webnovel

Zephyr Kembali Bersinar (6)

Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Fan Jin baru sahaja mahu mengangguk, tetapi dia cepat-cepat menukar fikiran dan menggelengkan kepala, "Mereka baru saja balik tadi dan terus dikerumun. Saya rasa mereka belum sempat pergi ke bilik masing-masing."

Lei Chen ketawa, "Kalau mereka belum masuk berehat, Beta nak ambil peluang untuk belanja kamu semua dari Akademi Zephyr ini makan malam. Boleh tak?" 

"Kalau begitu… biar saya pergi tengok dulu." Walaupun Fan Jin tahu yang Jun Wu Xie dan rakan-rakannya ada niat tersembunyi terhadap Lei Chen, dia tidak tahu apa yang mereka mahu lakukan. Jadi dia tidak berani untuk membuat keputusan bagi pihak mereka.

Lei Chen mengangguk dan Fan Jin terus naik ke tingkat dua. Dia mahu bertanyakan pendapat Jun Wu Xie dan yang lain.

Lei Chen memandang Fan Jin yang berlalu pergi. Senyuman di wajahnya perlahan-lahan menghilang.

Dia benar-benar tidak jangka yang Akademi Zephyr masih memiliki individu-individu yang berbakat. Dia datang ke ke Lof Dewa sebelum ini hanya disebabkan Jun Xie. Tapi Jun Xie asyik bersikap dingin dan acuh tak acuh. Budak itu langsung tidak memberi peluang pada Lei Chen untuk merekrutnya. Lei Chen sebenarnya berniat untuk membuatkan Jun Xie terseksa sedikit sepanjang Kejohanan Pertempuran Roh supaya budak itu sedar apa manfaat yang Lei Chen, seorang Putera Mahkota, boleh berikan padanya.

Tapi dia tidak terfikir…

Lima peserta lain dari Akademi Zephyr memiliki kuasa yang begitu hebat!

Lima roh biru. Sungguh sukar dipercayai!

Daripada sudut pandangan lain, kelima-lima individu itu kini sama bernilai seperti Jun Xie. Walaupun Teknik Pemulihan Roh amat penting, potensi untuk mencapai tahap roh ungu juga ibarat harta yang berharga! Akademi Zephyr pula tiba-tiba ada lima orang yang amat berpotensi di dalam kejohanan tahun ini!

Lei Chen amat bersyukur kerana sejak mula lagi dia telah memilih untuk merapatkan diri dengan Akademi Zephyr disebabkan Jun Xie. Berdasarkan keadaan sekarang, dia merasakan lebih mudah untuk dia merekrut lima yang lain untuk berada di pihaknya.

Tapi ada beberapa perkara yang Lei Chen tidak begitu faham. Menurut data yang diterimanya tentang anak-anak muda itu, empat yang lain dinaik taraf daripada kampus cawangan Akademi Zephyr manakala yang kelima adalah adik Fan Jin. Tak kira bagaimana pun dia menelitinya, mereka semua tidak kelihatan seperti mampu mencapai tahap roh biru. Namun hakikat telah membuktikan sebaliknya.

"Mungkinkah Akademi Zephyr menyimpan rahsia yang tidak boleh diungkapkan di dalam kampus mereka?" Lei Chen bertanya pada diri sendiri sambil mengecilkan mata. Berdasarkan perbualan beberapa kali dengan Fan Jin, pemuda itu tidak kelihatan seperti seseorang yang ada rancangan rahsia. Agak jelas dapat dilihat bahawa Fan Jin masih lagi tidak begitu biasa dengan jawatan barunya sebagai Guru Besar. Pada mulanya, Lei Chen tidak mahu mengambil peduli tentang Akademi Zephyr yang telah mengalami kejatuhan. Selain fakulti Pemulih Roh, tidak ada apa-apa di Akademi Zephyr yang berbaloi untuk menarik perhatian dan minat Lei Chen.

Tapi kini dia telah menukar pendapatnya tentang mereka.

Sewaktu Fan Jin naik ke tingkat dua, dia terlihat Jun Wu Xie dan yang lain sedang minum teh di sekeliling meja makan. Dia baru sahaja mahu membuka mulut untuk bertanya apabila Jun Wu Xie berkata, "Beritahu Lei Chen yang kami setuju untuk makan malam dengannya."

Ketika Lei Chen masuk ke Lof Dewa, mereka semua dapat melihat kereta kuda milik Kediaman Putera Mahkota melalui tingkap di tingkat dua.

Kelajuan kemunculan Lei Chen lebih pantas daripada yang Jun Wu Xie jangkakan.

Fan Jin terkejut dan teragak-agak sebelum bertanya, "Kamu pasti?" Walaupun dia tidak sebijak Fan Zhuo, sekurang-kurangnya dia sudah mula meneka matlamat di sebalik tindakan orang lain. Dia faham maksud di sebalik tindakan Lei Chen memberikan jemputan peribadi kepada mereka. Mustahil Jun Wu Xie tidak sedar tentang hal ini.

Bukankah menerima jemputan Lei Chen itu bermaksud...

Jun Wu Xie mengangguk, "Elak masalah yang tak perlu."

Mereka tidak datang ke sini untuk mengejar kemasyhuran dan kekayaan. Terlalu ramai yang keluar masuk ke Lof Dewa pun tidak bagus untuk mereka.

Fan Jin berfikir seketika sebelum berpusing dan turun ke bawah. Dia mahu menyampaikan kata-kata Jun Wu Xie itu kepada Lei Chen.

Hakikat bahawa jawapan itu datang begitu pantas amat memeranjatkan Lei Chen. Bukannya dia tidak sedar yang orang-orang Akademi Zephyr ini tidak begitu mengalu-alukan kemunculannya. Malah dia telah bersedia untuk ditolak sekali lagi dan tidak terfikir…

Bahawa dia akan menerima satu kejutan yang menyenangkan!