webnovel

Ribut Bergelora (5)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Penceroboh Istana Lin akan MATI!" Perasaan ditindas yang Jun Qing pendam selama sedekad meledak ketika itu. Pergerakannya lincah. Cahaya bulan yang menyinari pedangnya kelihatan seperti cecair perak. Dia menyerang musuh-musuhnya dalam sekelip mata.

Penceroboh-penceroboh itu terpegun dan tidak sempat bertindak balas!

Mereka berdiri sambil memandang Jun Qing dengan bingung.

Adakah lelaki lumpuh yang duduk di kerusi roda tadi, baru saja membunuh ramai musuh dengan sepantas kilat? Seni pedang yang lincah dan tepat itu membuatkan mereka berasa gerun.

Jun Qing bukan lumpuh! Pergerakannya sangat pantas!

Melihat rakan-rakan mereka dibunuh seorang demi seorang, mereka hanya mampu memandang dengan perasaan terkejut. Ketakutan mula muncul dalam hati mereka.

"Burung Hantu Putih!" Jun Qing memanggil perlahan dan satu cahaya yang terang meledak keluar dari jarinya. Seekor burung hantu berwarna putih yang besar muncul bersama cahaya itu. Burung hantu putih itu memekik kemudian meluru menyerang musuh!

Burung Hantu Putih Pengakis Tulang! Roh berkontrak milik Jun Qing yang memiliki tahap kuasa rohani tertinggi iaitu tahap ketujuh dan telah mencetuskan kegerunan di dalam medan perang di seluruh dunia!

Jun Qing telah menyembunyikan roh berkontrak ini selama sepuluh tahun dan kebanyakan orang telah melupakan kewujudan Burung Hantu Putih Pengakis Tulang!

Menggunakan sayapnya yang bersaiz selebar tiga meter, Burung Hantu Putih Pengakis Tulang itu melancarkan puting beliung ke arah musuh!

"Tak guna! Kaki Jun Qing! Bagaimana dia boleh bergerak seperti ini? Apa yang sedang berlaku?" Kumpulan bayang-bayang itu tertanya-tanya sewaktu mereka ditolak ke belakang oleh serangan ganas dari permainan pedang Jun Qing yang tangkas serta burung hantu gergasi yang menggerunkan itu. Hanya separuh daripada penceroboh itu yang masih hidup dan mereka terus lari dari situ.

"Arghhhhh!!" jerit penceroboh yang pertama sekali berundur. Kumpulan yang berpakaian hitam itu menoleh ke arah bunyi itu.

Seekor binatang besar berwarna hitam berdiri di hadapan mereka. Rahangnya yang besar sedang menggigit leher seorang lelaki berpakaian hitam. Darah merah pekat mengalir ke tanah.

Krup.

Binatang itu mematahkan leher lelaki berkenaan.

Seorang gadis muda yang sedang bertenggek di belakang binatang itu berkata dengan nada bersahaja. "Malam ini, tiada siapa antara kamu akan meninggalkan tempat ini hidup-hidup." Kata-katanya itu ditujukan kepada sekumpulan lelaki yang kini sedang panik. Dia memandang mereka dengan matanya yang dingin dan tidak ada belas kasihan.

Binatang hitam itu dapat mengesan keadaan tuannya yang sedang dahagakan darah lalu terus menerkam musuh.

Jun Qing yang tangkas di belakang mereka, Burung Hantu Pengakis Tulang di atas mereka dan bintang hitam yang ganas menghalang laluan mereka. Kumpulan lelaki berpakaian hitam itu menjerit-jerit sewaktu mereka ditumpaskan. Mereka tidak tahu apa yang telah berlaku sehinggalah saat kematian mereka.

Istana Lin sedang mengalami kejatuhan, bagaimana mereka masih kekal kuat?

Hampir seratus orang musuh dibunuh sekelip mata. Bau darah menyelubungi udara. Mayat-mayat bergelimpangan di atas tanah. Kawasan halaman belakang yang dahulunya senyap dan tenang kelihatan seperti neraka yang menggerunkan.

"Wu Xie! Kamu tak apa-apa?" Setelah membunuh musuh, Jun Qing merenung anak saudaranya sedang bertenggek di atas binatang besar itu dengan pandangan penuh tanda tanya.

Burung hantu putih itu terbang ke tanah dan mencengkam kukunya di atas salah satu mayat di situ dan menelengkan kepalanya, memerhatikan binatang yang ditunggang oleh Jun Wu Xie.

"Saya tak apa-apa. Pak Cik cedera?" tanya Jun Wu Xie.

"Sampah-sampah ini tak akan mampu mencederakan Pak Cik." Jun Qing kelihatan terpesona sewaktu dia menunjuk ke arah binatang yang yang ada bersama Jun Wu Xie dan bertanya, "Apa ni…?"

Binatang hitam ini nampak sama seperti harimau kumbang. Tetapi setelah diperhatikan dengan lebih teliti, badan binatang ini lebih besar dan berotot. Hujung telinga bintang ini juga tajam seperti telinga kucing, bukannya bulat seperti telinga harimau kumbang.

"Meow" Binatang berwarna hitam yang mengagumkan dan mempunyai rahang bertaring itu mengiau lembut.

Jun Qing tergamam kerana terkejut.

"Ini Hitam Kecil. Kucing saya." kata Jun Wu Xie.

"..." Memikirkan kembali saat-saat Jun Wu Xie membawa kucing hitam kecil itu di dalam dakapannya, Jun Qing tidak percaya haiwan besar yang sedang berdiri di hadapannya ini dan anak kucing yang kecil itu ialah binatang yang sama.