webnovel

Di sebalik kabus yang mengelirukan itu bukan sahaja ada racun maut dan lubang benam yang menelan segala-galanya malah ada juga binatang buas yang menggerunkan sedang berkeliaran!

Raksasa yang ganas dan kuat itu telah menyebabkan Mu Qian Fan berputus asa, jadi Jun Wu Xie terus akan berwaspada. Tuan Embek Embek adalah helah tersembunyinya dalam menghadapi ekspedisi ini.

Setelah menolak idea untuk menggunakan Tuan Embek Embek sebagai peninjau laluan di hadapan, Jun Wu Xie mengeluarkan sebatang lagi senjata beruas tiga dari Beg Kosmos. Dia sememangnya sudah mempunyai persediaan rapi dan tidak risau yang dia mungkin akan kehabisan alatan tersebut untuk digunakan.

Setelah berterusan menusuk-nusuk tanah berlumut itu dengan senjata beruas tiga itu sambil berjalan, bilangan senjata tersebut di dalam Beg Kosmos Jun Wu Xie menyusut dengan pantas. Sewaktu meneruskan perjalanan, mereka mendapati jumlah lubang benam semakin meningkat!

Setelah berjalan sepanjang hari, mereka tidak berjaya bergerak sejauh satu kilometer sekalipun.

Sepanjang perjalanan, mereka bertembung dengan banyak lubang benam. Di pinggir lubang-lubang benam ini juga mereka menemui banyak alatan lama yang sudah pecah. Pedang-pedang yang telah telah terkakis teruk oleh lumut-lumut hijau itu bertaburan berdekatan cebisan pakaian yang sudah koyak-rabak. Jelas sekali sebelum kumpulan Jun Wu Xie sampai di situ, sudah ramai orang yang telah kehilangan nyawa akibat ditelan lubang-lubang benam. Semua barangan lama yang sudah rosak itu hampir tertutup sepenuhnya dengan lumut hijau. Ini semua merupakan barangan peninggalan mangsa-mangsa lubang benam tersebut.

Berbanding tanah yang dipenuhi tulang-temulang, kawasan muka bumi yang penuh dengan lubang benam ini lebih menggerunkan. Setiap langkah mereka diancam maut.

Jika dibandingkan dengan timbunan demi timbunan sisa-sisa tulang di situ, berangan yang berselerakan di pinggir lubang-lubang benam ini lebih menggambarkan kekejaman dasar cenuram ini yang tidak berbelas kasihan.

Menemui ajal dan kemudian tubuh mereka juga tidak dapat ditemui… teruk betul jika mati dalam keadaan begini.

Kekuatan yang mereka dapat pulihkan setelah berusaha keras, telah menyusut dengan cepat. Jun Wu Xie dan rakan-rakannya tidak mempunyai pilihan selain berpindah ke kawasan yang lebih selamat untuk duduk berehat. Hitam Kecil dan Rolly juga diseru. Kali ini Jun Wu Xie tidak membenarkan Tuan Embek Embek menukar rupa.

Terdapat banyak lubang benam yang berada di sekeliling mereka. Tubuh badan asal Tuan Embek Embek terlalu besar dan jika ia bertukar rupa, pasti ia akan terjerlus ke dalam lubang-lubang benam itu. 

Mereka telah bergerak dengan perlahan. Kelesuan yang menyelubungi mereka ini lebih daripada segi mental kerana mereka tidaklah menghabiskan tenaga fizikal yang banyak. Namun begitu, kekuatan tenaga rohani mereka telah habis sepenuhnya dan ini memerlukan mereka duduk berehat. 

"Berapa lama lagi kita perlu berada di sini sebelum boleh habis meneroka tempat ni?" tanya Qiao Chu. Dia sedang mengunyah sekeping daging kering yang keras dan merasakan seolah-olah sedang menggigit seketul batu.

Mereka yang lain semuanya menggelengkan kepala. Tak ada siapa yang tahu berapa panjang lagi laluan ini dan berapa jauh lagi perjalanan mereka. Matlamat utama ekspedisi ini ialah untuk melakukan apa sahaja untuk meninjau kawasan ini dan mempelajari apa yang boleh. Mereka akan berjalan sejauh mungkin untuk mengumpulkan sebarang maklumat yang dapat ditemui.

Tentulah semua ini hanya dapat dilakukan jika mereka mampu kekal selamat. Sebaik nyawa mereka terancam, mereka tak akan terus berada di sini.

"Nampaknya, kalau nak cari lokasi tepat makam Maharaja Kegelapan itu, kita benar-benar perlu mengumpulkan kelapan-lapan bahagian peta. Kalau tidak memang mustahil." Qiao Chu mengeluh hampa. Sangkanya, dengan adanya dua keping peta kulit manusia itu di tangan mereka, kalau tak dapat temui lokasi tepat makam itu pun, sekurang-kurangnya peta itu berguna juga di kawasan dasar cenuram ini. Namun, realiti yang berlaku tidak seperti jangkaannya.

"Buat masa sekarang ni, nampaknya itulah yang kita perlu lakukan," kata Hua Yao sambil mengangguk setuju.

Jun Wu Xie tiba-tiba menghulurkan tangannya. Tidak lama kemudian, sebentuk cincin hitam muncul dalam genggamannya. Batu roh pada cincin itu masih bersinar dengan cahaya yang terang, tetapi permukaan cincin itu telah diselaputi lumut.

"Bukankah itu cincin roh?" tanya Fan Zhuo. Dia terus mengenal pasti objek tersebut.

Cincin roh itu kelihatan buruk dan usang. Tetapi setelah membersihkan lumut yang menyelaputinya, cincin itu kelihatan bersinar-sinar dan tidak tercela. Hanya ada satu kehadiran roh dapat dikesan pada cincin tersebut.

"Cincin roh ini telah ditempa semula sebelum ini. Bahan yang digunakan juga adalah Perak Hitam. Tapi pemilik cincin ini pasti sudah mati dan pertalian roh berkontraknya telah pun putus," kata Fan Zhuo sambil mengambil cincin itu dan menelitinya. Simbol Pengukuhan Roh yang ada pada cincin itu tidak dikenalinya, amat berbeza dengan tiga jenis simbol yang dia tahu.