webnovel

Rakan Sebilik yang Menjengkelkan (3)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Pemuda itu mengangguk-angguk tetapi hatinya tiba-tiba berasa gerun. Dari luaran, Yin Yan nampak berbudi pekerti dan lembut, tetapi kekejaman yang tersembunyi di sebalik penampilannya itu sering membuatkan pemuda berkenaan berasa seram sejuk.

"Senior Ning mahu apa dengan saya?" Yin Yan melupakan hal Jun Xie seketika untuk bertanya kepada rakannya itu.

Pemuda itu hanya mampu menggelengkan kepala lalu menjawab, "Senior Ning tak beritahu apa-apa, hanya menyuruh saya bawa kamu berjumpa dengannya."

Yin Yan tidak bertanya lebih lanjut tentang hal ini.

Beberapa ketika kemudian, mereka berdua tiba di perpustakaan fakulti roh berkontrak jenis binatang. Di tingkat dua perpustakaan tersebut, seorang gadis muda yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr sedang duduk di tepi tingkap. Cahaya matahari memancar masuk melalui tingkap tersebut dan menyelubungi gadis berkenaan dalam sinaran yang memepesonakan.

Mata gadis itu tunduk ke bawah, asyik dengan buku yang sedang dipegangnya.

Yin Yan merenung susuk tubuh yang sedang khusyuk membaca buku itu. Dia berdehem sedikit sebelum berkata, "Senior Ning."

Gadis muda itu mengalihkan pandangan matanya dari buku yang sedang dibacanya itu. Penampilannya yang cantik itu membuatkan Yin Yan tertekan. Pandangan mata gadis itu melemaskan Yin Yan dan membuatkan dia sukar bernafas.

Yin Yan tidak dapat menahan diri daripada menundukkan kepala.

Gadis itu kemudiannya menjeling sekilas pada pemuda di sebelah Yin Yan dan pemuda itu cepat-cepat berlalu pergi.

Kemudian gadis itu bertanya dengan suara yang perlahan, "Pelajar baru di bawah Fan Jin itu sebilik dengan kamu?"

Yin Yan membalas, "Ya, saya juga baru dapat tahu."

Gadis itu menyambung lagi, "Kamu dah jumpa dia?"

"Ya."

"Apa pendapat kamu?"

"Sangat muda, nampak macam berumur empat belas ke lima belas tahun. Badannya kecil dan kurus. Biasa-biasa saja." Yin Yan memberitahu dengan jujur. Kalau tak kerana Fan Jin yang membawa pelajar baru itu ke biliknya, Yin Yan langsung tidak akan memberi perhatian pada budak baru itu.

Gadis itu menjeling Yin Yan, "Kalau dia biasa-biasa saja, kenapa pula Fan Jin sibuk-sibuk memilih untuk menjadi mentor dia?"

Walaupun Akademi Zephyr mempunyai tradisi pelajar senior menjadi mentor kepada pelajar baru, ada beberapa pengecualian berkaitan tradisi ini. Pemilihan mentor biasanya dilakukan secara rawak, tak ada siapa yang tahu pelajar mana yang akan terpilih.

Namun dalam keadaan rawak itu, ada dua pengecualian.

Pertama, para pelajar fakulti Pemulih Roh akan mendapat pengecualian. Bilangan pelajar fakulti Pemulih roh tidak ramai dan tidak ada siapa yang tahu apa kriteria yang Tuan Guru Gu Li Sheng tetapkan dalam pemilihan pelajarnya. Setiap tahun, hanya ada dua atau tiga pelajar yang diterima masuk ke fakulti Pemulih Roh. Terpilih untuk masuk ke fakulti itu tidak bermaksud pelajar-pelajar ini akan terus kekal di sana. Kalau Gu Li Sheng mendapati pelajar-pelajar ini tidak sesuai untuk belajar menjadi Pemulih Roh sewaktu mereka menjalani latihan, dia tidak akan teragak-agak untuk menendang mereka keluar dari fakultinya. Sejarah ada menunjukkan daripada dua atau tiga orang pelajar yang diterima setiap tahun, akhirnya seorang saja yang akan tinggal di fakulti Pemulih Roh.

Sekarang ini, jumlah pelajar di fakulti berkenaan hanya seramai lapan atau sembilan orang semuanya.

Tetapi mereka inilah yang paling dicemburui di seluruh Akademi Zephyr! Dikatakan para pelajar ini tidak perlu memikul tanggungjawab lain selain latihan mereka. Satu-satunya matlamat Akademi Zephyr ialah untuk menjadikan mereka Pemulih Roh yang terkenal.

Selain para pelajar fakulti Pemulih Roh, ada sekumpulan pelajar lagi yang dikecualikan daripada menjadi mentor.

Kumpulan Pelajar ini ialah mereka yang mendapat kedudukan sepuluh teratas di dalam Kejohanan Pertempuran Roh!

Akademi Zephyr menjalankan Kejohanan Pertempuran Roh pada setiap hujung tahun. Roh berkontrak tidak dikategorikan mengikut jenis dan semua pelajar dikumpulkan bersama-sama untuk bertempur. Kedudukan sepuluh pelajar terhebat akan dipilih melalui kejohanan ini.

Sepuluh pelajar ini akan mendapat ganjaran dalam bentuk sumber terbaik yang ada di Akademi Zephyr. Tidak kiralah dari segi latihan atau tugasan lain, mereka akan mendapat layanan lebih baik berbanding para pelajar lain. Kejohanan Pertempuran Roh yang diadakan setiap hujung tahun ini merupakan tempoh masa di mana para pelajar Akademi Zephyr akan bertempur dengan amat sengit di antara satu sama lain.

Fan Jin mendapat kedudukan keempat dalam Kejohanan Pertempuran Roh pada tahun lalu dan pada tahun ini, dia tidak perlu menjadi mentor kepada para pelajar baru. Ini kerana dia dikecualikan daripada mengambil tugasan berat yang membazirkan masa dan tenaga.