webnovel

Akhirnya Aku Akan Mengahwini Xi Mubai

Editor: EndlessFantasy Translation

Mubai masih ingat yang dia telah meninggalkan Xinghe nafkah yang lumayan selepas perceraian mereka. Jumlah itu sepatutnya cukup untuk Xinghe hidup mewah sepanjang hidupnya, jadi kenapa dia menemuinya dalam keadaan begitu? Persoalan itu telah bermain di minda Mubai sejak dia keluar dari hospital lagi.

"Mubai, apa yang awak fikirkan?" Tianxin berasa ingin tahu, yang mana disahut Mubai acuh tak acuh, "Tak ada apa lah."

"Awak sedang fikir tentang Xinghe, kan?" Tianxin mengeluh, "Saya juga tidak percaya itu Xinghe yang sama yang kita jumpa di atas tadi. Kenapa dia pilih untuk hidup macam tu sedangkan dia ada sumber yang cukup untuk hidup lebih baik? Kenapa dia sangat bebal?"

Bebal. Begitulah gambaran Mubai terhadap Xinghe.

Kadang kala sikap polos itu comel dan Xinghe mempunyai sikap bebal dan degil. Oleh sebab itu, kehidupan wanita itu dan orang di sekelilingnya sering diganggu masalah. Sebenarnya, boleh dikatakan rumah tangga mereka musnah sebab kedegilan dan kebebalannya. Walau bagaimanapun, Mubai tidak menyangka Xinghe cukup dungu sehingga tidak mampu menjaga diri sendiri walau dengan nafkah lumayan yang dia telah berikan.

Pertemuannya dengan Xinghe meninggalkan kesan yang besar terhadapnya begitu sahaja. Mubai mengelamun dan membiarkan sahaja soalan Tianxin. Tidak lama kemudian, kereta mereka telah tiba di restoran. Kedua keluarga mereka telah sampai di sana.

Memandangkan makan malam itu adalah untuk membincangkan majlis perkahwinan mereka, antara yang hadir adalah kedua ibu bapa mereka dan juga anak lelakinya, Xi Lin. Anak Mubai bersama Xinghe. Kanak-kanak itu baru berusia setahun pada waktu perceraian itu, jadi dia sekarang sudah berusia empat tahun.

"Bagaimana kalau kita memilih 2hb November sebagai tarikh perkahwinan? Ia tarikh yang bertuah dan juga hari kebangsaan negara," Ibu Mubai, Puan Tua Xi berkata dengan senyuman.

Ibu Tianxin mengangguk gembira, dan menyambung, "Ini semestinya takdir kerana saya juga ingin mencadangkan tarikh yang sama. Mubai, Tianxin, kamu berdua setuju dengan tarikh tersebut?"

"Sudah tentu, perkara seperti ini sememangnya patut diserahkan kepada orang tua yang lebih mengetahui." kata Tianxin dengan malu-malu.

"Saya setuju dengan apa jua tarikh," Mubai mengangkat bahu.

"Maka, tarikh sudah ditetapkan. Sekarang kita boleh fokus dengan persediaan majlis. Tianxin, nampaknya Tuhan masih menyayangi saya kerana akhirnya kamu akan menjadi menantu saya," kata Puan Tua Xi dengan gembira sambil tangannya menggenggam tangan Tianxin. Mereka berdua tersenyum lebar.

Tianxin membesar di hadapan matanya. Dia sangat menggemari personaliti, watak dan kebolehan Tianxin. Dia telah lama meleter Mubai untuk membawa Tianxin ke dalam keluarga Xi, dan akhirnya keinginannya hampir menjadi kenyataan. Ada seorang lagi wanita di meja itu yang impiannya hampir tercapai dan itu ialah Chu Tianxin. Akhirnya, Mubai berada dalam cengkamannya. Lelaki itu bakal menjadi miliknya juga akhirnya.

Pada masa itu, segelas jus yang dipegang Xi Lin jatuh dan berkecai. Bajunya turut terpercik dengan jus.

"Kamu harus lebih berhati-hati, Lin Lin," Puan Tua Xi memarahinya sedikit.

"Lin Lin, kamu cedera?" Tianxin maju dengan sapu tangan untuk mengelap jus daripada bajunya tapi dia terus berlari ke dalam pelukan Mubai, mengelak daripada Tianxin.

Tangan Tianxin tergantung kekok di udara.

"Saya akan bersihkan dia," kata Mubai lalu mendukung anaknya ke bilik air.

Di dalam bilik air, Mubai meletakkan anaknya di atas kaunter sinki. Renungan Xi Lin tertancap pada ayunan kakinya. Mindanya berkecamuk. 

Tiba-tiba dia menepis tangan Mubai yang sedang mengelap jus daripada bajunya.

"Kenapa ni?" Mubai berkata lembut sambil memandang anaknya, "Kamu meragam sejak makan malam bermula, ada apa yang mengganggu kamu?"

Xi Lin tunduk tanpa sepatah kata. Apabila Mubai mendongakkan wajah anaknya, sepasang mata yang penuh azam merenung ke arahnya.