webnovel

Cenuram Penghujung Syurga (4)

Editor: EndlessFantasy Translation

Mereka berempat menetapkan rancangan dan menetapkan masa untuk memulakan perjalanan ke Cenuram Penghujung Syurga selepas selesai menempa cincin roh mereka nanti.

Tapi sebelum itu, mereka perlu memulihkan badan Mu Qian Fan.

Tugasan penting ini sekali lagi dipikul oleh Jun Wu Xie.

Proses untuk mengeluarkan Perak Hitam dari Batu Jed Hitam yang besar itu memerlukan tempoh masa yang panjang. Selepas Fan Zhuo dan Rong Ruo berunding tentang harganya, mereka meninggalkan Batu Jed Hitam itu di bengkel tukang besi dan berlalu pergi.

Tiada siapa akan mengetahui batu apakah itu dan mereka juga tidak risau ada orang yang akan mencurinya.

Selepas pulang ke rumah tumpangan itu, mereka semua sibuk dengan tugasan masing-masing. Tak ada siapa yang menyebut tentang Cenuram Penghujung Syurga,

Sewaktu hari hampir gelap, Jun Wu Xie keluar dan mencari di merata-rata tempat untuk mendapatkan barangan yang diperlukan untuk menghasilkan ubat-ubatan dan eliksir. Tetapi memandangkan tidak ada sesiapa yang membuat eliksir di Akademi Zephyr, barang-barang tersebut tidak terlalu popular di bandar Chan Lin. Tidak ramai yang menjualnya.

Setelah lama mencari-cari, Jun Wu Xie akhirnya berjaya menemui tungku dapur ringkas untuk pembuatan eliksir, di sebuah kedai kecil. Tungku itu hanya bersaiz sebesar tapak tangan dan diperbuat daripada tembaga. Buatannya tidak begitu bagus, tetapi boleh berfungsi untuk kegunaan sementara.

Selepas sekali lagi berkunjung ke kedai ubat-ubatan selepas membeli herba, Jun Wu Xie kembali ke rumah tumpangan untuk memulakan kajian ke atas racun pada cebisan daging Mu Qian Fan.

Dia bekerja sepanjang malam tanpa berehat. Sewaktu Hua Yao mengetuk pintu dan meminta izin untuk masuk ke biliknya pada keesokan hari, dia mendapati Jun Wu Xie berdiri membuka pintu sambil memegang beberapa botol ubat-ubatan. Dia memandang sekilas pada Hua Yao dan meneruskan tugasannya.

"Qiao Chu mahu saya bertanyakan pada kamu, bila kami patut pergi ke rumah lelongan itu lagi." Hua Yao amat berminat dengan apa yang Jun Wu Xie sedang sibuk lakukan. Dia tidak pernah menyaksikan Jun Wu Xie membuat ubat-ubatannya. Hua Yao sering berasa ingin tahu tentang pemuda bertubuh kecil yang memiliki kemahiran perubatan yang hebat dan mampu menghasilkan eliksir yang menakjubkan.

"Hari ini," jawab Jun Wu Xie dengan ringkas.

Setelah berkata begitu, dia meletakkan semua barang yang dipegangnya lalu pergi mengambil beberapa botol eliksir dan batu roh dari dalam beg kosmosnya sebelum meletakkan semuanya ke atas meja. Dia menerangkan kegunaan setiap eliksir kepada Hua Yao dengan ringkas sebelum membungkus semuanya dan menyerahkannya kepada Hua Yao.

"Jual semuanya," kata Jun Wu Xie.

Menjual batu-batu roh itu sahaja mungkin tidak cukup untuk menampung perbelanjaannya. Selepas Jun Wu Xie kembali ke Akademi Zephyr nanti, dia berniat mahu mendapatkan satu set barangan pembuatan eliksir. Memandangkan Bandar Chan Lin tidak mempunyai kedai yang menjual barangan tersebut, Jun Wu Xie perlu menempah khas peralatan yang diperlukan. Ini akan memerlukan jumlah perbelanjaan yang besar.

Kos tambahan pembelian herba itu akan meningkatkan jumlah perbelanjaan mereka.

Wajah Hua Yao kelihatan bingung sewaktu merenung eliksir yang Jun Wu Xie serahkan kepadanya. Setelah mendengar penjelasan Jun Wu Xie tentang kegunaan eliksir ini, dia berdiri terpaku dan tidak bergerak walau selangkah.

"Kamu…..benar-benar mahu jual semua ini?" Menurut penilaiannya, semua eliksir ini agak bagus. Walaupun tidak setanding dengan eliksir luar biasa yang Jun Wu XIe jual sebelum ini di hadapan pintu Akademi Zephyr, eliksir-eliksir ini tetap memiliki kesan yang jarang ditemui dan amat hebat.

Dia sanggup menjual semua eliksir ini semudah itu sahaja?

"Mmm. Saya hanya ada eliksir sebanyak ini sahaja." Jun Wu Xie mengangguk. Stok eliksirnya agak sedikit dan dia tidak akan menjual eliksir yang bagus kepada orang lain. Dia lebih rela menyimpan eliksir-eliksir yang bagus itu untuk orang-orang yang dia hargai. Padanya, pemikiran begitu lebih logik.

Perbelanjaan di dalam Akademi Zephyr amat tinggi. Jadi Jun Wu Xie bercadang untuk menggunakan masa terluangnya di akademi untuk menghasilkan eliksir dan menjualnya di Rumah Lelong Chan Lin. Kali ini dia berniat untuk sekadar menguji pasaran.

Kalau hasilnya bagus, dia akan meneruskan rancangannya.

Memandangkan dia tidak begitu faham konsep wang di dunia ini, Jun Wu Xie tidak terlalu berkira.

Jun Wu Xie memang tidak berkira, tetapi mustahil untuk Hua Yao berbuat begitu. Kalau dia tidak tahu yang eliksir-eliksir dalam tangannya itu boleh dihasilkan semula oleh Jun Wu Xie, dia tidak akan sanggup untuk menjual walau satu sekalipun.