webnovel

Luahan Cinta Yu Lili

Editor: EndlessFantasy Translation

"Tapi…"

Yu Lili terhenti.

Mendengar kata-kata Yu Lili, Ou Ming berasa tidak selesa lalu bertanya, "Tapi apa?"

"Tapi saya mula sedar saya ada perasaan terhadap kamu selepas kita tinggal bersama-sama buat masa yang lama. Saya sangka saya amat bencikan kamu, tetapi rupa-rupanya, ketika saya berada dalam situasi yang sukar dan terdesak, orang pertama yang saya fikirkan ialah kamu. Selepas meninggalkan Kingstown, saya tinggal di Yunnan selama tiga bulan. Waktu itu di Lijiang ada aktiviti di mana saya perlu menutup mata dan tulis nama orang yang paling penting buat saya, dan saya tulis nama kamu." Yu Lili menyangka dia menyukai Lu Yihan, Namun selepas meninggalkan Ou Ming, ketika dia berjalan sendirian di bandar Yunnan, dia akhirnya menyedari perasaannya yang sebenar.

Bulan pertama selepas meninggalkan Ou Ming, dia sentiasa teringat dan merindui lelaki itu. Dia amat rindukan Ou Ming dan mahu pulang ke Kingstown. Tetapu pada waktu itu, dia tidak berani untuk kembali kerana dia tahu dia tidak dapat melakukannya. Bukan sahaja kematian dua bayi mereka, malah kematian Li Sicheng juga sudah cukup untuk membuatkan Ou Ming membencinya. Yu Lili tidak takut mati, tetapi dia lebih takut untuk menghadapi kebencian dan kemarahan Ou Ming jika dia kembali. Dia tidak sanggup menghadapi perkara itu yang baginya lebih teruk daripada kematian.

Selepas itu, dia mula menyedari dia hanya sukakan Lu Yihan kerana dia tidak dapat memiliki lelaki itu ketika dia masih muda. Antara sebab lain ialah kerana dia mengagumi Su Qianci dan mahu turut mendapat perhatian Lu Yihan. Atau mungkin hanya sekadar satu obsesi. Obses kerana dia tidak dapat memiliki Lu Yihan tetapi tidak mahu melepaskannya. Selepas mendapat jawapan itu dari lubuk hatinya, perasaannya kepada Lu Yihan yang teguh akhirnya perlahan-lahan hilang dan tidak muncul lagi. Yu Lili tersenyum dan melihat mata Ou Ming yang jelas terkejut.

Ou Ming melihat wajah yang tersenyum kepadanya itu. Dia pernah jatuh hati kepada Yu Lili. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Dia berasa bersyukur kerana dapat merasai kebahagiaan yang tidak pernah dirasainya sebelum ini. Apa yang Yu Lili katakan? Adakah wanita ini… meluahkan cintanya kepada saya? Ou Ming tidak pernah menerima luahan cinta begitu. Dari awal hingga akhir, langsung tiada perkataan cinta atau sayang, tetapi kata-kata Yu Lili membuatkan dia dapat merasakan Yu Lili menyukainya dan terselit perasaan cinta. Ou Ming tidak memberi sebarang reaksi, tetapi dalam fikirannya hanya ada satu perkara: Yu Lili ambil berat tentang saya, dia betul-betul sukakan saya!

Yu Lili tidak dapat meneka sama ada Ou Ming gembira atau tidak kerana mata lelaki itu kelihatan kosong. Jika ini berlaku empat tahun lalu, pasti Ou Ming sudah amat teruja lalu memeluk dan memusingkan tubuh Yu Lili. Tetapi sekarang… empat tahun telah berlalu dan semuanya sudah berubah.

Yu Lili menundukkan wajahnya dengan perasaan yang agak kecewa. Wajahnya kemerahan dan dia berkata, "Saya tak berniat untuk bergaduh, saya cuma mahu tinggal dengan kamu. Ou Ming, saya mahu berdikari dengan wang saya sendiri. Walaupun saya miskin sekarang, saya pasti akan bayar wang kamu satu hari nanti. Saya boleh jadi orang gaji kamu dan saya juga akan ada kerjaya saya sendiri nanti. Saya tak mahu… Bila orang bercakap tentang saya, saya tak mahu mereka berkata: 'Ah, dia perempuan simpanan Ou Ming.' Mereka boleh katakan saya orang gaji kamu, ia lebih baik daripada itu…"