webnovel

Anak Tanpa Ibu.

Editor: EndlessFantasy Translation

Mubai murung dan terus bertanya, "Beritahu ayah apa yang tidak kena, Xi Lin."

"Saya tidak suka Mak Cik Chu," anaknya langsung menjawab.

Dia terus dapat membaca apa yang ada di dalam fikiran anaknya.

"Kamu tak mahu ayah berkahwin dengannya?"

"..." Budak lelaki itu hanya diam membisu lalu Mubai menganggap itu sebagai satu jawapan ya.

"Kenapa kamu tak suka dia?" Mubai menyambung soalannya, "Bukankah dia sangat baik terhadap kamu?"

Salah satu sebab Mubai bersetuju dengan perkahwinan itu adalah kerana dia telah melihat betapa baiknya layanan Tianxin pada Xi Lin. Dia tidak kisah dengan siapa dia berkahwin tapi jika dia perlu berkahwin, dia inginkan seseorang yang boleh menjadi ibu tiri yang baik untuk Xi Lin.

Calon terbaik ialah Tianxin kerana kesemua ahli keluarganya bersetuju dan Tianxin juga melayan Xi Lin dengan baik.

Oleh itu, luahan anaknya mengenai perasaan tidak suka terhadap tunangnya itu agak mengejutkan.

"Dia baik pada saya kerana saya ini anak ayah. Saya cuma alat yang dia gunakan untuk mendekati ayah."

Wajah Mubai berkerut, "Tidak baik kamu berkata begitu."

"Kenyataan sememangnya pahit untuk ditelan." Xi Lin berkata-kata dengan kebijaksanaan yang mengatasi umurnya, "Kenapa ayah kisah? Ayah tak pernah tanya pendapat saya pun tentang dengan siapa ayah hendak berkahwin. Saya ini cuma beban pada ayah."

Xi Lin melompat turun dari kaunter sinki dan berlalu pergi dengan perasaan marah.

"Berhenti di situ!" Mubai mengarah dengan tegas, "Siapa yang ajar kamu bercakap begini dengan ayah kamu sendiri, Xi Lin? Mana adab kamu?"

Bebelan ayahnya membuatkan Xi Lin yang sudah sedia sedih berasa lebih teruk. Dia memalingkan badannya dengan degil, matanya sarat dengan kesedihan dan rasa tidak puas hati.

"Saya tak ada ibu, tiada siapa yang ajar saya, kan?"

Mubai terpaku. Sedar-sedar sahaja Xi Lin sudah tiada. Mubai cuba mengejar anaknya. Dia menemui anaknya di pintu masuk restoran. Dia terkejut melihat air mata mengalir daripada mata anaknya. Xi Lin seorang yang pendiam. Dia boleh meluangkan masa seharian dengan senyap jika bertemankan buku yang menarik. Dia memahami teguran dan kata-kata. Dia tidak membesar dengan ragam kanak-kanak biasa.

Kelakuannya hari ini sangat luar biasa. Ini juga kali pertama Mubai melihat anaknya begitu sedih. Ketika Mubai dan Xinghe bercerai, Xi Lin baru sahaja berumur setahun. Sejak tiga tahun lalu, insan bergelar ibu tidak wujud dalam hidupnya. Mubai terfikir yang Xi Lin sudah terbiasa membesar tanpa kehadiran Xinghe, tetapi dia tidak menyedari perasaan sebenar Xi Lin yang selama ini terpendam.

Melihat keadaan anaknya, Mubai tidak lagi berselera untuk makan. Selepas bercakap dengan ibunya di telefon, Mubai membawa anaknya pulang. Ketika berada dalam kereta, Xi Lin hanya memandang pemandangan di luar kereta. Bahasa tubuh badan kecilnya jelas menunjukkan rasa sunyi dan terpinggir.

Mubai duduk diam di sampingnya. Ketika melintasi hospital, dia teringat akan Xinghe. Dia tertanya-tanya adakah Xinghe sudah sedarkan diri. Mubai tak mampu berhenti berfikir tentang keadaannya sekarang. Dia pasti Xi Lin takkan mampu melihat ibunya seperti itu. Mubai memilih untuk tidak memberi mereka berjumpa dahulu supaya Xi Lin tidak semakin sedih.

Setibanya mereka di Purple Jade Villa, rumah mereka, Xi Lin sudah pun terlelap. Mubai mendukung anaknya melalui ruang tamu sewaktu tiba-tiba telefon bimbitnya berdering.

"Biar saya dukung tuan muda ini, Tuan," kata Puan Yu, pembantu rumah mereka.

Setelah menghulurkan Xi Lin dengan lembut, Mubai mengeluarkan telefon bimbitnya. Nombor yang tak dikenali memanggilnya.

"Hello?" Dia membuka kata dan seterusnya menyedari panggilan itu dari hospital.

"Encik Mubai? Ini ialah First Hospital."

"Ya, saya Mubai. Ada apa-apa boleh saya bantu?" Mubai bertanya walaupun dia pasti ini semua pasti mengenai Xinghe.