webnovel

Mahaguru Altar Pengecut

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Keputusan kamu untuk menjadi pertapa bebas ialah satu keputusan yang bijak. Sekarang ini, kamu perlukan banyak perkara daripada dunia manusia. Di masa depan nanti, kamu perlukan lebih banyak wang untuk membeli barangan yang berkaitan dengan dunia pertapaan. Kamu mungkin perlukan peralatan bina badan, mencari tempat untuk pertapaan termasuklah ramuan untuk ubat-ubatan yang kamu boleh beli daripada komuniti manusia. Lagipun, dalam frasa, 'kekayaan, sahabat, harta benda, tanah, kekayaan ialah yang pertama disebut dalam senarai itu." Mahaguru Ubatan ketawa terbahak-bahak. Dan semestinya, 'kekayaan' yang dia sebut itu bukanlah dalam bentuk wang biasa. Ia merujuk kepada khazanah semula jadi, ubat-ubatan herba yang berharga, pil ubat yang berkualiti tinggi dan senjata suci yang biasa digunakan dalam kalangan pertapa.

"Saya tidak tahu bagaimana pertapa lain dalam kumpulan mencari wang, tetapi saya boleh beritahu rahsia saya mencari wang kepada kamu. Lagipun, saya tidak hiraukan kekayaan dunia manusia." Mahaguru Ubatan ketawa sekali lagi, "Selepas kamu berjaya melalui Pertubuhan Asas, saya akan mengajar beberapa cara untuk memperbaiki pil cecair yang tidak mempunyai kegunaan buat pertapa tetapi sangat berguna untuk manusia biasa. Apabila tiba masanya nanti, saya akan ajarkan bagaimana untuk berlagak seperti, oh maaf, maksud saya, bagaimana caranya untuk mendapatkan wang dunia manusia yang banyak."

Mata Song Shuhang berkilau.

"Tuan, apa yang perlu saya lakukan untuk Tuan?" Shuhang sudah faham akan kebiasaan ahli kumpulan sembang grup itu. Iaitu, budi yang baik, perlu dibalas dengan kebaikan. Contohnya semalam, Pertapa Bebas Sungai Utara mahu menghadiahkan teknik Pertubuhan Asas kepada Shuhang. Dia juga beritahu itu sebuah pelaburan untuk Shuhang.

"Haha, nampaknya kamu sudah mempelajari tentang adat kebiasaan dalam Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan, bukan?" Mahaguru Ubatan ketawa, "Saya sendiri belajar tentang cara memperoleh wang itu semata-mata untuk mendapatkan dua puluh jenis herba ubat laut dalam setiap tahun. Selepas ini, kamu akan menapis ubat-ubatan untuk tujuan perdagangan. Kamu cuma perlu berikan dua puluh ramuan dan empat puluh peratus daripada kekayaan yang kamu terima daripada pihak lain setiap tahun. Baki enam puluh peratus keuntungan lagi akan dihitung sebagai bayaran upah kerana kamu telah bekerja untuk saya. Kita akan bincangkan maklumat yang lebih terperinci selepas kamu berjaya melalui Pertubuhan Asas."

Song Shuhang tidak tahu berapa banyak bahagian enam puluh peratus keuntungan yang disebut oleh Mahaguru Ubatan itu. Tetapi dia menerima syarat yang dibuat oleh Mahaguru Ubatan dengan senang hati.

Mereka berdua bercakap sambil berjalan.

Tidak lama kemudian, mereka tiba di lorong kecil Kawasan Lorong Bertuah tempat 'lelaki bernama Song' menyelamatkan seorang gadis yang diganggu oleh penjahat di situ.

"Hmm?" Mahaguru Ubatan tiba-tiba menghentikan langkahnya.

Kemudian, dia memalingkan kepalanya dengan pantas ke arah belakang lorong itu, pandangan matanya tajam seperti pedang yang dapat menembusi jiwa seseorang!

"Kenapa? Tuan?" Song Shuhang yang sedang keliru itu bertanya.

Tidak lama kemudian, Mahaguru Ubatan berpaling dan tersenyum, "Tidak ada apa-apa, ada pengintip di sini. Biasanya ada orang yang dihantar untuk mengekori saya setiap kali saya keluar. Sama ada mencari peluang untuk mengampu saya, ingin meminta bantuan saya untuk memperbaiki beberapa pil ubat atau mereka melihat jika saya sedang mencari beberapa ubat herba yang berharga, dengan harapan untuk mengambil sisa ramuan herba itu dari saya. Kerana perangai mereka yang sangat menjengkelkan ini, jadi setiap kali saya mencari tempat untuk menggali herba, saya tetap akan ambil kesemua tumbuhan herba yang ada di situ. Walaupun tumbuhan Rumput Misteri Embun Pagi yang paling biasa... Saya tidak akan meninggalkan walau sehelai rambut pun di tempat itu!"

Jadi maknanya, Mahaguru Ubatan ialah peranti pencari harta karun dalam bentuk manusia? Sentiasa menemui tempat yang dipenuhi ubat herba? Jika tidak, mengapa ada orang yang mengikutinya hanya untuk mengambil sisa tumbuhan yang dia temui itu?

Nampaknya Mahaguru Ubatan mempunyai dendam yang besar terhadap pengintipnya.

Di sudut paling dalam di lorong kecil itu, satu bayang-bayang bersandar lemah di dinding. Kedua-dua tangannya menggeletar saat ia mengeluarkan rokok dan menyalakannya dengan senyap.

Bayang-bayang itu tidak lain tidak bukan ialah milik Mahaguru Altar merupakan sebuah tragedi bergerak dan bernyawa.

'Aura yang dia bawa itu sangat menakutkan. Mungkin ini berlaku kerana tekanan yang dibawa akibat daripada perbezaan kualiti qi tulen.'

Saat Mahaguru Ubatan memandangnya dengan pandangan tajam itu, dia berasa seolah-olah dia hampir mati.

Mahaguru Altar telah mengikut jejak Song Shuhang untuk tiba di kawasan Jiangnan. Dia mahukan roh hantu miliknya itu yang telah diambil oleh Shuhang dan Bulu Lembut.

Tetapi, dia bukannya mahukan roh hantu yang Bulu Lembut simpan itu.

Gadis itu mengembara dalam jarak yang jauh untuk mengambil roh hantu. Dia kelihatan seolah-olah sudah bersumpah untuk mendapatkannya tak mengira apapun cabarannya. Selain itu, gadis itu mempunyai kuasa yang hebat dan dia berasal dari keluarga yang berpengaruh. Mahaguru Altar berfikir sekiranya dia cuba berlutut dan menyerahkan segala harta miliknya pun, gadis itu tidak akan mempedulikan permintaannya. Cubaan untuk mendapatkan roh hantu dari dia mustahil walaupun Mahaguru Altar belum mencuba kaedah itu. 

Bagaimana sekiranya dia mencuri semula roh hantu itu daripada Bulu Lembut? Mahaguru Altar belum cuba untuk mempertimbangkan cadangan itu. Dia merasakan sepuluh orang Mahaguru Altar masih tidak cukup untuk mengalahkan gadis itu.

Sebaliknya, lelaki pemikir bernama 'Tuan Song' yang misteri dan itu seperti tidak pedulikan tentang roh hantu. Dia cuma menerima roh hantu kerana mengikuti permintaan Bulu Lembut. Mungkin 'Tuan Song' ini sangat kuat sehingga dia tidak perlukan roh hantu sebegini. Sekiranya tekaan dia betul, dia mungkin mempunyai peluang untuk menukar roh hantu itu dengan Shuhang!

Mahaguru Altar mempunyai harapan yang tersisa di dalam hatinya. Sebab itulah dia menghantar beberapa pengikutnya untuk mengintip Song Shuhang secara rahsia.

Dia juga mengarahkan orang bawahannya untuk mengumpulkan maklumat mengenai 'Senior Song' dan pastikan sekiranya Shuhang perlukan sesuatu. Dia berbuat begitu supaya dia dapat memenuhi permintaan Shuhang untuk mendapatkan roh hantu itu semula.

Keesokan harinya, 'Maklumat peribadi Song Shuhang telah dihantar oleh orang bawahan kepada Mahaguru Altar.

Song Shuhang, lelaki, berusia lapan belas tahun. Fakulti Kejuruteraan Mekanik Jiangnan, Pusat Pengajian Reka Bentuk dan Pembuatan Mesin, pelajar baru kelas ke-19 Jabatan ke-43, bekas pelajar Sekolah Menengah Linluo.

Kini menginap di Bandar Kolej Jiangnan.

Seorang pemuda biasa. Profil peribadi Shuhang juga menyatakan dia tidak ada rekod lampau yang tidak baik dan dia merupakan seorang pelajar yang suka membantu orang lain.

Mahaguru Altar sangat terkejut ketika dia melihat profil 'Tuan Song yang misteri' itu.

Maklumat yang dia lihat itu betul, bukan? Mungkinkah dia telah terpesona dengan profil Shuhang? Profil ini, adakah ini profil seorang pertapa? Bukankah ini profil seorang pelajar kolej lelaki biasa?

'Adakah ini profil palsu?' Itulah perkara pertama yang muncul dalam fikirannya.

Dia meneliti profil ini untuk beberapa ketika. Terdapat gambar bersaiz dua inci pada profil itu. Gambar profil itu menunjukkan seorang pemuda dengan senyuman yang menyejukkan hati. Dia yakin inilah wajah 'Tuan Song' itu.

Mahaguru Altar memegang profil Shuhang. Dia sedang berfikir dengan dalam.

Di dalam otaknya sedang berlaku satu kekacauan yang mengharukan. Ratusan ribu perkara muncul dalam kepalanya.

Akhirnya, dia memilih untuk mengintip Song Shuhang seorang diri.

Dia mahu mengesahkan sama ada terdapat kesilapan dalam maklumat yang diberikan oleh orang bawahannya. Jadi, adakah Song Shuhang seorang pertapa yang berkuasa atau seorang manusia biasa?

Sekiranya 'Tuan Song' ini benar-benar seorang manusia biasa, lebih mudah untuk dia rampas roh hantu itu daripada Shuhang!

Pada masa itu, Mahaguru Altar berjanji pada dirinya. Sekiranya Song Shuhang ini hanya manusia biasa, dia akan menyiat saluran darah dari kulit Shuhang, kemudian mengeluarkan jiwanya dan menjadikan Shuhang seekor hantu yang penuh dengan dendam! Itulah satu-satunya cara untuk menghilangkan kebencian dalam hatinya kerana ketakutan yang dia telah rasai selama beberapa hari.

Dan sebab itulah... dia sendiri yang bergegas menuju ke Bandar Kolej Jiangnan.

Ketika tiba di kawasan Jiangnan, dia melihat Song Shuhang berjalan dengan seorang lelaki shamate1 yang bergaya.

Dia mengekori mereka dengan berhati-hati sambil sedaya upaya menyembunyikan kehadirannya. Lagipun, dia perlu lebih teliti sebelum dia mengesahkan sama ada Song Shuhang seorang pertapa yang berkuasa atau seorang manusia biasa.

Dia merasakan dia sudah bersembunyi dengan baik kerana Song Shuhang dan lelaki shamate itu tidak menyedarinya kehadirannya.

Pertama, dia akan memerhatikan Song Shuhang selama beberapa hari. Kemudian dia akan mencari peluang untuk menguji dan melihat sama ada Song Shuhang seorang pertapa atau manusia biasa semata-mata! Itulah rancangan asalnya.

Tetapi, walaupun dia merasakan dia telah bersembunyi dengan baik, lelaki shamate yang berjalan bersama Song Shuhang itu berpaling dan memandangnya.

Sepasang mata dengan solekan pembayang mata yang menawan itu tajam seperti pedang! Pandangan itu bagaikan pandangan seekor burung helang yang melihat ke bawah dari atas awan ke arah sekelompok burung puyuh gemuk dalam sarang rumput kering di sebatang pokok!

Atau, seperti syaitan primordial yang menyeringai ke arah semut yang dipegang di hujung jarinya!

Sungguh menakutkan, siapakah lelaki ini?

Mahaguru Altar pada mulanya memang seorang lelaki yang pengecut dan berhati-hati. Bagi seseorang seperti dia, semakin lama dia hidup, dia menjadi lebih berhati-hati dan pengecut.

Dia pernah ditakutkan.

Selepas menghabiskan rokoknya, tangan Mahaguru Altar yang bergetar menjadi lebih tenang.

Dia masih terpaksa menghadapi ketakutannya itu.

Selepas memadamkan rokok yang dia nyalakan itu, Mahaguru Altar memaksa dirinya untuk tenang, 'Kali ini, apabila aku dapatkan roh hantu itu semula, aku akan pulang ke utara untuk bertapa dengan sempurna.

'Walau bagaimanapun, aku perlu menunggu Song Shuhang dan lelaki shamate yang menakutkan untuk berpisah, kemudian mencari peluang untuk bertindak.'