"Saya pasti cincin ini berasal dari Alam Pertengahan, tapi saya tak pasti sama ada cincin ini datang dari Dua Belas Istana atau tak," kata Fan Zhuo.
Jun Wu Xie membalas dengan tenang, "Selain orang-orang dari Dua Belas Istana, tak ada orang lain dari Alam Pertengahan yang akan datang ke sini."
Pada mulanya ketika Dua Belas Istana membuat rancangan rahsia untuk merampas harta Maharaja Kegelapan, mereka sememangnya sudah menyedari bahaya yang bakal menimpa. Mereka tidak berani menanggung sendiri beban kesalahan ini. Selain itu, mereka juga tidak mungkin akan mendedahkan pada orang lain di Alam Pertengahan tentang hakikat yang mereka tahu bahawa makam Maharaja Kegelapan itu berada di dasar Cenuram Penghujung Syurga.
Orang-orang yang mati di sini pastinya telah dihantar oleh Dua Belas Istana!
"Ketika itu, setiap orang yang dihantar ke Alam Bawahan untuk mencari makam Maharaja Kegelapan semuanya merupakan pakar terhebat dari Dua Belas Istana. Malangnya, pakar-pakar hebat itu pun tewas dengan keadaan berbahaya di tempat ini sehingga kehilangan nyawa mereka," kata Fan Zhuo. Dia tersenyum sinis sambil matanya meneliti cincin roh yang terukir rapi itu.
Pada masa itu, ibu bapanya telah berjaya menempuh halangan dan bahaya dan tidak berkesudahan kemudian akhirnya dapat menemui makam Maharaja Kegelapan. Mereka langsung tidak menyangka bahawa penemuan mengagumkan mereka ini akan membawa nasib malang dan berakhir dengan tragedi.
Setelah berjaya mengharungi pelbagai rintangan dan bahaya di sini, mereka akhirnya dihapuskan oleh kuasa yang sama di mana mereka telah bersumpah setia. Fan Zhuo merasakan situasi itu memang kelakar!
Apa yang Fan Zhuo fikirkan sama seperti apa yang Qiao Chu dan yang lain rasakan di dalam hati mereka. Setelah mendapati roh berkontrak di dalam cincin roh itu sudah lenyap, hati mereka pedih mengenangkan nasib yang menimpa bapa-bapa mereka.
Kalau ketika itu tidak cukup kuat, mungkinkah bapa-bapa mereka juga akan kehilangan nyawa di tempat yang menggerunkan ini?
Adakah bapa-bapa mereka akan menerima nasib yang sama seperti pemilik cincin roh ini dan ditelan oleh lubang-lubang benam yang tidak terkira banyaknya?
Mati tanpa meninggalkan sebarang jejak…
"Mari kita teruskan." Jun Wu Xie tiba-tiba berdiri. Tanpa berkata apa-apa lagi, dia sekali lagi terus mengetuai mereka.
Kebencian dan kesedihan yang membara tertanam jauh di mata Qiao Chu dan yang lain. Sekarang bukan masa yang tepat untuk tenggelam di dalam kebencian dan pembalasan dendam. Kalau mereka tidak berwaspada, tersilap langkah sedikit sahaja akan membuatkan mereka terkorban.
Ye Mei dan Ye Sha mengikut kumpulan itu dari belakang. Mata mereka tekun memerhati keadaan sekeliling. Sebaik ternampak bahaya sahaja, mereka yang pertama sekali akan bertindak.
"Kamu perasan apa-apa tak?" tanya Ye Mei, berbisik-bisik secara sembunyi-sembunyi pada Ye Sha sambil bergerak bersama-sama kumpulan itu.
Ye Sha mengangguk kecil.
"Tempat ini sememangnya hanya dapat dibina oleh orang-orang dari Rejim Kegelapan."
Ye Mei mengetap gigi.
"Mungkin kita patut pujuk Cik Muda untuk pergi dari sini. Kalau tempat ini memang dicipta oleh Rejim Kegelapan untuk mengangungkan Tuanku, pasti tempat ini di luar kemampuan Cik Muda untuk tangani. Kita berdua pun mustahil dapat lakukannya."
Mereka berdua dilahirkan dalam Rejim Kegelapan. Tiada siapa lagi yang lebih arif tentang betapa kuatnya Rejim Kegelapan ini.
Kalau orang-orang dari Rejim Kegelapan benar-benar menganggap kawasan ini sebagai tempat persemadian Maharaja Kegelapan, mereka akan menggunakan seluruh sumber dan tenaga untuk menghentikan sesiapa sahaja daripada mencemari harta peninggalan Maharaja Kegelapan!
Ye Sha teragak-agak seketika sebelum mengangguk. Kalau Jun Wu Xie ditimpa bahaya, dipancung seratus kali pun belum tentu dapat memuaskan hati Tuanku!
Dalam sekelip mata Ye Sha sudah melompat mendekati Jun Wu Xie.
Tetapi Jun Wu Xie tiba-tiba berhenti, lalu membantutkan tindakan mereka seterusnya.
Di hadapan mata Jun Wu Xie terdapat beberapa bongkah batu hitam yang besar. Batu-batu besar ini sama seperti apa yang Mu Qian Fan jual pada Rumah Lelong Chan Lin. Hanya saiz batu-batu ini sahaja yang berbeza.
Adakah ini batu-batu ini juga boleh dileburkan untuk mendapatkan Perak Hitam?
Kening Jun Wu Xie berkerut sedikit.
Mu Qian Fan ada menyebut bahawa bongkah batu yang dibawa balik bersamanya itu telah ditemui berdekatan muka cenuram di dasar Cenuram Penghujung Syurga.
Tapi setelah mencari-cari di sepanjang muka cenuram itu tadi, mereka langsung tidak nampak sebarang batu hitam. Jun Wu Xie tidak menyangka dia akan menemui begitu banyak bongkah batu hitam di sebalik lautan lumut hijau ini!