"Kami tak tahulah sama ada badan Tuan Muda Jun yang kurus dan lemah ni boleh bertahan dengan tujuh puluh dua set peralatan penyeksaan yang ada dalam penjara ni. Tapi kami nak beritahu, sesiapa yang dah merasa semua peralatan penyeksaan tu, kalau pun mereka dapat terus hidup, semuanya jadi cacat dan tak berguna. Sayanglah sebab Tuan Muda Jun ada kuasa roh yang hebat," kata pegawai penjara yang memegang cemeti itu. Dia mengangkat cemeti itu dan melibasnya dengan kuat. Cemeti itu menghasilkan bunyi siulan dan hujungnya memukul lantai di sebelah Jun Wu Xie. Satu tanda garisan berwarna putih terbentuk di lantai bilik penjara itu.
Jun Wu Xie merenung dingin pada mereka berdua yang berdiri di hadapannya dengan riak wajah yang kejam.
Qiao Chu yang masih bersembunyi di sebalik kegelapan memerhatikan segala-galanya. Jelas bahawa kedua-dua orang pegawai penjara ini akan menyeksa Jun Wu Xie!
Qiao Chu hampir tidak dapat menahan diri lagi. Sebaik dia mahu muncul dan membelasah dua orang bedebah tak guna itu sehingga mereka merangkak mencari gigi masing-masing, dia terlihat Jun Wu Xie memandang arah tempat dia bersembunyi. Jun Wu Xie secara sembunyi-sembunyi menggelengkan kepala.
Qiao Chu tersentak. Dia cuba sehabis daya untuk menahan kemarahan yang sedang meledak di dalam hatinya dan terus bersembunyi di sebalik bayang.
Kedua-dua orang pegawai penjara itu bergerak mengelilingi Jun Wu Xie, seolah-olah cuba menentukan di mana tempat terbaik untuk mengenakan libasan pertama. Ketenangan Jun Wu Xie mula membuatkan mereka berasa terganggu. Sebelum ini, semua orang yang tercampak ke dalam penjara ini telah menjerit, meraung dan merayu. Tetapi budak muda ini berbeza. Sejak hari pertama, dia tidak pernah membuka mulut untuk bercakap walau sepatah. Dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda marah atau cemas akibat dipenjarakan.
Wajah muda yang halus itu hanya menunjukkan riak yang dingin dan tidak mesra. Nampaknya, keadaan penjara itu yang muram dan menyedihkan seperti tidak wujud di mata anak muda ini.
"Tuan Muda Jun, lebih baik saya sasarkan libasan pertama di pinggul atau belakang badan kamu? Jangan bimbang, saya tak akan bertindak melampau. Tentulah saya tak akan rosakkan muka kamu. Saya jamin selepas kamu bersalin pakaian nanti, tak ada siapa yang akan tahu yang kamu dah diseksa," kata pegawai penjara itu sambil ketawa kejam.
Jun Wu Xie kekal berdiri tanpa bergerak sedikit pun. Matanya yang jernih dan dingin itu cuma menjeling sekilas pada kedua-dua orang pegawai penjara tersebut.
"Sebaik kamu bertindak ke atas saya, kamu akan menyesal." Suara Jun Wu Xie yang dingin itu jelas kedengaran .
Dua orang pegawai penjara itu terhenti seketika. Kemudian mereka ketawa terbahak-bahak.
"Tuan Muda Jun, lawak apa ni? Kelakar betul! Menyesal!? Jangan salahkan saya sebab ingatkan kamu, ya. Tahu tak kenapa kami gunakan set rantai kunci yang baru tu? Sebenarnya, set belenggu yang ada pada kamu sekarang ni dah pernah digunakan untuk merantai pemilik roh biru. Kalau pun kamu dah capai roh hijau, kamu tak akan mampu melepaskan diri daripada belenggu ini, tak kiralah sekuat mana pun kamu cuba," kata pegawai penjara itu sambil mencemuh. Mana mungkin mereka tidak buat persediaan sebelum menyeksa pemilik roh hijau?
Hakikatnya, mereka berani bersikap angkuh kerana mereka percaya Jun Wu Xie langsung tidak akan dapat membalas perbuatan mereka.
Jun Wu Xie mengangkat dagu sedikit dan tidak lagi memandang kedua-dua orang pegawai penjara tersebut.
Pegawai penjara yang memegang cemeti itu tiba-tiba mengangkat tangannya. Seketika kemudian, hujung cemeti itu dilibas merentas udara, menuju bahagian belakang badan Jun Wu Xie!
Qiao Chu yang bersembunyi di sebalik bayang itu berasa cemas. Penumbuknya digenggam sambil dia bergelut menahan perasaan untuk menyerang.
Namun begitu, sesaat sebelum Qiao Chu mahu meluru keluar, satu bayang-bayang yang besar tiba-tiba muncul di dalam bilik penjara itu. Bayang-bayang tersebut adalah seekor binatang ganas bersaiz besar. Sebaik binatang itu muncul, rahangnya menggigit cemeti yang sedang dilibas ke badan Jun Wu Xie!
Kemunculan tiab-tiba binatang hitam itu membuatkan kedua-dua pegawai penjara itu terkaku. Pegawai penjara yang memegang cemeti itu tidak sempat bertindak pun sebelum binatang hitam besar yang masih menggigit cemeti itu mencampakkan dia ke udara sehingga dia terhempas kuat pada dinding batu!