webnovel

Seksaan yang Tidak Wajar (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie merenung set rantai kunci itu. Jika dibandingkan dengan rantai kunci yang membelenggu tangan dan kakinya sekarang, set yang baru ini lebih membataskan pergerakan. Gari dan belenggu kaki pada set baru itu diperkukuh dengan plat logam. Sebaik dikunci, seseorang itu tidak akan dapat bergerak. Mata Jun Wu Xie kelihatan dingin. Dalam diam dia menjeling ke kawasan di mana Qiao Chu bersembunyi tetapi dia tidak berkata apa-apa. Kemudian dia mengulurkan tangan sebagai tanda dia sanggup memberikan kerjasama.

Kedua-dua orang pegawai penjara itu diam-diam saling bertukar pandangan. Wajah mereka masih lagi menunjukkan senyuman lebar sewaktu mereka membuka set rantai kunci yang lama. "Tuan Muda Jun cukup selesa tak selama ni? Bilik penjara ni buruk saja dan tak lengkap. Mesti Tuan Muda Jun rasa susah. Tapi jangan bimbang, kami tak akan mengasari Tuan Muda Jun. Lagipun, Tuan Muda Jun ni kan rakan Putera Mahkota. Kami tak berani bersikap cuai."

"Betul tu. Tuan Muda Jun perlu bertahan beberapa hari saja lagi. Bila keadaan dah reda nanti, Tuan Muda Jun boleh keluar dari sini."

Kedua-dua orang pegawai penjara itu sama-sama berusaha meyakinkan Jun Xie. Mereka memasang set rantai kunci yang baru itu dengan teliti. Sekali-sekala mereka akan mencuri pandang pada Jun Xie. Setelah melihat Jun Xie nampaknya tidak mengesyaki apa-apa, mereka diam-diam mengeluh lega.

Dua bunyi klik yang tajam memecah kesunyian. Kunci plat logam yang membelenggu tangan Jun Wu Xie siap dipasang. Rantai di sekeliling kakinya juga membuatkan kakinya terikat rapat. Kini, sukar untuk Jun Wu Xie bergerak walau setengah inci.

Qiao Chu yang bersembunyi di dalam kegelapan itu memerhatikan gerak-geri dua orang pegawai penjara itu sambil berkerut. Walaupun dia tidak begitu arif tentang rantai kunci yang digunakan dalam penjara, melihatkan set baru yang digunakan pada Jun Wu Xie ini sahaja sudah cukup untuk membuatkan Qiao Chu sedar ada sesuatu yang tak kena.

Tangan dan kaki Jun Wu Xie dikunci rapat. Jangan kata berjalan, hendak duduk pun susah. Rantai kunci itu tidak nampak seperti apa yang digunakan pada banduan biasa.

Setelah memasang kunci, pegawai penjara itu menarik plat logam dan rantai itu dengan kuat untuk memeriksanya. Setelah memastikan semuanya terkunci, mereka tiba-tiba berundur. Senyuman di wajah mereka terus lenyap dan digantikan dengan kegembiraan di atas kesengsaraan orang lain.

"Jun Xie, dah lama kamu duduk dalam penjara ni. Mesti kamu dah biasa dengan tempat ni. Tahu tak sesiapa yang dipenjara di sini akan menerima "belaian kasih-sayang" kami?" kata salah seorang pegawai penjara itu sambil mengecilkan mata. Dia mengambil cemeti setebal dua jari dari pinggulnya.

"Tuan Muda Jun mesti dah rasa selesa sejak beberapa hari ni. Tapi hari yang baik tentu akan berakhir dan perkara yang buruk pasti berlaku. Walaupun kami tak berniat untuk menyusahkan hidup Tuan Muda Jun, tapi kami tak boleh ubah peraturan dalam penjara ni sesuka hati. Contohnya, cuba Tuan Muda Jun tengok cemeti ni. Tak ada seorang banduan dalam penjara ni pun yang terlepas daripada merasakannya. Cemeti ni sangat kukuh dan ada cangkuk yang tertanam padanya. Dengan satu libasan ringan, bukan saja baju akan terkoyak, daging pun boleh tercarik. Kulit Tuan Muda Jun ni licin dan cerah. Saya tertanya-tanya, berapa libasan yang kamu boleh tahan?" kata salah pegawai penjara itu. Wajahnya berubah sambil merenung Jun Xie dengan ganas. Cemeti hitam yang dipegangnya itu sengaja dihayunkan di depan mata Jun Wu Xie. Cangkuk yang terbenam pada cemeti itu jelas dapat dilihat. Di bawah cahaya lilin malap yang meliuk-liuk itu, cemeti itu kelihatan lebih menggerunkan daripada biasa.

"Malam masih muda. Tuan Muda Jun tak perlu terburu-buru. Malam ini, kami berdua akan membiasakan Tuan Muda Jun dengan peralatan seksaan yang ada di penjara ini. Kami jamin, Tuan Muda Jun akan mendapat pengalaman yang tak dapat dilupakan!"