32 Ling Lan Memulakan Serangan!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tumbukan Qi Long tersasar. Pemeriksa itu berjaya mengelak dengan menyengetkan badannya, menyebabkan tumbukan Qi Long terkena tanah dan debu berterbangan ke udara.

Walaupun demikian, serangan Qi Long telah menyebabkan tanah berlubang, kira-kira sedalam 3 inci dan selebar 1 meter. Ini menunjukkan kuasa yang digunakannya pasti tidak kurang daripada 500 kati, sama dengan berat yang Ling Lan telah angkat sewaktu ujian kekuatan.

Sangat mengagumkan yang Qi Long boleh mencapai kekuatan seberat 500 kati dengan kuasanya sendiri. Ini jelas menunjukkan kuasa yang digunakan ialah lebih tulen dan menunjukkan kekuatan sebenar berbanding dengan kekuatan Ling Lan yang dicapai melalui peredaran tenaga Qi.

Pemeriksa itu terkejut. Mungkin dia juga tidak menjangka yang Qi Long mempunyai kekuatan sehebat itu. Walaupun tahap kekuatan ini biasa sahaja baginya, perlu diingatkan yang Qi Long hanya berusia enam tahun. Pastinya apabila Qi Long semakin dewasa, kekuatannya akan menjadi lebih hebat.

Qi Long tidak berhenti menyerang hanya kerana percubaan pertamanya gagal. Sementara yang lain berdiri sahaja, dia sekali lagi melompat dan menerkam pemeriksa itu.

Malangnya, walaupun menggunakan kelajuan dan kekuatannya, serangan Qi Long dianggap lemah kerana dia belum mahir dalam ilmu pertempuran. Oleh itu, pemeriksa itu langsung tidak berasa tertekan. Jika Qi Long ialah musuh di medan perang, pemeriksa itu boleh membunuhnya dengan satu serangan.

Debu dan kotoran di udara akhirnya semakin menghilang, dan kumpulan kanak-kanak itu akhirnya dapat melihat dengan jelas pertempuran di antara Qi Long dan pemeriksa itu. Mereka memerhatikan pemeriksa itu menangkis semua serangan Qi Long dengan hanya menggunakan sebelah tangan.

Luo Lang memerlahankan suaranya dan berkata pada Ling Lan, "Saya akan pergi bantu Qi Long. Kami bergantung pada awak untuk memukul pemeriksa itu." Selepas mengatakannya, dia menyertai pertempuran itu tanpa menunggu jawapan daripada Ling Lan. Luo Lang menggunakan semua kekuatannya untuk mengayunkan penumbuk ke arah muka pemeriksa itu.

Serangan Luo Lang memaksa pemeriksa itu menggunakan sebelah lagi tangannya, dan badannya yang tadi hanya berdiri tegak juga mula digerakkan. Buat sementara waktu, pertempuran itu kelihatan seri.

Walaupun suara Luo Lang perlahan, semua kanak-kanak di sekelilingnya telah mendengar apa yang dikatakannya. Secara tiba-tiba, mereka semua menjadi kurang gementar dan berpaling ke arah Ling Lan dengan mata penuh harapan. Mereka berharap dia boleh mengikut arahan Luo Lang dan memukul pemeriksa itu.

Baiklah, ejekan pemeriksa itu sememangnya telah membuatkan kanak-kanak itu benci padanya. Tahap kebencian mereka bukannya rendah. Itulah sebabnya mereka semua mengharapkan yang dia akan terkena serangan beberapa kali supaya mereka dapat melepaskan kemarahan mereka.

Serangan Qi Long telah membuatkan Han Jijyun kembali tenang. Kini dia perasan hanya Ling Lan yang masih dapat berdiri tegak. Walaupun posisi badan Ling Lan agak pelik, namun pada masa yang sama, kelihatan agak menarik. Ini membuatkan orang lain merasakan posisi ini ialah gaya berdiri semula jadi. Walaupun Han Jijyun tidak tahu tentang posisi itu, dia dapat meneka gerak badan sebegitu pastinya sejenis seni pertempuran yang hebat.

Pandangan kumpulan kanak-kanak itu yang penuh dengan harapan membuatkan Ling Lan merasakan tekanan yang lebih berat, seolah-olah ada gunung yang sedang menghimpitnya. Dia tidak tahan dengan pandangan mereka jadi dia berpaling untuk menonton pertempuran itu. Mukanya sedikit menggerenyet sambil dia berfikir, mengapa mereka semua sangkakan dia akan dapat memukul pemeriksa itu? Adakah mereka semua tahu yang dia mempunyai ruang pembelajaran dalam mindanya?

Sudah tentu Ling Lan tahu perkara ini mustahil. Semua kanak-kanak ini telah meletakkan harapan padanya semata-mata kerana dia satu-satunya di antara mereka yang masih boleh bergerak. Kalau dia benar-benar boleh memukul pemeriksa itu, baguslah, tetapi jika dia gagal...tidak mengapa. Mereka tidak meletakkan harapan yang tinggi sejak dari mula. Mereka hanya ingin mencuba nasib tetapi untuk berjaya, mereka perlu benar-benar mempunyai tuah.

Sementara itu, selepas melawan Luo Lang buat seketika, pemeriksa itu sudah memahami pergerakannya. Kekuatannya tidak sama hebat seperti Qi Long, tetapi masih agak mengagumkan. Mungkin kekuatannya kira-kira 100 kati. Walau bagaimanapun, kecergasan fizikalnya di tahap yang lebih teruk. Selama pertempuran ini berlangsung, serangan Qi Long menjadi semakin ganas, manakala pernafasan Luo Lang pula menunjukkan tanda-tanda semakin tidak stabil hanya selepas beberapa serangan.

Namun begitu, pemeriksa itu juga tahu yang keadaan Qi Long ini jarang ditemui. Dia telah berusaha melebihi batasnya untuk menggunakan tenaga simpanan yang terpendam. Selama ini, pemeriksa itu tidak pernah nampak kanak-kanak yang boleh melepasi batasan diri sendiri tanpa rangsangan luar dari agen. Qi Long memang benar-benar berbakat.

Tiba-tiba, dia terasa seram sejuk... Pengalaman pertempurannya memberikan amaran adanya bahaya dan tanpa perlu berfikir, badannya berhenti dan kedua-dua belah kakinya menekan ke tanah. Dia menggunakan momentumnya untuk mengubah arah dan melompat dua langkah ke belakang...

Tetapi sudah terlambat! Di hadapannya, segenggam penumbuk yang putih, kecil dan lembut telah muncul dan hampir mengenai mukanya.

Namun, pemeriksa itu masih lagi seorang yang berpengalaman. Dia menyilangkan kedua tangannya dalam sekelip mata, berjaya menghalang penumbuk kecil yang kelihatan lembut dan tidak berbahaya, tetapi sebenarnya penuh dengan niat membunuh.

Tangannya dan penumbuk itu bertembung dan telah menghasilkan bunyi yang kuat. Pemeriksa itu merasakan tenaga yang kuat menghala ke arahnya. Badannya yang masih belum sempat berdiri dengan stabil sekali lagi terpaksa mengambil beberapa langkah ke belakang.

Sementara itu, dengan menyerap tenaga daripada lantunan pukulan itu, Ling Lan membuat balik kuang di udara dan mendarat dengan selamat divantara Qi Long dan Luo Lang. Sekali lagi dia melakukan kedudukan pertempuran asas yang kelihatan ganjil itu, bersedia untuk melancarkan serangan seterusnya.

Pemeriksa itu menjadi serius, dia tidak lagi bersikap main-main. Dia memandang Ling Lan yang berdiri di tengah-tengah dan merasakan peluh sejuk mengalir di belakang badannya. Siapa sangka seseorang yang mahir seperti itu bersembunyi di antara sekumpulan kanak-kanak ini? Ling Lan juga tahu untuk menyembunyikan niat membunuhnya sehingga saat terakhir sebelum menyerang.

Kalau bukan kerana dia telah bertahun-tahun berada di medan perang di mana dia telah mendapatkan banyak pengalaman serta mengasah refleksnya, dia pasti akan terkena serangan terakhir itu. Walaupun dia tidak akan cedera teruk akibat serangan itu, dia pasti akan berasa malu.

Dia meluahkan kata-kata kesat dalam hatinya. Dari mana datangnya bakat yang aneh itu? Dari segi luaran, budak ini kelihatan sangat lemah, dengan wajahnya yang lembut dan kelihatan seperti tidak tahu apa-apa. Memandangnya dari segi apa sekalipun, dia hanya kelihatan seperti seorang budak yang comel, naif, tidak bersalah dan berhati suci. Ya, walaupun dia telah merasakan sesuatu yang pelik tentang budak itu sejak awal lagi, serangan Qi Long dan prestasinya telah meraih perhatiannya. Ini menyebabkan dia tidak menghiraukan Ling Lan.

Dia tidak pernah menyangka budak seperti itu hampir membuatnya kalah.

Kekuatan Ling Lan yang tidak dijangka itu sangat menggembirakan kanak-kanak yang lain. Mereka tidak akan dapat meneka yang Ling Lan mampu menolak pemeriksa itu beberapa langkah ke belakang dengan hanya satu pukulan. Mungkinkah harapan mereka akan jadi kenyataan?

Han Xuya ialah seorang budak perempuan yang banyak bercakap dan penuh semangat. Dia menjadi begitu teruja dengan situasi sekarang. Keletihannya hilang dan dia menjerit dengan kuat, "Ling Lan, pukul dia! Pukul dia!"

Sebaliknya, Luo Chao ialah seorang budak perempuan yang pemalu dan sopan. Dia hanya tersenyum malu walaupun terkejut. Matanya bersinar dengan perasaan kagum sambil dia memandang budak lelaki kurus yang berdiri di sebelah kembarnya. Walaupun budak itu tidak tegap seperti kembarnya dan budak lelaki yang seorang lagi, di mata Han Xuya, budak itu tidak kurang hebatnya berbanding mereka dan sebenarnya lebih boleh diharap.

Ling Lan tidak tahu yang dia tanpa sengaja telah memikat hati seorang budak perempuan yang naif, hatinya penuh dengan perasaan kasih sayang. Ah, serabutnya!

Dalam bilik pengawasan, pengawas yang bertanggungjawab menjaga bilik 72 menukar siaran ke bilik Ling Lan sekali lagi kerana kebosanan. Dengan segera dia dapat melihat pertempuran di antara pemeriksa dan beberapa orang kanak-kanak. Suasana kelihatan agak tegang. Eh, dia berfikir pada dirinya sendiri, apa yang sedang berlaku?

Dia berasa ingin tahu, lalu dia menetapkan skrin sekali lagi pada bilik 72. Hanya satu tetingkap kecil ditinggalkan di sudut bawah skrin itu untuk menukar saluran ke sembilan bilik lain yang sedang dipantaunya.

Ling Lan memberi isyarat mata pada Qi Long dan Luo Lang untuk memulakan serangan mereka. Dia tahu jika dia mengetuai serangan ini, mereka pastinya tidak dapat mengalahkan pemeriksa itu.

Walaupun Ling Lan telah mempelajari kemahiran pertempuran asas daripada Nombor Sembilan dan juga kerap berlatih berlawan dengannya, semua itu hanyalah latihan mental sahaja. Masih terdapat perbezaan yang ketara berbanding pertempuran sebenar dalam dunia fizikal.

Berdasarkan serangannya tadi, Ling Lan menyedari yang badan fizikalnya tidak mampu melaksanakan apa yang dia mahukan. Kalau keadaan sebaliknya, pemeriksa itu tidak akan berpeluang mengelak serangannya.

avataravatar
Next chapter