Kegelapan serta ketakutan terhadap sesuatu yang tidak pasti membuatkan masa berlalu semakin perlahan. Mustahil mereka dapat menentukan sejauh mana mereka telah bergerak.
Kabus yang dingin dan lembap berpusar-pusar di sekeliling mereka. Pemeluapan menyebabkan tali-tali mereka basah dan diselaputi lapisan fros yang nipis.
Kedinginan fros itu akan membuatkan tali yang lembap itu mudah beku. Selepas membeku, tali-tali itu akan menjadi lemah dan seterusnya tidak mampu lagi menampung berat mereka!
Bagi menghilangkan lapisan fros itu, Jun Wu Xie dan rakan-rakannya tak ada pilihan selain menyalurkan kuasa rohani mereka ke dalam tali-tali tersebut. Walaupun jumlah kuasa yang diperlukan sedikit sahaja, tali-tali itu amat panjang dan keadaan bebas fros itu perlu dikekalkan dalam masa yang panjang. Jika sudah beku, tali-tali itu akan putus di bahagian tengah dan mereka boleh maut akibat terjatuh.
"Tempat ini tak sesuai untuk manusia. Macam mana orang-orang dari Rejim Kegelapan boleh menghasilkan tempat yang menggerunkan ni?" Suara Qiao Chu kedengaran dari dalam kegelapan. Suaranya yang biasanya kuat dan riuh itu kini kedengaran letih.
Dia juga sudah terlalu kepenatan untuk bertanya pada Jun Wu Xie berapa lama mereka telah bergerak. Tangannya kini letih dan kebas manakala kaki-kakinya sudah berasa sengal-sengal.
Perjalanan menuruni Cenuram Penghujung Syurga ini pun sudah begitu menyeksakan, Qiao Chu tidak berani membayangkan betapa mengerikannya keadaan di dasar cenuram itu nanti.
"Untuk seseorang seperti Maharaja Kegelapan yang berjaya menyatukan seluruh Alam Pertengahan, adakah mereka akan memilih lokasi makamnya dengan sambil lewa? Kalau tak ada lapisan demi lapisan halangan dan rintangan untuk melindungi tempat ini, Dua Belas Istana pasti sudah menemui makam Maharaja Kegelapan ini berkurun yang lalu dan mengosongkannya. Hakikatnya, orang-orang Rejim Kegelapan membuatkan tempat ini begitu berbahaya sebagai tanda kesetiaan mereka yang tidak berbelah bahagi. Walaupun Maharaja Kegelapan telah mangkat, mereka masih lagi menghabiskan begitu banyak sumber dan usaha untuk menguburkan semua harta karun dan artifak ajaib Maharaja Kegelapan itu bersama-sama baginda. Jelas sekali betapa di dalam hati orang-orang Rejim Kegelapan itu, mereka memiliki keyakinan yang teguh dan begitu menghormati Maharaja Kegelapan." Suara Hua Yao perlahan-lahan kedengaran dalam kegelapan. Nada suaranya tidak perlahan mahupun cepat, seolah-olah cuba membataskan penggunaan kuasa rohaninya seboleh mungkin.
"Macam mana orang yang begitu hebat boleh terbunuh?" tanya Fei Yan dengan agak bingung.
Bagi anak-anak muda yang baru hidup kurang dua dekad ini, mereka tak dapat membayangkan bagaimana seseorang boleh mempunyai kuasa menakjubkan sehingga dapat menyatukan seluruh Alam Pertengahan. Orang itu juga telah berjaya menundukkan Dua Belas Istana, Sembilan Tokong dan Empat Daerah.
Seorang lelaki dan sepasukan tentera yang begitu berkuasa sehingga dapat menentang seluruh Alam Pertengahan. Pencapaian ini begitu hebat dan sukar dipercayai!
Maharaja Kegelapan itu begitu kuat. Bagaimana baginda boleh mangkat dengan begitu mengejut?
Semakin kuat kuasa rohani seseorang itu, semakin panjanglah tempoh hayatnya. Pengguna roh tahap indigo sahaja pun sudah mampu hidup lebih seratus tahun. Walaupun Qiao Chu dan yang lain tidak pernah bertemu dengan Maharaja Kegelapan dan tidak pasti dengan kekuatan sebenarnya, mereka tahu tentang kekuatan dua belas pemerintah dari Dua Belas Istana yang telah ditundukkan oleh kuasa Maharaja Kegelapan.
Di mata mereka, kuasa dua belas pemimpin Dua Belas Istana itu sudah begitu agung. Kalau para pemerintah ini perlu tunduk pada Maharaja Kegelapan, tidak syak lagi bahawa kuasa Maharaja Kegelapan itu melebihi kuasa gabungan semua pemerintah tersebut.
Kemangkatan Maharaja Kegelapan sememangnya merupakan hakikat yang sukar diterima ramai.
"Tak ada siapa yang tahu." Mungkin keadaan yang gelap serta kegelisahan mereka membuatkan anak-anak muda ini berasa begitu tertekan sehingga mereka mula berbual-bual untuk meyakinkan diri bahawa mereka tidak berseorangn di dalam kegelapan yang menyesakkan ini.
Suara Jun Wu XIe tiba-tiba mencelah dengan tajam.
"Kalau tak mahu jatuh, kamu semua patut pegang tali kuat-kuat dan berhenti ambil peduli dengan urusan orang yang dah mati."
Ketika itu Qiao Chu dan yang lain baru sahaja bergerak turun beberapa meter lagi. Sebaik suara Jun Wu Xie hilang ditelan kegelapan,mereka tiba-tiba merasakan satu hembusan angin kencang meluru ke arah mereka dari dalam kabus!