webnovel

Kejayaan atau Kegagalan Terpulang kepada Orang yang Sama

編輯: EndlessFantasy Translation

Padang Kuruk, inilah taman permainan bagi Anak Singa Padang Rumput Tahap 6. Pada peringkat terkini permainan, terdapat hanya segelintir pemain yang akan datang ke sini untuk menaik tahap.

Hal ini kerana tahap di sini sedikit sukar. Lebih-lebih lagi, makhluk di sini banyak dan berkumpulan, dan ini menyebabkan mereka sukar dibunuh.

Anak-Anak Singa ini memburu dalam kumpulan yang terdiri daripada tiga hingga lima ekor. Kadangkala, mereka juga akan ditemani seekor Singa Padang Rumput Elit yang sudah dewasa, lagi menyukarkan keadaan.

Namun, kini terdapat sekumpulan enam orang pada padang ini, yang sedang melawan sekumpulan singa. Seorang perempuan dalam perisai biru air menghunus pedang besarnya dan berhadapan secara langsung dengan seekor Singa Padang Rumput Elit. Bukan sahaja dia telah mengelak kuku-kuku tajam Singa Padang Rumput dengan mudah, dia juga telah mengambil peluang untuk menyerang dan memberikan kemusnahan. Penampilan beraninya mampu menarik hati wanita juga.

Perempuan ini adalah Dewi Salji, Salji Lembut. Dia telah mencapai Tahap 5, dan dia memakai Set Peralatan Gangsa Tahap 4, Parut Azura. Dalam tangannya, dia memegang Pedang Penakluk bertahap Besi-Misteri. Berbanding dahulu, kekuatan terkininya telah meningkat dengan banyak.

Selain itu, terdapat juga seorang Pahlawan Pelindung yang boleh tahan juga handal, menghadap empat Anak Singa Padang Rumput sekaligus. Perawat kumpulan tersebut, Xiao Yue'er, membaca doa, tangan halusnya menulis ayat-ayat suci di udara. Xiao Yue'er menjaga Pahlawan Pelindung sambil merawat Salji Lembut, membolehkan kedua-dua HP mereka tetap berada di atas garisan selamat.

Dukun Api, Zhao Yueru, juga memakai Set Peralatan Api Khayalan. Bebola Api besar menembak keluar daripada tangannya secara berterusan, menyebabkan bilangan kemusnahan yang menakutkan muncul di atas kepala Singa Padang Rumput tersebut.

Dalam beberapa detik, mereka telah membunuh kumpulan singa yang diketuai Elit itu.

Salji Lembut mengambil habuan daripada Singa Padang Rumput tersebut, dan mendapati ia sebuah buku kemahiran. Tiada peralatan yang tercicir. Dia kemudian memandang ke arah Xiao Yue'er, sambil berkata, "Xiao Yue'er, ini awak punya Pelindung Cahaya Suci; belajar cepat-cepat. Lepas rehat, kita akan terus cari lagi seekor Singa Padang Rumput. Ia sangat penting untuk kita mendapatkan kemahiran Kebangkitan Semula."

"Hebat! Dengan kemahiran ini, merawat tak akan menjadi sesuatu yang sukar lagi," Xiao Yue'er berkata dengan gembira sambil menerima kemahiran tersebut.

Kini berehat, Zhao Yueru tiba-tiba bertanya dengan nada ingin tahu, "Salji, Perdagangan Tukul itu sudah pun mengumpul kemasyhuran yang banyak. Kita sepatutnya menghantar sekurang-kurangnya seorang untuk merekrutnya. Kita masih boleh memperluaskan populariti Kesatuan kita kalau berjaya. Lagipun, kemahiran Penempaannya boleh tahan. Mesti malang kalau kita benarkan Kesatuan lain merampasnya."

"Tak perlu. Tak lama sebelum Peralatan Gangsa Tahap 3 jatuh nilainya. Dia hanya tahu menempa Peralatan Gangsa Tahap 3 dan tak memiliki apa-apa Rekaan Penempaan untuk peralatan tahap lebih tinggi. Kenapa kita perlu mengeluarkan bilangan wang yang lumayan untuk bersaing dengannya? Kita hanya akan membazirkan wang sahaja. Lebih-lebih lagi, kita tak tahu bila Kesatuan kita akan mendapatkan Rekaan Penempaan untuk Peralatan Gangsa bertahap tinggi. Buat apa kita perlukan dia?" Salji Lembut menggeleng kepalanya. Dia tidak mempunyai apa-apa minat terhadap seorang seperti Perdagangan Tukul. Sebaliknya, dia berkata, "Malahan, saya lebih berminat dengan si Penempa Api Hitam, terutamanya tindakan-tindakannya. Saya tak dapat membaca niatnya.

"Jika dia berniat menarik perhatian Kesatuan-Kesatuan kelas pertama dan menonjol, jadi kenapa dia ingin menyembunyikan namanya. Mesti ramai Kesatuan besar yang akan menghubunginya. Namun, dia telah menyembunyiknan namanya, lantas menghalang sesiapa daripada menghubunginya. Maksudnya, dia tidak mengingini siapa-siapa mengetahui identitinya. Tapi, dia masih bersaing dengan Perdagangan Tukul, menurunkan harga peralatannya dan memberitahu semua orang tentang kewujudannya lagi sekali. Kini dia telah menarik perhatian kita, pada saat yang paling genting, dia tiba-tiba menarik diri daripada persaingan dan lenyap dari mata kita sekali lagi.

"Dia telah menunjukkan kita tiga jenis peralatan tempaan yang berbeza secara berterusan. Kemampuan untuk mendapatkan Rekaan Penempaan untuk Peralatan Gangsa yang banyak begitu menunjukkan kekuatannya yang hebat. Namun, kenapa dia tiba-tiba menarik diri? Apa sebenarnya matlamat Penempa Api Hitam ini? Ataupun dia menarik diri kerana dia sudahpun mencapai matlamatnya?

"Hingga sekarang, saya masih tak tahu apa Penempa Api Hitam ini cuba nak buat. Dia penuh dengan misteri dalam semua aspek."

"Salji, apa kata saya cari seseorang untuk mengkaji penempa ini? Kata-kata awak membuatkan saya ingin tahu siapa orang ini."

Setelah mendengar analisis, kesedaran menyentap Zhao Yueru. Dia tiba-tiba berminat dengan Penempa Api Hitam ini. Dia juga merasai orang ini bukanlah biasa-biasa. Minatnya terhadap identiti Penempa Api Hitam melimpah-ruah. Hanya gambaran mendedahkan identiti orang ini membuatnya berasa sedikit teruja.

Sementera itu, di dalam sebuah Bilik Penempaan Menengah pada tingkat kedua Persatuan Penempaan…

"Wahai kalian, bagaimana pertimbangan kalian?" tanya Perdagangan Tukul sambil santai duduk bersila dan memandang wakil-wakil Kesatuan-Kesatuan kelas pertama dengan mata mengecil.

Namun, syarat-syarat yang dikemukakan oleh Perdagangan Tukul menyebabkan Kesatuan-Kesatuan kelas pertama ini senyap seribu bahasa.

Syarat-syarat Perdagangan Tukul terlalu berat. Permintaan untuk dapat vila dalam bandar yang dihuninya serta gaji tahunan lima juta Kredit akan menyebabkan Kesatuan-Kesatuan ini mengundurkan diri, apatah lagi dia mahukan dirinya diberi keutamaan dalam hal kesemua sumber ini. Layanan sebegini barangkali hanya dinikmati oleh Ketua Kesatuan dan Timbalan Ketuanya. Manakala, Perdagangan Tukul mahukan layanan yang sama seperti mereka. Habis, bukankah itu bermaksud dia berada setaraf dengan Ketua Kesatuan dan Timbalan Ketua Kesatuan?

"Kalian perlu fikir masak-masak. Bukan senang untuk saya mendapatkan reputasi yang hebat sebegini. Selagi saya menyertai Kesatuan kamu, populariti kamu akan terus mendadak dan melepasi Kesatuan-Kesatuan yang lain. Kamu tidak akan kekurangan Peralatan Gangsa dan boleh menarik wang yang banyak daripada teknik-teknik penempaan saya. Harga yang saya bagi tidaklah besar mana," kata Perdagangan Tukul sambil tersenyum. Air mukanya seolah-olah berkata, "Kalau kamu tak merekrut saya, orang lain tentu mahu. Jangan menyesal kalau saat itu sampai."

Perdagangan Tukul seolah-olah sedang menyuap Kesatuan-Kesatuan kelas pertama ini dari tapak tangannya sendiri. Kini, setiap satu Kesatuan kelas pertama ini ingin satu langkah di hadapan kesemua yang lain. Jika begitu, mereka akan memiliki kelebihan yang lebih banyak dengan menguasai sesebuah Bandar. Kekayaan yang datang dengan penguasaan sesebuah Bandar maya bukanlah sesuatu yang setanding lima juta Kredit dan sebuah villa semata-mata. Harga permintaan Perdagangan Tukul adalah dikira rendah.

Melihat wakil-wakil Kesatuan-Kesatuan kelas pertama ini, walaupun air muka mereka teragak-agak, mata mereka bersinar dengan keyakinan untuk merekrutnya. Perdagangan Tukul tiba-tiba merasai tindakannya melaburkan segala hartanya ke dalam pertandingan kali ini benar-benar bijaksana. Jika dia tidak berkeras hati untuk meminjam wang daripada ceti haram pada saat terakhir, dia mungkin telah betul-betul ditewaskan oleh Penempa Api Hitam. Mujurnya, Penempa Api Hitam berserah diri selangkah lebih awal daripadanya, jadi dialah yang merasai hasil kemenangan akhir.

Sebaik sahaja Perdagangan Tukul mengagumi dirinya, air muka para wakil yang hadir di keliling meja persidangan tiba-tiba berubah. Setiap satu daripada mereka mendedahkan air muka terkejut dan gembira.

"Abang Perdagangan Tukul, saya benar-benar meminta maaf, tetapi Kesatuan kami telah memutuskan untuk menarik diri daripada pertandingan ini dan berserah kepada Kesatuan-Kesatuan lain. Kesatuan kami tidak akan terlibat lagi, dan saya ada urusan lain, jadi saya minta diri dahulu," kata wakil Persekutuan Sungai Bintang dengan tiba-tiba.

"Harganya cuma terlalu tinggi. Kesatuan kami terpaksa menarik diri juga. Kami hanya mampu berharap kami dapat bekerjasama dengan kamu pada masa depan."

….…

Buat seketika, kesemua wakil Kesatuan mula beredar. Lebih-lebih lagi, setiap satu mereka seolah-olah dalam keadaan tergesa-gesa. Ia seolah-olah mereka tidak sabar untuk terus cabut lari ke tempat lain, tanpa membuang walau sedikit pun masa.

"Apa maksud kalian? Perundingan tamat? Elok kalian jangan menyesal. Saya Penempa yang boleh membikin Peralatan Gangsa! Saya takkan sertai kelak, walaupun awak semua merayu!"

"Hebat sangatkah kebolehan menempa Peralatan Gangsa? Sekarang, Rumah Lelong sedang menjual Rekaan Penempaan untuk Peralatan Gangsa. Dengan Rekaan Penempaan, kami boleh melahirkan penempa-penempa kami sendiri. Kami tak perlu menghabiskan lima juta Kredit pun," kata salah satu wakil sambil mentertawakan Perdagangan Tukul dan meninggalkan Bilik Penempaan itu.