webnovel

Jalankan Tugas Sebagai Teman Wanita

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Sebenarnya, perkataan yang paling mahu didengari Yu Lili ialah 'teman wanita Ou Ming'. Dia sudah tidak merasakan dirinya kotor dan hina. Tetapi hanya merasakan kasih sayang antara mereka. Sama seperti pasangan lain, ia perkara biasa untuk bersama. Ketika bercakap, kepala Yu Lili tunduk semakin lama semakin rendah.

"Yu." Yu Lili terkejut apabila suara Ou Ming kedengaran dari belakangnya. Badannya menjadi tegak dan dia mengangkat mukanya lalu berpaling. Ou Ming sedang merenungnya dengan mata yang seakan hutan waktu malam yang disinari cahaya bulan. 

Tiba-tiba Ou Ming merendahkan kepalanya dan terus mencium Yu Lili. Yu Lili merenung mata Ou Ming dengan terkebli-kebil. Dia dapat melihat mata Ou Ming yang seakan tersenyum. Kelihatan seakan ada kunang-kunang yang merentasi hutan malam itu, ia amat cantik dan seperti mimpi.

Ou Ming mengangkat wajah Yu Lili sambil tersenyum dan mencium bibirnya dengan lebih mendalam. Yu Lili menutup mata dan mengikut rentak Ou Ming dengan patuh. Emosi menyelubungi hati Ou Ming. Dia merasakan dirinya seakan bot kecil di lautan yang ditolak ombak ke sana sini dan akhirnya kini kembali ke darat. Dia berasa gembira dan mula bergerak. Tangannya memegang belakang kepala Yu Lili dan pergerakannya amat lembut seakan sedang melindungi hartanya yang paling berharga. Ciuman itu tidak berbaur seksual, tetapi ciuman paling selesa yang pernah dirasakannya.

 Selepas agak lama, barulah Ou Ming melepaskan Yu Lili. Mereka menarik nafas panjang lalu memandang satu sama lain. Leher Yu Lili berasa sedikit sakit jadi dia menundukkan kepala dan mengurut lehernya perlahan.

Ou Ming tersenyum kecil dan berbisik, "Kamu serius dengan apa yang kamu katakan tadi?"

Mendengar pertanyaan itu, Yu Lili mengangkat mukanya sambil tersenyum lalu berdiri dan memeluk Ou Ming. "Boleh kah?"

"Tak, tak boleh," jawab Ou Ming sambil memeluknya kembali dengan senyuman.

Yu Lili agak tidak gembira mendengar jawapan itu, tetapi ketika dia mahu berkata sesuatu, Ou Ming menciumnya sekali lagi. Kali ini perlakuannya sedikit kasar dan tidak memberi sebarang peluang untuk Yu Lili melepaskan diri. Ciuman paksa itu membuatkan kepalanya menaik dengan pasif dan nafasnya menderu kencang. 

Tetapi Ou Ming segera melepaskannya dengan riak wajah yang kelihatan agak teruja. "Saya tak perlukan orang gaji. Saya perlukan kamu."

Yu Lili yang masih tercungap-cungap memandang Ou Ming dengan terkejut.

"Mulai sekarang, kamu akan tinggal di sini dan jalankan tugas kamu sebagai teman wanita."Ou Ming memandang Yu Lili sambil tersenyum nakal. Pandangan matanya mencairkan hati Yu Lili.

Jantung Yu Lili berdegup kencang. Dia bertanya dengan sedikit tergagap-gagap, "Apa… tugas teman wanita itu?"

"Kita makan bersama-sama, tidur bersama-sama, bangun bersama-sama, bermain dan ketawa bersama-sama." Perasaan Ou Ming bertambah mendalam. Dia merenung Yu Lili dengan mata yang seakan lubang hitam yang tidak sabar lagi untuk menelannya. Dia menyambung, "Apabila tiba masanya, kita akan ada anak dan hidup bersama selama-lamanya." Kata-kata itu jauh lebih baik daripada jutaan luahan cinta. 

Hati Yu Lili melonjak gembira. Dia merenung ke dalam mata Ou Ming dengan mata yang berkaca dan bibir yang tersenyum.