Kereta kuda dari Bandar Seribu Binatang berhenti betul-betul di hadapan rumah tumpangan yang didiami oleh Akademi Panji Perang. Sebaik menerima berita itu, Jiang Yi Long terus keluar untuk menyambut para tetamu tersebut.
Tiga orang lelaki yang kelihatan bertokoh melangkah keluar dari dalam kereta kuda itu. Salah seorang daripada mereka berusia kira-kira tiga puluh lima tahun. Wajahnya tegas dan tegap, nampak seperti seseorang yang mengagumkan. Seorang lagi lebih muda, kira-kira dua puluh empat atau dua puluh lima tahun. Tetapi dalam kalangan tiga orang lelaki ini, orang yang paling menarik perhatian ialah seorang lelaki tua yang sudah beruban. Walaupun wajahnya sudah berkedut, matanya menunjukkan dia sudah lama menjalani kehidupan dan mempunyai banyak pengalaman.
Dalam kalangan mereka bertiga, nampaknya lelaki berusia tiga puluhan itu adalah ketuanya. Namun tidak sukar untuk menyedari bahawa dia dan lelaki muda itu amat menghormati lelaki tua tersebut.
"Ini amat mengejutkan! Ketua Dewan Puak Xiong! Maaf kerana saya terlewat mengalu-alukan!" Jantung Jiang Ying Long berdegup kencang sebaik terlihat lelaki berusia tiga puluhan itu.
Bandar Seribu Binatang diketuai oleh seorang Ketua Besar. Di bawahnya, mengikut hierarki, terdapat empat orang Ketua Dewan yang menguruskan semua aspek di Bandar Seribu Binatang. Lelaki yang berdiri di hadapan Jiang Ying Long hari ini ialah Ketua Dewan Api Marak, Xiong Ba!
Di Bandar Seribu Binatang, status empat orang Ketua Dewan ini adalah yang kedua tertinggi selepas Ketua Besar. Jiang Ying Long tidak terfikir kumpulan yang tiba di Ibu Negara ini akan disertai oleh seorang Ketua Dewan! Jelas sekali Bandar Seribu Binatang ini benar-benar marah dan mereka amat serius. Kalau tidak, mengapa mereka hantar seseorang yang memiliki kedudukan Ketua Dewan yang amat dihormati seperti Xiong Ba!?
Xiong Ba adalah orang yang menepati namanya. Dia lurus seperti anak panah, berkuasa dan kasar. Dalam kalangan empat orang Ketua Dewan, dia yang paling kasar dan sukar dibawa berbincang. Sebaik terlihat kemunculan Xiong Ba, Jiang Ying Long mula berpeluh sejuk.
Xiong Ba merenung Jiang Ying Long sambil berkerut. Suaranya tiba-tiba bergema.
"Saya dengar berita Cik Muda kami tercedera? Bagaimana keadaannya sekarang?"
Jantung Jiang Ying Long berdegup kencang dan dia terus menjawab, "Tentang hal itu… saya nak jemput Ketua Dewan masuk dulu supaya saya boleh memberitahu segalanya perlahan-lahan."
Suara Xiong Ba sekali lagi bergema dengan kuat, "Tak perlu nak cakap hal yang tak penting! Sebab saya datang ke sini hanya untuk pastikan keselamatan Cik Muda. Tak payah cakap tentang hal lain. Kamu hanya perlu beritahu sama ada keadaan Cik Muda sekarang ni masih kritikal atau sudah stabil!"
Sebagai guru di Akademi Panji Perang, Jiang Ying Long tidak pernah dilayan seburuk itu. Kata-kata Xiong Ba langsung tidak menunjukkan sebarang hormat atau membenarkan Jiang Ying Long berundur dengan baik. Tapi dia juga tahu bahawa dia tidak boleh berbalah dengan Xiong Ba, jadi dia hanya mampu berkata dengan malu, "Keadaan Ling Yue masih belum bertambah baik. Maharaja Negara Yan sudah pun mengumpulkan semua tabib terkenal di sini. Malah Tabib Diraja yang berkhidmat di Istana juga dihantar ke sini. Tetapi memandangkan kecederaan Ling Yue benar-benar parah, kami semua berasa tak berdaya dengan situasi ini."
Mata Xiong Ba terbeliak. Dia menjeling marah lalu mencengkam jubah Jiang Ying Long dan berkata, "Waktu kami tinggalkan Cik Muda kami di Akademi Panji Perang, dia elok saja. Mulanya dia tak mahu ambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh tahun ni tapi Guru Besar kamu berkali-kali menghantar jemputan sampaikan Ketua Besar kami bersetuju dengan berat hati. Sekarang ni kamu benarkan dia tercedera di dalam kejohanan! Sudah beberapa hari Cik Muda kami tercedera dan sekumpulan sampah yang ada dengan kamu ni masih tak boleh sembuhkan dia! Kamu…"
Mata Xiong Ba yang membara dengan kemarahan itu kelihatan merah ketika dia menjerit dengan berang. Pemuda di belakangnya sedar yang Xiong Ba hampir membelasah Jiang Ying Long lalu dia cepat-cepat ke depan dan berkata dengan tergesa-gesa, "Ketua Dewan Xiong! Kamu perlu lepaskan Guru Jiang dulu! Memeriksa keadaan Cik Muda lebih penting sekarang ni. Apa yang berlaku dah pun berlaku. Kalau kamu terus membazir masa di sini, tak ada gunanya. Bukankah lebih baik kita biar Senior Feng pergi lihat keadaan Cik Muda dulu?"
Kening Xiong Ba semakin berkerut. Dia berfikir seketika. Akhirnya dia mendengus dengan cemuhan dan melepaskan cengkamannya. "Memandangkan orang-orang dari Negara Yan dan Akademi Panji Perang tak cukup berkemahiran, biar Bandar Seribu Binatang sendiri yang uruskan hal ini!"