webnovel

Di Dasar Cenuram (1)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Angin itu bertiup kencang dan kuat. Jun Wu Xie yang tergantung pada tali mula berayun-ayun. Dia hanya mampu mengerekotkan badannya dan menumpukan seluruh berat badannya pada kakinya yang ditekan pada permukaan cenuram.

Angin yang sejuk dan aneh itu bertiup seketika sebelum berhenti. Tapi tak lama kemudian, angin itu bertiup kembali!

Tanpa ritma dan corak tertentu, angin itu nampaknya bersungguh-sungguh mahu membuatkan pegangan mereka terlepas dan terus jatuh ke dalam jurang. Kumpulan ini sudah pun berada dalam keadaan genting sebelum ini dan kini angin tersebut menjadi satu lagi halangan menyeksakan yang perlu diatasi oleh Jun Wu Xie dan rakan-rakannya.

[Mereka perlu bergerak lebih pantas!]

Jun Wu Xie menarik nafas panjang. Mereka perlu berdepan dengan suhu yang dingin serta permukaan cenuram yang basah dan licin. Selain itu, mereka juga perlu memastikan tali-tali mereka bebas fros ketika adanya sesuatu di dalam kabus itu yang berterusan menyusutkan kuasa rohani mereka. Kini tiupan angin kencang yang aneh ini pula cuba menjatuhkan mereka daripada kedudukan mereka pada tali. Semua ahli kumpulan ini mula berasa bimbang dan tertekan.

Setelah berterusan diasak dan diseksa oleh keadaan sekeliling, minda Jun Wu Xie sudah hampir mencapai batasnya.

Bukan dia sahaja, Ye Sha yang Ye Mei yang lebih berkemahiran juga pasti berdepan dengan maut sekiranya mereka jatuh ke dalam jurang yang seolah-olah tidak berdasar itu!

Ketika terperangkap dalam situasi yang amat menggerunkan ini, kuasa dan kekuatan manusia dirasakan kecil dan tidak bermakna.

Kuasa alam semula jadi bukanlah sesuatu yang dapat ditentang!

Ahli kumpulan ini yang berterusan dipukul angin kencang cuba mengekalkan kewarasan mereka dan meningkatkan kepantasan mereka turun ke bawah.

Selepas berlalunya satu tempoh masa yang tidak diketahui, Ye Sha dan Ye Mei akhirnya dapat merasakan sesuatu di bawah kaki mereka selain udara yang kosong. Mereka dapat merasakan kaki mereka menjejak tanah!

Jangan kata Jun Wu Xie dan rakan-rakannya sahaja, mereka berdua juga hampir naik gila sewaktu berdepan dengan seksaan yang tidak berpenghujung sepanjang perjalanan turun ke bawah!

"Cik Muda! Kami dah sampai ke dasar!"

Suara Ye Sha bergema dalam kegelapan.

Suaranya yang dingin dan kasar itu tiba-tiba kedengaran seperti alunan muzik yang lunak di telinga anak-anak muda tersebut!

Dengan satu lonjakan tenaga terakhir, Jun Wu Xie dan rakan-rakannya turun ke dasar cenuram itu sepantas yang mungkin. Sebaik kaki mereka menyentuh tanah, segala perasaan gerun dan bimbang mereka ketika tergantung di tali tadi terus lenyap!

Qiao Chu hampir mahu menangis kegembiraan!

"Akhirnya kita dah tiba. Seksa betul! Saya hampir terfikir Cenuram Penghujung Syurga ini benar-benar tidak ada dasarnya!" kata Qiao Chu sambil menepuk-nepuk dadanya. Walaupun dia amat letih, tak ada yang lebih meyakinkan hatinya selain tanah pejal tempat dia berpijak ketika itu.

Suhu di bahagian dasar cenuram yang gelap-gelita itu sangat sejuk sehinggakan gigi mereka berkeletak. Perjalanan turun yang panjang, sukar dan begitu memberi tekanan itu hampir melenyapkan tenaga anak-anak muda ini. Selepas perasaan gembira tadi reda, keletihan dan kelesuan terus menimpa mereka!

Tiba-tiba mereka tak mampu lagi berdiri tegak. Qiao Chu dan yang lain memegang permukaan cenuram yang sejuk dan dingin, cuba sedaya upaya untuk kekal berdiri.

Keadaan Jun Wu Xie juga sama. Tetapi hatinya begitu tenang sewaktu mengeluarkan Glob Api Roh yang mereka telah sediakan sebelum ini. Di kawasan yang begitu sejuk dan lembap seperti dasar cenuram ini, mustahil mereka boleh menghidupkan api. Kelembapan yang tinggi itu tidak akan membolehkan sumber api terus membara.

Tetapi ini berbeza dengan Glob Api Roh yang dipegangnya.

Glob Api Roh tidak mengandungi api sebenar. Sebaliknya alat ini bergantung pada pembakaran batu-batu roh untuk menghasilkan cahaya.

Harga Glob Api Roh teramat mahal dan perlu dinyalakan dengan membakar batu-batu roh. Maksudnya, setiap minit penggunaan Glob Api Roh ini seolah-olah sama dengan menghabiskan sejumlah wang yang banyak.

Jun Wu Xie tak tahu tentang kewujudannya sebelum ini. Dia mendapat tahu daripada Mu Qian Fan.

Mu Qian Fan sudah lama tahu tentang Glob Api Roh tetapi harganya yang mahal akan meningkatkan perbelanjaannya. Jadi dia tidak pernah membelinya sebelum ini. Namun Jun Wu Xie tidak mempunyai sebarang masalah kewangan.