webnovel

Zephyr Kembali Bersinar (7)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Walaupun terkejut, Lei Chen masih dapat berfikir dan bertindak secara rasional. Dia tidak menunjuk-nunjuk kejayaannya dapat menjemput Jun Wu Xie serta rakan-rakannya ke Kediaman Putera Mahkota. Sebaliknya, dia hanya mengarahkan penyediaan hidangan sehingga penuh semeja di Lof Dewa.

Qiao Chu dan yang lain telah kembali ke bilik masing-masing untuk membersihkan diri. Sementara itu, Lei Chen sedang duduk di meja dewan makan di tingkat dua. Orang yang sedang duduk berhadapan dengannya di meja itu adalah Jun Wu Xie!

Lei Chen mengambil peluang untuk berbual-bual sedikit dengan Jun Wu Xie. Walaupun dia berniat mahu merekrut para pemilik roh biru itu, dia juga tidak akan melepaskan seseorang yang mahir dalam Teknik Pemulihan Roh.

"Perlawanan Adik Jun berlangsung esok?" tanya Lei Chen sambil tersenyum.

Jun Wu Xie mengangguk. Riak wajahnya masih dingin dan tidak mesra. Tetapi berbanding sikapnya yang tidak mempedulikan Lei Chen sebelum ini, lelaki itu sudah pun terkejut kerana Jun Wu Xie menjawab soalannya.

"Beta dengar… lawan kamu esok ialah Lin Qi dari Akademi Pembunuh Naga? Kedudukan Lin Qi di akademinya mungkin tak terlalu tinggi, tapi jangan ambil mudah dengannya. Adik Jun hati-hati ya. Akademi Pembunuh Naga dan Akademi Zephyr sudah lama bersaing untuk mengatasi satu sama lain dan para pelajar kedua-dua akademi ini juga tidak sebulu. Beta harap Adik Jun lebih berwaspada esok dan tak cedera," wajah Lei Chen kelihatan prihatin sewaktu memandang Jun Xie. Dia bercakap dengan nada penuh kebimbangan.

Sebaik Lei Chen selesai bercakap, Qiao Chu dan yang lain berjalan masuk ke dewan itu.

"Lawan Adik Xie esok dari Akademi Pembunuh Naga?" tanya Qiao Chu sambil menarik kerusi untuk duduk. Matanya kelihatan terhibur ketika memandang Jun Wu Xie.

Walaupun… mereka tidak lagi menaruh sebarang harapan terhadap lawan dari Alam Bawahan, Akademi Pembunuh Naga masih lagi dianggap sebagai salah satu akademi elit. Jadi para pelajar di situ sepatutnya lebih kuat sedikit. Sekurang-kurangnya, mereka tidak akan ditewaskan dengan satu serangan dalam masa sesaat… bukan?

Sebenarnya, perlawanan mereka dalam Kejohanan Pertempuran Roh ini benar-benar… membosankan. Lebih-lebih lagi bagi Qiao Chu yang tidak pandai menahan dirinya. Sebelum ini, Yan Bu Gui dengan tegasnya telah menghalang mereka daripada bertempur dengan orang lain. Kini setelah sekian lama, ketika Qiao Chu akhirnya mempunyai alasan yang kukuh untuk membelasah orang lain, dia mendapati lawannya lebih lemah daripada ayam. Mereka tak dapat bertahan dengan satu pukulan pun. Ini membuatkan Qiao Chu berasa amat kecewa. Aliran deras hormon adrenalin Qiao Chu terus terhenti dan menjadi tenang seperti air tasik. Langsung tidak ada riak-riak di permukaannya.

Apabila Lei Chen melihat Qiao Chu dan yang lain duduk di meja makan, kilauan di matanya semakin terang. Dia merasakan topik perbincangan yang dia cetuskan kali ini agak menarik.

Memikirkan Qiao Chu bimbang tentang keselamatan Jun Xie, Lei Chen tersenyum lalu berkata, "Ya, lawannya dari Akademi Pembunuh Naga. Tapi Beta ada kenal orang dari akademi ini. Adik Jun adalah peserta termuda dalam kejohanan ini, jadi tak patut pula dia bertempur dengan lawan seperti itu dalam pusingan pertama. Beta akan berbincang dengan orang-orang dari Akademi Pembunuh Naga dan minta mereka tidak menjadikan perlawanan esok begitu sengit."

"Kalau mereka nak berlawan dengan sengit pun… mustahil." Qiao Chu menggumam perlahan pada dirinya sendiri. Walaupun kekuatan kuasa roh Jun Wu Xie berada di satu tahap di bawah mereka, tak susah pun untuk dia menyeksa orang-orang dari Akademi Pembunuh Naga. Kalau bukan sesaat pun, lawan dari akademi itu tak akan dapat bertahan selama tiga pusingan."

"Kamu cakap apa tadi?" tanya Lei Chen. Kata-kata Qiao Chu tadi tidak jelas kedengaran.

"Tak ada apa-apa! Tak ada apa-apa!" kata Qiao Chu sambil melambaikan tangannya dengan pantas.

Pelayan dari Lof Dewa menghidangkan makanan yang lazat dan mewah di meja makan. Lei Chen berbual dan berjenaka dengan mereka sambil makan dan minum. Secara sedar dan tidak sedar, dia merapatkan diri dengan mereka. Malah Jun Xie yang pendiam itu pun bercakap sepatah dua dengannya. Hal ini membuatkan dia berasa gembira dalam diam. Lei Chen semakin yakin dia akan dapat menarik Jun Xie dan yang lain ke pihaknya

Mereka semua bergembira dan semua orang minum lebih banyak daripada yang sepatutnya. Lei Chen senyap-senyap menjeling sekilas pada Jun Xie yang sudah pun tersandar mabuk di meja. Mata Lei Chen tiba-tiba bersinar dengan perasaan gembira.

Waktu sudah pun lewat malam. Lei Chen dipapah masuk ke dalam kereta kuda oleh para pengawalnya dan mereka beredar meninggalkan Lof Dewa.

Sementara itu, di Lof Dewa, Jun Xie mengeluarkan satu eliksir yang boleh mengatasi keadaan mabuk lalu menelannya. Pening-pening yang dirasainya akibat mabuk itu mula berkurangan sehingga hilang sepenuhnya.