webnovel

"Saya sudah sediakan penawar. Kita tak tahu jumlah sebenar orang yang telah diracun jadi saya sudah sediakan cukup-cukup untuk semua orang. Selepas askar-askar Tentera Rui Lin sudah minum penawar ini, arahkan mereka untuk mengedarkannya kepada orang ramai."

Kawasan sebaran racun itu agak luas dan Jun Wu Xie tidak dapat membuat diagnosis ke atas setiap orang. Jadi dia membuat keputusan untuk memberikan sahaja penawar kepada semua penduduk Bandar Diraja. Cara ini lebih berkesan.

"Arahan Cik Muda akan dilaksanakan."

"Saya rasa saya tak perlu beritahu kamu bagaimana untuk lakukannya?" Mata Jun Wu Xie yang dingin memandang Long Qi.

"Saya tak akan kecewakan Cik Muda!" balas Long Qi dengan tegas.

Sehari selepas kejadian letupan badan itu, semakin ramai orang jatuh sakit. Apabila tabib-tabib tidak tahu apa yang perlu dilakukan, orang ramai mula panik.

Pada waktu tengah hari itu juga, ada notis yang ditampal di seluruh bandar. Orang ramai yang membaca notis ini menjadi marah dan berita ini tersebar dengan cepat ke seluruh pelosok bandar.

Penjahat yang telah bersembunyi di dalam bandar itu masih tidak menghentikan serangan dan telah menggunakan racun untuk menakutkan penduduk Bandar Diraja. Lima puluh kejadian letupan badan yang berlaku semalam ialah disebabkan oleh racun yang mereka gunakan.

Dalam masa beberapa ketika, orang ramai mula memaki-maki dan menyumpah-nyumpah di seluruh bandar. Mereka yang mempunyai ahli keluarga yang sakit akibat racun itu pula menangis kerana risau.

Sedang rakyat berada dalam keadaan panik, Putera Mahkota Mo Qian Yuan membawa Tentera Rui Lin keluar dan memberikan penawar kepada orang ramai. Penawar itu berada di dalam botol kecil dan mampu meneutralkan racun di dalam badan mereka.

Lapan puluh ribu anggota Tentera Rui Lin digerakkan, tidak putus-putus memberikan penawar itu kepada orang ramai. Mereka yang telah diracun dapat melihat kesan serta-merta setelah minum penawar itu dan dalam masa separuh hari sahaja, berita tentang tindakan Mo Qian Yuan yang baik hati ini menjadi sebutan ramai. Mereka memujinya dan amat berterima kasih kepadanya. Pada hari ini, kedudukan dan populariti Putera Mahkota meningkat setinggi langit. Sokongan ke atasnya juga melebihi sokongan ke atas Maharaja.

Keadaan darurat sekali lagi diisytiharkan dan mereka yang pada mulanya menentang penguncian Bandar Diraja pada kali pertama dulu, kini amat membenci penjahat-penjahat itu dan memberikan sokongan penuh terhadap Tentera Rui Lin.

Rakyat amat bersemangat. Bukan sahaja reputasi Putera Mahkota meningkat secara mendadak, tetapi Tentera Rui Lin juga kini dianggap sebagai pelindung rakyat.

Rancangan jahat yang dapat menghapuskan seluruh Bandar Diraja ini dipatahkan dengan penawar yang Jun Wu Xie hasilkan. Tentera Rui Lin memberikan berbotol-botol penawar ini kepada orang ramai, bagi meneutralkan racun dalam badan mereka dan membanteras sepenuhnya ancaman ke atas Bandar Diraja.

Tindakan yang pantas ini menyebabkan berita ini tidak sempat sampai ke Istana Diraja. Selain daripada lima puluh kematian pada hari pertama, tidak ada nyawa lain yang terkorban akibat racun itu.

Bagi mengenal pasti tempat penjahat itu bersembunyi, Tentera Rui Lin menyiasat identiti lima puluh orang yang mati itu. Mayat-mayat mereka hancur berkecai dan mustahil untuk melakukan siasatan berdasarkan rupa mereka. Tentera Rui Lin mula menyiasat sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga.

Di dalam Istana Lin, Jun Qing memandang Jun Wu Xie yang sedang sibuk dengan pil-pil ubatnya. Ekspresi wajah Jun Qing menunjukkan dia sedang berfikir.

"Kamu suruh Long Qi umumkan orang yang bertanggungjawab ke atas racun itu ialah penjahat yang masih bersembunyi di dalam Bandar Diraja. Apa tujuan kamu?" Jun Qing tidak faham niat anak saudaranya ini. Kekecohan akibat racun itu memberikan Tentera Rui Lin sebab yang lebih kukuh untuk terus mengawal Bandar Diraja. Tetapi jika Jun Wu Xie tidak berniat untuk menamatkan isu ini di sini, sejauh mana akan dia teruskan tindakannya?

Jun Wu Xie masih lagi menyibukkan diri dengan pil-pil ubatannya sewaktu dia menjawab, "Apa yang disembunyikan perlu didedahkan."

Jun Qing berfikir sendiri. Jun Wu Xie got menyuruh Tentera Rui Lin menyiasat identiti lima puluh orang yang mati itu. Tetapi berdasarkan cara mereka mati, tugas ini agak mustahil. Jumlah penduduk yang ramai di dalam bandar ini menyebabkan tidak mudah untuk mereka mendapatkan maklumat, walaupun mereka mencari orang-orang yang hilang.

"Dalam keadaan biasa, memang susah untuk mendapat tahu tentang identiti mereka. Keadaan kini berbeza. Orang ramai yang risau tentang racun akan memastikan keselamatan semua ahli keluarga mereka, termasuklah ahli keluarga yang berkhidmat dengan kerajaan." Jun Wu Xie menjelaskan sambil memegang sejambak herba di tangannya.