manusia, dan pemeriksa itu tercampak jauh, kemudian terjatuh ke atas tanah.

Rupa-rupanya Ling Lan meneruskan serangannya. Dengan mengambil kesempatan ke atas kecemasan pemeriksa itu, Ling Lan menyerangnya secara senyap dan menumbuknya.

Ling Lan meniup 'senjatanya', penumbuknya yang kecil, dan tersenyum sambil berkata, "Misi selesai. Serangan berjaya. Tetapi Tuan tidak akan menggagalkan kami hanya kerana Tuan malu, bukan?"

avataravatar
Next chapter