"Pergi seorang. Ingat, ubah rupa kamu." Jun Wu Xie tidak lupa memberikan peringatan terakhir itu kepada Hua Yao.
He Chang Le sudah bertemu dengan mereka semua di Rumah Lelong Chan Lin semalam. Kalau mereka muncul sekali lagi dengan identiti sebenar mereka, pasti banyak khabar angin akan mula tersebar tentang mereka.
Bagi mengelak masalah yang tidak diundang, Jun Wu Xie terpaksa mengingatkan Hua Yao untuk menyembunyikan identitinya.
"Baiklah," kata Hua Yao sambil menggosok-gosok mukanya. Dia sedang memikirkan, rupa bagaimana yang perlu digunakannya untuk disesuaikan dengan situasi itu nanti.
Selepas membuat semua persiapan, Hua Yao menukarkan dirinya menjadi lelaki pertengahan usia dan menuju ke Rumah Lelong Chan Lin di mana dia menyerahkan semua barangan itu kepada He Chang Le.
Sewaktu dia kembali, sudah pun tiba waktu makan tengah hari. Semua rakan-rakannya berkumpul serentak di bilik Jun Wu Xie seolah-olah seperti dirancang dan menantikan makanan tiba.
"Abang Hua, dah selesai semuanya?" Qiao Chu bertanya sebaik terlihat Hua Yao berjalan ke arahnya sambil tersenyum lebar.
Namun begitu, Fan Zhuo amat terkejut apabila terlihat lelaki pertengahan usia yang tidak dikenali itu dan mendengar Qiao Chu memanggil lelaki tersebut sebagai "Abang Hua".
Hua Yao tidak merasakan dia perlu menyembunyikan apa-apa daripada Fan Zhuo. Dia mengangkat tangannya untuk menutup mukanya sedikit. Tulang-tulang di bawah kulitnya terus berubah dan dalam sekelip mata, dia sudah kembali menjadi pemuda yang menawan.
Mata Fan Zhuo terbeliak dan bibirnya menggeletar sewaktu dia memandang Hua Yao dengan perasaan pelik.
"Fan Zhuo, bertenang. Kemahiran Abang Hua dalam menukar rupa parasnya itu mudah saja baginya." Fei Yan menenangkan Fan Zhuo sambil menepuk-nepuk bahunya. Ekspresi wajahnya seolah-olah mengatakan "ini perkara normal sahaja."
"Puak Pengubah Tulang…." Fan Zhuo tiba-tiba menyebut tiga patah perkataan ini.
Pada ketika itu wajah semua orang di bilik itu, kecuali Jun Wu Xie, terus berubah.
Puak Pengubah Tulang merupakan salah satu puak terbesar di Alam Pertengahan. Mereka memiliki kebolehan untuk mengawal bentuk dan saiz tulang-tulang di dalam badan mereka. Nama puak mereka pula hanya diketahui oleh orang-orang di Alam Pertengahan.
Sewaktu mereka sedar bahawa Fan Zhuo tahu tentang Batu Jed Hitam dan Perak Hitam, mereka masih boleh menganggap mungkin Fan Zhuo ada terdengar tentangnya daripada orang-orang Istana Dua Belas yang berhubungan dengan ayahnya. Tetapi dia dapat mengenal pasti Hua Yao sebagai ahli Puak Pengubah Tulang! Ahli puak ini sangat sedikit sekarang dan mereka jarang dilihat di Alam Pertengahan sekalipun. Walaupun orang-orang dari Istana Dua Belas tahu tentang puak ini, tak ada sebab untuk mereka menyebut tentangnya pada orang lain di Alam Bawahan.
Jadi bagaimana Fan Zhuo tahu tentangnya?
Mata mereka semua tertumpu pada Fan Zhuo. Perasaan terkejut di mata Fan Zhuo semakin lenyap dan dia menundukkan kepalanya sedikit. Wajahnya yang pucat dan tampan itu diselubungi bayang dan mereka tidak dapat melihat ekspresi wajahnya.
Namun begitu, ketika semua orang mula resah, Fan Zhuo tiba-tiba menutup muka dengan tangannya lalu mula ketawa.
"Patutlah….patutlah sewaktu saya menyebut tentang Batu Jed Hitam dan Perak Hitam, kamu semua memberikan reaksi sebegitu…. Patutlah kamu semua begitu berminat dengan Cenuram Penghujung Syurga…. Saya sepatutnya sudah boleh teka sejak mula lagi…." Fan Zhuo tidak dapat berhenti ketawa sehingga bahunya bergoyang.
Tiba-tiba Fan Zhuo mengangkat kepalanya. Tidak ada tanda-tanda keriangan yang baru sahaja menyelubunginya tadi. Matanya bersinar dengan cahaya kejam yang menggerunkan. Matanya memandang Qiao Chu dan orang lain di situ sambil tersenyum jahat.
"Kamu semua dari Istana Dua Belas yang mana?"
Qiao Chu dan yang lain menjadi kaku. Kata-kata Fan Zhuo itu memberikan isyarat pada mereka….
Dia tahu tentang Alam Pertengahan dan Istana Dua Belas!
"Fan Zhuo, apa yang sedang berlaku ni…." Melihatkan perubahan tiba-tiba yang berlaku pada wajah Fan Zhuo, Qiao Chu tidak tahu bagaimana mahu memberikan reaksi.
Pemuda yang sopan dan lemah lembut ini tiba-tiba mampu menunjukkan niat jahat yang membara di matanya!
Mata Fan Zhuo merenung ekspresi wajah Qiao Chu dan yang lain. Tiba-tiba raut wajahnya bertukar lagi. Dia kembali menguntumkan senyuman lembut dan mesra seperti biasa.