webnovel

Tetamu dari Bandar Binatang (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Saya dah agak." Jun Wu Xie ketawa dingin.

"Saya merayu pada Tuan Muda Jun, jangan ambil nyawa saya! Kami cuma menurut arahan!" Pegawai penjara itu melutut dan merayu. Dia tidak peduli pun dengan luka-luka pada badannya.

"Buka mulut kamu," kata Jun Wu Xie.

Lelaki itu terkejut lalu terdiam seketika. Hitam Kecil menderam, membuatkan lelaki itu cepat-cepat membuka mulut sebesar-besarnya. Jun Wu Xie dengan bersahaja mencampakkan sebiji eliksir ke dalam mulut lelaki itu. Lelaki tersebut terus menelannya kerana terkejut.

"Buka mulutnya." Jun Wu Xie memandang pegawai penjara yang telah pengsan dan tergelimpang di atas lantai. Lelaki itu terus bergerak dan membuka mulut rakannya. Jun Wu Xie mencampakkan sebiji eliksir ke dalam mulut lelaki seorang lagi itu.

"Kalau kamu nak hidup, tutup mulut. Dua hari lagi, saya akan berikan penawarnya," kata Jun Wu Xie dengan dingin.

Pegawai penjara itu mengangguk bersungguh-sungguh.

"Berambus," kata Jun Wu Xie dengan kasar.

Lelaki itu mengheret rakannya dan keluar dari bilik penjara tersebut.

Selepas mereka berdua pergi dari situ, Qiao Chu terjun dari alang tempat dia bersembunyi.

"Nampaknya sia-sia saja saya risau. Tak jadi masalah pun untuk kamu uruskan semut kecil macam tu. Tak perlu guna banyak kuasa pun." Sekarang ini Qiao Chu berasa agak dungu ketika memikirkan bagaimana dia hampir meluru keluar dan tidak dapat menahan dirinya. Kalau Jun Wu Xie tidak mampu nak uruskan dua orang lelaki yang lemah, itu barulah dianggap pelik.

"Tapi Putera Keempat tu memang kejam. Kenapa dia mahu kamu diseksa?"

"Dia datang ke sini malam semalam," balas Jun Wu Xie.

Kemudian barulah Qiao Chu tersedar. Dia terus faham yang Putera Keempat itu pasti cuba merekrut Jun Wu Xie sekali lagi dan telah ditolak dengan kejam. Tentu hal itu membuatkan dia marah dan menyebabkan dia mahu mengajar Jun Wu Xie.

[Sayangnya…]

[Dia tersalah pilih orang!]

"Bila orang-orang Bandar Seribu Binatang tiba di sini nanti, suruh Abang Hua datang dan bertukar tempat dengan saya," Jun Wu Xie memberitahu Qiao Chu.

"Baiklah." Qiao Chu belajar untuk menjadi lebih bijak. Dia memutuskan untuk tidak bertanya tentang apa-apa yang dia tidak faham dan hanya mengikut arahan sahaja.

Jun Wu Xie kemudian mengangguk dan menjeling Qiao Chu tanpa berkata sepatah pun. Qiao Chu terus faham apa yang perlu dibuat. Dia cepat-cepat keluar dari situ dan tidak berani untuk berlengah walau sedetik lagi.

…..

Pasukan dari Bandar Seribu Binatang masuk ke Ibu Negara Diraja pada petang keesokan harinya. Sewaktu kereta kuda yang dihiasi panji Bandar Seribu Binatang itu tiba di Negara Yan, perhatian orang ramai tertumpu padanya.

Bandar Seribu Binatang tidak tertakluk di bawah jajahan mana-mana negara dan bebas berdiri sendiri. Walaupun jumlah keluasan kawasannya tidak dapat dibandingkan dengan negara lain, lokasi geografi bandar ini amat baik. Bandar Seribu Binatang bersempadan dengan banyak negara lain dan tidak diganggu oleh mana-mana kuasa di sekeliling mereka. Sebabnya bukan sekadar hakikat bandar ini pernah menghasilkan dua orang pemilik Roh Ungu yang mencapai kemuncak kuasa, tetapi juga disebabkan Bandar Seribu Binatang ini memiliki satu keunikan.

Bandar ini terletak di atas sebuah gunung yang dikelilingi hutan tebal. Dari kaki gunung itu sehingga ke puncaknya, Binatang Roh berkeliaran merata-rata. Binatang-binatang Roh ini tidak akan menyerang sesiapa yang berasal dari bandar itu. Ini kerana selama beberapa generasi, Ketua Besar Bandar Seribu Binatang telah memiliki Seruling Tulang Penjinak Roh. Khabarnya, seruling tulang itu mampu menggunakan kuasa Binatang Roh. Melodi seruling itu pula mampu menundukkan berpuluh ribu Binatang Roh untuk patuh pada arahan. Begitulah caranya reputasi Bandar Seribu Binatang tercipta.

Malah Negara Yan yang berkuasa dan mempunyai sumber yang kuat juga tidak mahu bertelagah dengan Bandar Seribu Binatang. Walaupun tempat itu cuma bandar kecil, Binatang-binatang Roh yang tidak terkira jumlahnya telah menjadi perisai terkuat bagi Bandar Seribu Binatang. Pasukan tentera boleh ditumpaskan tetapi jumlah Binatang Roh di situ terlalu banyak. Selagi Seruling Tulang Penjinak Binatang itu masih berada di dalam tangan Bandar Seribu Binatang, tiada siapa yang berani menentang mereka.

Bandar itu tidak terlalu jauh dengan Negara Yan. Kedua-dua kuasa itu mempunyai hubungan yang baik. Namun orang-orang dari Bandar Seribu Binatang jarang keluar. Kemunculan tiba-tiba kereta-kereta kuda dari bandar itu di Ibu Negara Diraja Negara Yan membuatkan semua orang terus teringat tentang insiden di mana Cik Muda bandar itu telah cedera parah.