webnovel

Satu Lagi Penghantaran Ekspres Udara Segera

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Saya memang tahu beberapa maklumat, tetapi itu semua berlaku 40 tahun lalu," Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa menerangkan dengan perlahan.

"Empat puluh tiga tahun yang lalu, semasa saya mengembara di seluruh dunia, saya telah melalui sebuah kampung di rantau Timur China. Pada masa itu, semua orang di kampung itu terbunuh kerana menjadi korban darah menggunakan kaedah kejam dan tidak ada yang selamat. Tujuannya untuk menghasilkan kebencian secara paksa dan mencipta hantu yang penuh dengan dendam. Kaedah itu biasanya digunakan oleh pertapa hantu yang jahat.

Pada masa itu, saya sangat marah dan telah bersumpah untuk menghapuskan semua pertapa hantu yang jahat itu dan saya tidak membiarkan seorang pun daripada mereka terlepas. Selepas itu, saya telah menjejaki mereka untuk masa yang lama, tetapi malangnya, saya hanya dapat membunuh beberapa orang pertapa hantu bawahan yang tidak penting. Bagaimanapun, saya berjaya mencari Tiga Tanda Kepala Binatang Bercakaran pada badan mereka."

Apabila Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa masih muda, dia seorang lelaki yang mematuhi kebenaran dengan sepenuh jiwa raganya dan sentiasa memperjuangkan keadilan.

Selain itu, ketika dia masih muda, dia mempunyai keperibadian yang kasar dan dia suka bersumpah setiap kali dia bertemu dengan ketidakadilan.

Sama seperti apabila dia bertemu dengan pertapa hantu yang jahat itu, dia telah bersumpah dengan syurga dan bumi sebagai saksi untuk menghapuskan sepenuhnya kumpulan pertapa hantu jahat yang telah berusaha untuk menghasilkan hantu yang penuh dengan dendam.

Dia telah membuat beribu-ribu sumpah ketika dia muda, semuanya seperti ini.

Tetapi kini, dia membawa sebuah buku nota kecil bersamanya kerana dia membuat rekod sumpah-sumpah yang dia pernah lakukan ketika dia masih muda.

Sumpah yang dibuat oleh pertapa menggunakan langit dan bumi sebagai saksi tidak boleh dianggap ringan. Apabila suatu sumpah dibuat, orang itu perlu berusaha keras untuk melengkapkannya dengan membuat rancangan yang teliti. Jika tidak, jiwa mereka tidak akan lengkap dan akan membuatkan satu semangat jahat dalam diri mereka untuk keluar pada masa depan apabila mereka maju dalam peringkat pertapaan mereka.

Sekarang ini, Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa telah berusaha sebaik mungkin untuk mencari masa dan menyelesaikan segala macam sumpah yang dibuatnya ketika dia masih muda dengan pipinya yang mengalir dengan air mata. Walaupun dia telah berusaha keras untuk melengkapkan sumpah-sumpah sebelumnya, kenapa masih ada begitu banyak sumpah dalam buku nota kecil itu?

Ada ketikanya, Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa benar-benar berharap yang dia mempunyai kuasa untuk kembali ke masa lalu. Dia akan kembali ke masa lalu dan memberikan tamparan seberat tiga ratus paun pada diri mudanya yang membuat sumpah dengan aspirasi yang besar supaya fikirannya lebih jelas dan berhenti menambah beban pada diri masa depannya!

Kembali ke topik sebelumnya. "Saya ada terdengar dari Mahaguru Ubatan yang kamu mempunyai petunjuk tentang pertapa hantu Tiga Tanda Kepala Binatang Bercakaran itu?" Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa bertanya.

"Saya mempunyai beberapa petunjuk kecil dan ini semua disebabkan oleh bantuan dari Tuan Mahaguru Ubatan. Sekiranya semua berjalan dengan lancar, saya sepatutnya dapat mencari lokasi organisasi Mahaguru Altar ini dalam masa beberapa hari akan datang." Song Shuhang menjawab.

Dia hanya dapat memperoleh beberapa maklumat dari lelaki berlengan panjang itu tentang Mahaguru Altar sebentar tadi.

"Bagus, semua pertapa hantu yang jahat itu mesti dihukum mati. Sayang sekali saya sedang berada di rantau Barat China untuk selesaikan beberapa perkara dan tidak dapat membantu kamu." Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa agak muram dan bercakap lagi.

"Jadi, Rakan Mudaku, hantarkan alamat tempat tinggal kamu kepada saya. Saya akan menghantar beberapa azimat kepada kamu esok dan saya berharap ini akan membantu kamu."

Azimat? Fikiran Song Shuhang dengan serta-merta teringat pada kertas azimat emas yang mempesonakan yang dilontarkan oleh Bulu Lembut ketika dia bertarung melawan roh hantu dahulu!

"Akhir sekali, Rakan Dao Yang Tertekan Dengan Timbunan Buku, nama dao ialah wajah seseorang pertapa dan nama dao kamu agak aneh dan tidak mudah untuk disebut. Lebih baik kamu tukar kepada nama dao yang lain! Jangan lupa untuk hantar alamat tempat tinggal kamu yang boleh menerima bungkusan dan saya akan hantarnya pada kamu dengan segera." Selepas Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa selesai bercakap, dia cepat menutup panggilan kerana dia takut bahawa Song Shuhang akan menolak niat baiknya.

"..." Song Shuhang menggumam sendirian.

'Tertekan Dengan Timbunan Buku hanyalah nama pengguna perbualan aku, bukannya nama dao aku!'

Patutkah dia menukar namanya?

'Sekiranya semua orang ingat yang itu nama aku, mereka akan memanggil saya sebagai 'Rakan Dao yang Tertekan dengan Timbunan Buku ','Tuan yang Tertekan dengan Timbunan Buku' dan lebih kurang begitu. Hati aku rasa sakit bila dengar begitu.'

Tidak lama selepas itu, Song Shuhang membuka templat mesej teks dan menaip alamat tempat tinggalnya sebelum menghantarnya ke Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa.

Sebenarnya, Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa tidak perlu mengakhiri panggilannya.

Song Shuhang bukanlah seseorang yang akan cuba berlagak dengan berpura-pura menjadi lebih kuat daripada keupayaan sebenarnya. Dia tahu bahawa ada perbezaan kekuatannya antara dia dan lawannya, 'Mahaguru Altar'. Pada masa ini, walaupun dia mendapat bantuan dari azimat atau seseorang yang sudi datang untuk membantu, Song Shuhang pasti tidak menolak niat baik sesiapapun.

Berkenaan dengan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan hidupnya, buat apa lagi dia hendak malu?

'Aku tertanya-tanya azimat jenis apa yang Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa akan berikan pada aku?

'Lagipun inikan azimat !!! '

Azimat emas yang Bulu Lembut pernah gunakan itu, salah satunya dapat menyekat dua roh hantu dan kekuatannya tidak dapat ditandingi.

Bagi Song Shuhang, ini sudah pasti akan berguna untuk membantunya apabila dia memerlukannya.

❄❄❄ 

7 Jun. Matahari menyinar dengan terik.

Setiap tahun pada masa ini, ia hari yang paling sukar buat pelajar sekolah tinggi kerana peperiksaan kemasukan kolej China telah diatur untuk bermula pada hari ini.

Tetapi, setiap tahun pada masa ini, Bandar Kolej Jiangnan akan bergembira dengan nasib malang orang lain dan mengadakan pertandingan sukan. Itu mencerminkan kebencian yang mendalam dari pihak lembaga utama Bandar Kolej Jiangnan terhadap pelajar sekolah tinggi yang sedang menderita ini.

Larian lelaki 5000 meter itu salah satu acara yang diadakan pada hari pertama pertandingan sukan.

Sebagai seorang peserta, Song Shuhang telah bangun awal kerana dia berhasrat untuk melatih otot-otot dan tulangnya supaya lebih selesa dan dengan mudah mendapatkan tempat pertama. Tak salah jika dia mahu berlagak sedikit, kan?

Apabila dia bangun, dia menyentuh bahagian belakang pedang terbang yang diletakkan di sebelah katilnya.

Pedang terbang pada dasarnya ialah khazanah yang tidak akan tercemar dengan darah tetapi Song Shuhang telah salah faham dan merasakan yang dia dapat mencium bau darah padanya.

"Seperti yang dijangkakan, ini bukan mimpi." Song Shuhang berfikir dengan kuat.

Semalam... dia telah mencincang seseorang untuk kali pertama dan dia memotong kepala orang itu. Kejadian kepala lelaki berlengan panjang yang terbang itu masih melekat kuat dalam fikirannya. Sebagai titisan darah pertama Song Shuhang yang telah tumpahkan sepanjang hayatnya, rupa lelaki berlengan panjang ini akan disimpan dalam minda Song Shuhang untuk masa yang sangat lama.

'Selepas ini aku masih perlu tewaskan Mahaguru Altar.' Song Shuhang menggenggam erat pedang terbang di tangannya dengan kuat.

Musuhnya itu telah tersalah anggap bahawa dia ialah seorang 'pakar' dan dia sangat takut sehingga dia melarikan diri dari Daerah Jiangnan. Walau bagaimanapun, Song Shuhang tidak dapat mempertaruhkan nyawa sendiri dan keselamatan keluarganya dengan meletakkan harapannya pada salah faham musuh itu.

Sekiranya dia tidak menyelesaikan masalah besar ini, Song Shuhang tidak dapat hidup tenang. Nasib baik, dia akan mempunyai beberapa petunjuk pada petang ini.

❄❄❄ 

Selepas mencuci muka dan membilas mulutnya, Song Shuhang membuka pintu asrama untuk keluar dan bersenam.

Apabila dia membuka pintu, dia menyedari bahawa seorang lelaki bertubuh besar yang memakai baju korporat dan tersenyum lebar dari telinga ke telinga berdiri di luar.

'Aku seperti pernah melihat lelaki ini, siapakah dia?'

"Pelajar Shuhang, kita berjumpa lagi. Saya Jiang dari Penghantaran Ekspres Fengshou. Anda mempunyai satu lagi penghantaran ekspres hari ini." Lelaki itu memberikan satu senyuman lebar yang mesra.

'Oh, aku ingat, dialah Encik Sima Jiang dari Penghantaran Ekspres Fengshou.'

Sebelum ini, ketika dia datang untuk memberikan penghantaran ekspres, Song Shuhang tidak tahu tentang statusnya dan menganggap dia hanya seorang lelaki penghantar biasa. Sebab itulah dia memanggilnya Si Kecil Jiang. Pada masa itu, sudut mulut Sima Jiang bergerak. Dia boleh dianggap sebagai orang yang berstatus tinggi dan panggilan Si Kecil Jiang yang terlalu biasa itu sangat mengejutkan.

Bagaimanapun, dari awal lagi dia memanggil dirinya sebagai Si Kecil Jiang. Alasannya, dalam tempoh tiga hari, dia menerima dua penghantaran daripada penghantar dan lokasi berbeza dengan kedua-dua penghantar mempunyai latar belakang yang mengejutkan.

Sebab itulah dia tidak kisah dipanggil sebegitu rupa! Dia tidak kisah jika orang lain memanggilnya dengan panggilan Jiang yang lebih kecil!

Setelah melihat Sima Jiang, Song Shuhang segera memikirkan apa yang dikatakan Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa semalam yang dia akan membuat penghantaran ekspres.

Penghantaran ekspres yang dihantar pada tengah malam telah sampai pagi pada jam 6 pagi? Jenis kelajuan apa ini?

"Selamat pagi, Rakan Kecil Jiang. Satu lagi penghantaran ekspres udara segerakah?" Song Shuhang bertanya.

"Ya, ini penghantaran ekspres udara segera dari China Barat. Saya secara peribadi telah menerbangkan pesawat untuk menerimanya dan menggunakan kelajuan terpantas untuk menghantarnya kepada anda, Pelajar Shuhang. Saya harap saya tidak buat anda tertunggu?" Sima Jing mengeluarkan penghantaran yang sebesar kotak telefon bimbit dari belakangnya.

Ia dibalut dengan pelbagai lapisan dan ditutup rapat.

"Saya tidak tertunggu-tunggu dan anda datang pada masa yang tepat. Terima kasih kerana menghantar pesanan ini, di mana saya perlu tandatangan?" Song Shuhang sangat mempercayai penghantar ini, Si Kecil Jiang. Bungkusan yang dihantar sebelum ini juga tidak terjejas atau rosak.

"Tandatangan di sini juga sudah cukup." Sima Jiang menyerahkan sebatang pen.

Semasa Shuhang sedang menandatangani pesanan itu, dia tiba-tiba teringat dengan pedang terbang besi hitam milik Mahaguru Utama Prinsip Pemikir dan bertanya, "Ya, Si Kecil Jiang, saya mungkin mempunyai bungkusan untuk dihantar dalam masa beberapa hari lagi. Saya akan menghubungi anda pada masa itu."

Selepas dia menyelesaikan urusan 'Mahaguru Altar' dalam beberapa hari lagi, dia akan menghantar semula pedang Mahaguru Utama Prinsip Pemikir itu. Memandangkan perkhidmatan Penghantaran Ekspres Fengshou sangat baik, dia terus terfikirkan tentang itu.

"Di mana ia akan dihantar? Adakah anda memerlukan penghantaran ekspres udara segera saya?" tiba-tiba, mata Sima Jiang bersinar sambil dia bercakap dengan nada gembira.

"Tidak perlu. Penerimanya tidak perlukan bungkusan saya dengan segera. Saya cuma akan gunakan penghantaran biasa. Apabila saya mahu menghantarnya dalam masa beberapa hari lagi, saya akan menghubungi anda." Song Shuhang menjawab sambil tersenyum.

"Tak ada masalah! Anda boleh menghubungi saya bila-bila masa!" Sima Jiang melontarkan senyuman. Perkhidmatannya lima bintang dan tiga puluh dua orang suka.

Song Shuhang mengambil bungkusan itu sambil tertanya-tanya kesan apa yang azimat Mahaguru Istana Azimat Tujuh Nyawa berikan padanya itu boleh hasilkan.