webnovel

Bertemu Kembali (5)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

"Kamu dah jumpa Jun Xie?" tanya Ning Rui. Dia terlihat tangan Gu Ying yang berlumuran darah dari ekor matanya. Darah itu masih basah lagi dan menitik-nitik ke atas lantai.

Gu Ying duduk di kerusi sambil menyilangkan kakinya ke atas meja. Dia kemudiannya memandang Ning Rui dengan selamba dan berkata, "Dah. Rupa-rupanya kenalan lama."

Jantung Ning Rui tersentak. Dia memandang Gu Ying dengan bingung.

Gu Ying ketawa, "Sayang betul. Saya tak sangka dia tu ialah Jun Xie."

Ning Rui tidak berani berkata apa-apa.

"Saya akan duduk di hutan buluh itu buat seketika. Kamu carilah Fan Zhuo sendiri. Kalau kamu perlukan saya bertindak, saya tak akan menolak," kata Gui Ying kepada Ning Rui.

"Baiklah." Ning Rui mengangguk dengan berhati-hati.

"Hanya Gu Li Sheng dan Jun Xie saja yang perlu berada di Akademi Zephyr. Orang lain boleh dihantar ke Cenuram Penghujung Syurga. Bila kamu nak lakukannya?" Gu Ying bertanya pada Ning Rui, tiba-tiba merenung lelaki itu sambil meopang dagu. "Fan Qi dah lama mati dan Akademi Zephyr kini berada dalam kawalan kamu sepenuhnya Berapa lama lagi kamu nak berlengah?"

Gu Ying sudah mula berasa tidak sabar.

Ning Rui menelan air liurnya dan tergesa-gesa menjawab, "Saya bukannya berlengah. Tapi… Wen Xin Han masih berada di Akademi Zephyr. Pada mulanya saya mahu menuduh Fan Jin membunuh Fan Qi supaya saya boleh menyingkirkan Fan Jin sebelum menyebarkan berita kematian Fan Zhuo. Selepas itu saya boleh menjadi Guru Besar Akademi Zephyr yang sah dan mengerahkan semua pelajar di sini untuk ke Cenuram Penghujung Syurga. Namun Wen Xin Han kembali pula ketika itu dan meletakkan Fan Jin di bawah perlindungannya. Kalau saya buat sesuatu yang terlalu ekstrem di hadapannya, sebagai dekan kehormat, dia mempunyai kuasa untuk menghalang saya."

Ning Rui masih belum bertindak bukanlah kerana dia tiba-tiba terasa bersalah. Sebab sebenarnya ialah, di bawah pemerhatian teliti dekan kehormat itu, pergerakan Ning Rui telah terbatas.

Kening Gu Ying berkerut. Dia pernah melihat Wen Xin Han. Walaupun lelaki itu sudah tua dan berumur lebih enam puluh tahun, dia memiliki roh tahap ungu!

Biarpun Gu Ying mampu meningkatkan kuasanya buat sementara dan mencapai tahap ungu, masih ada jarak yang besar di antara kuasanya dan kuasa seseorang yang memiliki roh ungu sebenar. Walaupun dia berani dan angkuh, Gu Ying tetap tidak berani menentang Wen Xin Han.

"Bukankah kamu beritahu saya yang Wen Xin Han tu mempunyai roh tahap indigo?" Gu Ying membentak dengan tidak sabar.

Alam Bawahan tidak pernah lagi melihat pakar tahap ungu sejak satu abad yang lalu. Dari mana pula datangnya si Wen Xin Han ini?

"Saya… saya pun tak tahu. Dia memang berada di tahap indigo. Saya tak tahu yang dia tiba-tiba dah mencapai tahap ungu," kata Ning Rui dengan tidak berdaya.

Ketibaan Wen Xin Han yang tidak dijangka itu telah merosakkan rancangan mereka. Dalam kalangan ahli kumpulannya, hanya Gu Ying sahaja yang telah datang ke Akademi Zephyr. Ahli-ahli lain tidak ada di situ. Kuasa Gu Ying seorang sahaja tidak cukup untuk mengalahkan seorang pakar roh tahap ungu yang sebenar.

Sebab ini sahaja yang membolehkan Fan Jin dapat hidup sehingga sekarang.

Seorang pakar tahap ungu sahaja telah memaksa Ning Rui dan Gu Ying mengkaji semula situasi ini.

"Fikirkan cara untuk buat dia pergi dari sini," kata Gu Ying dengan tidak sabar.

Ning Rui kemudiannya membalas, "Saya sudah pun arahkan orang untuk uruskan hal ini. Wen Xin Han ada seorang cucu yang sekarang ini menghidap penyakit yang membawa maut. Dia dulu pernah bekerjasama dengan Kumpulan Qing Yun untuk menyelamatkan cucunya. Kini Kumpulan Qing Yun sudah lenyap sepenuhnya dan hanya Mu Chen dari Puncak Menjejak Awan saja yang tinggal. Saya dah suruh orang cari Mu Chen. Sebaik kita dapat jumpa dia, kita akan kongsikan berita itu dengan Wen Xin Han. Tentulah dia lebih mementingkan nyawa cucunya dan akan meninggalkan Akademi Zephyr untuk bertemu dengan Mu Chen."

Gu Ying mengangguk dan hanya berkata, "Uruskan cepat."

"Ya," balas Ning Rui.

Gu Ying bangun untuk beredar. Sebaik sampai di muka pintu, langkahnya tiba-tiba terhenti. Dia berpaling memandang Ning Rui dan bertanya sambil tersenyum, "Ada orang mati di kerusi tu, tapi nampaknya kamu selesa betul ya duduk di atasnya?"

Ning Rui menjadi kaku dan Gu Ying berlalu sambil ketawa dengan kuat.