webnovel

Batu Hitam Misteri (7)

Dịch giả: EndlessFantasy Translation Biên tập viên: EndlessFantasy Translation

Memori Mu Qian Fan membawanya kembali ke saat sebelum mereka bergerak ke cenuram itu. Setiap kejadian yang berlaku, terpahat di dalam hati Mu Qian Fan. Semua rakan rapatnya telah pergi meninggalkan dia buat selamanya.

Mu Qian Fan dan rakan-rakan seperjuangannya memang bergantung hidup dengan menerima upah dan tugasan orang lain. Mereka sering memburu Binatang Roh untuk mengumpulkan batu roh. Kumpulan ini juga sering menerima tugasan sebagai pengawal bersenjata untuk konvoi pedagang. Melalui tugasan mengiringi barangan Rumah Lelong Chan Lin inilah Mu Qian Fan berkenalan dengan He Chang Le.

Suatu hari, ada seorang lelaki datang bertemu mereka dan meminta mereka pergi ke Cenuram Penghujung Syurga untuk meneroka kawasan di dasar cenuram tersebut. Lelaki itu berjanji kalau mereka mampu merentasi seluruh kawasan di situ dan melukis peta yang lengkap, mereka akan diberikan ganjaran lumayan.

Ganjaran yang dijanjikan itu lebih daripada cukup untuk membolehkan keluarga mereka hidup bebas daripada sebarang kerisauan.

Walaupun cenuram itu terkenal sebagai tempat yang berbahaya sejak dahulu lagi, tidak ramai orang yang pernah ke sana. Ramai orang tidak tahu pun di mana lokasinya, tetapi semua orang mempunyai cerita tersendiri tentang bahaya yang ada di kawasan misteri tersebut. Namun begitu, demi mendapatkan sejumlah wang yang besar dan memberikan kehidupan yang selesa untuk keluarga mereka, Mu Qian Fan dan rakan-rakannya akhirnya menerima tugasan yang diberikan.

Lelaki itu sangat bermurah hati. Dia telah memberikan mereka dua ratus ribu tahil sebagai deposit sewaktu mula-mula lagi. Setelah menerima wang tersebut, Mu Qian Fan dan kumpulannya amat bersemangat dan membuat persiapan untuk menuju Cenuram Penghujung Syurga. Lelaki itu kemudiannya memberikan mereka sebuah peta yang menunjukkan lokasi cenuram tersebut.

Berdasarkan arah yang ditunjukkan pada peta itu, kumpulan Mu Qian Fan mengembara selama setengah bulan sebelum sampai ke Cenuram Penghujung Syurga.

Lokasi cenuram itu terletak di dalam bulatan puncak gunung-ganang. Cenuram itu bermula dari salah satu puncak gunung tersebut. Untuk sampai ke cenuram itu, mereka perlu merentasi lapisan demi lapisan hutan yang tebal. Di dalam hutan-hutan itu pula, ada banyak Bintang Roh yang berkeliaran. Mu Qian Fan dan rakan-rakannya menggunakan pengalaman mereka untuk melepasi hutan yang penuh bahaya itu. Sewaktu akhirnya tiba di cenuram tersebut, barulah mereka faham kenapa tempat itu dinamakan Cenuram Penghujung Syurga.

Muka cenuram ini seolah-olah telah dipotong oleh sebilah pedang yang amat tajam. Di sebalik cenuram ini hanya ada kabus putih yang tidak berkesudahan, sejauh mata memandang. Apabila dilihat dari puncak yang tinggi di atas cenuram itu, pemandangan ini membuatkan seseorang merasakan di sinilah tempatnya Syurga berakhir, tepat di cenuram tempat mereka berdiri.

Sewaktu pertama kali melihat pemandangan yang menakjubkan ini, Mu Qian Fan dan rakan-rakannya terpaku kerana kagum. Namun mereka cepat-cepat pulih setelah teringat kembali misi yang perlu mereka selesaikan. Mereka telah menyediakan kabel besi sepanjang seratus meter dan membawa rantai-rantai besi yang boleh digunakan untuk memanjangkan lagi kabel ini. Jelas menunjukkan betapa telitinya persiapan mereka untuk misi ini.

Proses turun dari muka cenuram itu sahaja mengambil masa beberapa hari. Mereka berehat dan makan sambil tergantung pada kabel besi yang kuat itu.

Sewaktu sampai ke dasar cenuram itu, mereka semua amat keletihan dan rebah di atas tanah. Mereka tidak mampu bergerak langsung.

"Macam mana rupa sebenar kawasan di dasar Cenuram Penghujung Syurga itu?" Qiao Chu semakin teruja mendengarkan cerita ini sehingga tidak sedar yang dia berbisik sewaktu bertanyakan soalan tersebut.

Mata Mu Qian Fan ditundukkan dan dia merenung kedua-dua belah tangannya. Darah merah pekat tersebar sedikit demi sedikit merentasi balutan pada tangannya. Memerhatikan pembalut putih itu perlahan-lahan bertukar menjadi merah terang begitu kurang menyenangkan.

"Saya tak tahu….."

"Apa?" Qiao Chu terduduk tegak kerana terkejut besar.

Suara Mu Qian Fan dipenuhi kekecewaan dan ketakutan, "Kawasan di dasar cenuram itu diselubungi sepenuhnya dengan kabus tebal dan kami tak dapat melihat lebih daripada jarak dua meter di hadapan kami. Dalam keadaan ini, kami langsung tidak boleh memetakan apa-apa di kawasan tersebut. Sewaktu meneruskan perjalanan ke hadapan, kami mendapati tanah di bawah kaki kami merupakan tanah paya yang dipenuhi lubang-lubang bencah yang tidak berdasar…."

Lubang bencah yang diselubungi kabus tebal di kawasan paya yang luas itu tidak mudah dapat dilihat. Seringkali orang hanya menyedari bahayanya sewaktu sudah pun terpijak bencah-bencah ini.