webnovel

Rakan Sebilik yang Menjengkelkan (2)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Pada ketika itu, Yin Yan serta-merta berkerut. Ada peraturan di Akademi Zephyr yang mengatakan para pelajar tidak dibenarkan untuk menyeru roh berkontrak mereka sesuka hati, namun terdapat pengecualian bagi peraturan tersebut. Peraturan ini hanyalah untuk roh berkontrak bersaiz lebih tiga kaki dan tidak melibatkan roh berkontrak yang lebih kecil dari itu.

Jun Wu Xie baru saja masuk ke akademi pada hari itu dan dia sekadar membelek-belek buku peraturan itu beberapa kali. Yin Yan telah mengambil peluang itu untuk sengaja menyusahkannya, menyangkakan yang Jun Wu Xie tidak tahu tentang peraturan tersebut. Bukan sahaja Jun Wu Xie tahu tentang peraturan itu, malah menggunakan pengecualian peraturan tersebut untuk membuatkan Yin Yan terdiam. Selain itu, sikap Jun Wu Xie juga teramat biadab!

Jun Wu Xie memang telah membelek-belek buku peraturan tersebut hanya beberapa kali. Tetapi apa yang Yin Yan tak tahu ialah otak Jun Wu Xie dikurniakan ingatan fotografik dan dia sebenarnya telah membaca keseluruhan buku peraturan tersebut sebanyak tiga kali sejak dia masuk ke bilik itu. Dia sudah menghafal sepenuhnya setiap peraturan untuk para pelajar.

Langkah pertama Yin Yan menentang Jun Wu Xie berdasarkan anggapan yang Jun Wu Xie tidak tahu tentang peraturan akademi telah memakan dirinya sendiri.

"Kamu berani menjawab?" Mata Yin Yan menjadi semakin ganas. Setiap pelajar baru yang masuk ke Akademi Zephyr biasanya gugup dan gementar di hadapan pelajar senior. Walaupun Yin Yan cuba mencari alasan untuk mengajar Jun Wu Xie, pelajar baru sepatutnya tunduk kepada pelajar senior dan menelan sahaja semuanya dengan perasaan rendah diri, tak kiralah alasan yang digunakan itu munasabah atau tak!

Pertama kali Yin Yan bertemu dengan pelajar junior yang biadab seperti ini.

"Bisinglah." Jun Wu Xie berkata sambil menjeling Yin Yan.

Wajah Yin Yan semakin pucat kerana marah.

Pemuda yang berdiri di sisi itu menyedari yang Yin Yan hampir hilang kawalan lalu bergegas pergi menarik lengan Yin Yan sambil berkata, "Senior Ning nak berjumpa dengan kamu. Jangan membazir masa dengan budak baru ni."

Sebaik mendengar nama "Senior Ning", wajah Yin Yan tidak lagi muram. Dia merenung ganas pada Jun Wu Xie buat kali terakhir dan berpusing untuk pergi bersama-sama pemuda tadi.

Bilik itu kembali sunyi.

Kucing hitam kecil itu meleset-leset badannya di tangan Jun Wu Xie lalu berkata, [Si bodoh tu nampaknya benci betul dengan Cik. Ada tak Cik menyinggung perasaan siapa-siapa sewaktu saya koma?]

Kucing hitam kecil itu tahu benar tentang angin tuannya ini. Dia tak pernah masuk campur hal orang lain dan tak suka mencari pasal. Namun personalitinya yang dingin dan amat berdikari ini sering menarik perasaan tidak puas hati orang lain seperti magnet.

Sama seperti situasi sebentar tadi. Memanglah sikap Yin Yan terhadap Jun Wu Xie itu tidak begitu mesra. Tetapi hanya tuannya ini yang mampu menampar pelajar seorang pelajar senior dengan menggunakan kata-kata "Bisinglah" di hadapan pelajar senior yang lain.

Jun Wu Xie memang tidak pandai bermanis mulut dan kucing hitam kecil itu juga langsung tidak berharap yang tuannya ini akan belajar berbuat begitu sepanjang hidupnya.

"Tak pernah jumpa dia pun sebelum ni," jawab Jun Wu Xie dengan ringkas.

Kucing hitam kecil itu mengeluh panjang. Tuannya ini memang tidak mudah mesra dengan orang. Ini baru pertemuan pertama mereka dan Yin Yan sudah pun begitu bencikan Jun Wu Xie.

Kucing hitam kecil itu masih lagi menyesali personaliti tuannya ini yang sering menimbulkan kemarahan orang. Sementara itu, pemuda tadi yang baru saja keluar dari bilik itu bersama-sama Yin Yan tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya.

"Apa kena dengan kamu ni? Bertengkar dengan budak baru macam tu. Kalau kamu meluat dengan perangainya, suruh saja orang lain uruskan dia senyap-senyap! Kamu tak perlulah menjatuhkan maruah kamu macam tu." Pemuda itu berkata dengan bersahaja. Memang sudah menjadi kebiasaan di Akademi Zephyr untuk pelajar senior "mengajar" pelajar baru.

Yin Yan berkerut lalu berkata, "Fan Jin yang bawa dia masuk ke situ."

Pemuda itu terkejut seketika, kemudian memahami sebab di sebalik tindakan Yin Yan.

"Kalau macam tu, kamu boleh ajar dia sendiri. Dia tu budak baru. Sekalipun Fan Jin melindunginya, mudah saja untuk kamu menyusahkan budak tu. Lagipun kamu ni pelajar fakulti Pemulih Roh. Walaupun ada sesuatu yang buruk berlaku, tak ada siapa yang berani buat apa-apa terhadap kamu."

Kening Yin Yan akhirnya tidak lagi berkerut setelah mendengarkan kata-kata pemuda ini. Senyuman jahat terukir di mulutnya sewaktu dia berkata, "Kalau bukan sebab Fan Jin sekalipun, tak mungkin saya lepaskan budak itu dengan mudah disebabkan cara dia bercakap dengan saya tadi."