webnovel

Isyarat Awan Melayang (1)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Ini roh berkontrak kamu?" kata Jun Qing dengan kagum.

"Ya." Jun Wu Xie tidak dapat menerangkan dari mana datangnya kucing hitam kecil itu. Memandangkan Teratai Kecil masih lagi bertapa di dalam kolam, Jun Wu Xie mengiakan sahaja andaian Jun Qing.

"Kuasa rohani kamu sudah bangkit?" tanya Jun Qing dengan nada terkejut.

"Tak lama dulu. Agak terlambat sikit." jawab Jun Wu Xie.

Jun Qing berasa amat gembira. Dia dan Jun Xian menyangkakan Jun Wu Xie dilahirkan tanpa mempunyai hubungan dengan roh. Nampaknya syurga masih memberikan rahmat ke atas Keluarga Jun!

Sewaktu Jun Qing dan Jun Wu Xie sedang bercakap, Pak Cik Fu yang berlumuran darah bergegas masuk diikuti lima belas orang anggota Tentera Rui Lin. Melihatkan tuan dan cik mudanya selamat, dia terus melutut, pedangnya diletakkan di sisinya.

"Kelewatan saya menyebabkan Tuan dan Cik Muda mengalami kesusahan!"

"Tak mengapa, kamu semua sila bangun." Jun Qing meyakinkan mereka. Kebanyakan musuh menyerang halaman hadapan, lebih seratus orang jumlahnya. Enam belas orang ini jumlahnya sangat kurang berbanding jumlah musuh. Pakaian mereka kini koyak rabak. Tidak dapat dipastikan sama ada kesan darah yang ada pada mereka itu milik musuh atau disebabkan oleh kecederaan yang mereka alami.

Jun Wu Xie menyeluk ke dalam jubahnya dan mengeluarkan dua botol porselin putih yang kemudian dicampakkan ke arah Pak Cik Fu.

"Ubat makan dan ubat sapu."

Pak Cik Fu memegang botol-botol dan berterima kasih kepada Jun Wu Xie.

"Terima kasih Cik Muda! Kalau bukan kerana pertolongan Tuan Muda, kami mungkin dilengahkan lagi."

Jun Wu Xie mengangkat keningnya sambil berfikir. Jun Wu Yao lincah dan tangkas dalam pertempuran, tapi pada ketika ini dia langsung tidak kelihatan.

"Kejadian malam ini membuktikan ada orang sedang berkomplot menentang Istana Lin. Kita mampu menguruskan mereka di sini tapi Ayah pula terpaksa keluar dari kota. Walaupun Ayah bawa beberapa orang pengawal bersamanya, nampaknya musuh-musuh ini sudah membuat persediaan." Ekspresi wajah Jun Qing menjadi muram. Serangan ke atas Istana Lin pada malam ini telah dirancang dengan rapi. Kalau tidak kerana Istana Lin sengaja berpura-pura lemah, musuh mereka mungkin akan berjaya.

Tiga elemen yang tidak dijangka telah mengejutkan pihak musuh.

Mereka tidak menjangkakan Jun Qing boleh menggunakan kakinya, kemunculan tiba-tiba roh berkontrak Jun Wu Xie dan kehandalan Jun Wu Yao.

Kejutan demi kejutan ini membolehkan Istana Lin mengatasi kekurangan yang dilemparkan oleh pihak musuh dan memusnahkan rancangan mereka.

Tetapi Jun Xian masih dalam bahaya!

"Cari Lin Wang sekarang!" Jun Qing memberikan arahan.

Sebelum sempat pengawal-pengawal Istana Lin bergerak keluar, seseorang telah datang ke pintu masuk istana.

Li Ran, jeneral yang baru saja meninggalkan pintu pagar ini tadi, masuk ke Istana Lin. Dia kelihatan pucat dan membawa berita yang serius.

Sewaktu Jun Xian mengejar jejak Lin Yue Yang, dia telah diserang. Semua pengawalnya mati dibunuh dan Jun Xian sendiri telah hilang.

Mendengarkan berita ini, Jun Qing hampir tidak dapat menahan marahnya. Matanya merenung tajam pada Li Ran. Dia menahan perasaan mahu memusnahkan lelaki itu.

Jun Wu Xie merenung dingin sebaik mendengar berita itu. Kemudian dia berdiri dengan tegas dan cepat-cepat menuju pintu pagar Istana Lin.

"Wu Xie!" Jun Qing memandang Jun Wu Xie dengan penuh tanda tanya.

Jun Wu Xie melangkah keluar dari pintu pagar, menyeluk jubahnya dan mengeluarkan sebuah beg bersulam yang kecil. Beg itu mengandungi Isyarat Awan Melayang.

Satu cahaya merah ditembak tinggi ke langit malam di atas Istana Lin. Letusan api yang terang serta bunyi deruman yang kuat mengusir kegelapan dan kesunyian malam!

Li Ran yang menyaksikan semua ini, jatuh terduduk kerana terkejut. Dia memandang Jun Wu Xie sambil menggeletar.

Setelah Isyarat Awan Melayang dilepaskan, seluruh angkatan Tentera Rui Lin akan datang!

Apa yang difikirkan oleh Cik Muda Keluarga Jun ini?

"Pak Cik, saya perlu cari Datuk." Jun Wu Xie berpaling. Matanya yang tadi dingin kini membara.