webnovel

Siri letupan badan yang berlaku sangat memberi kesan ke atas penduduk Bandar Diraja. Walaupun ada yang berasa sedikit tenang setelah kerisauan mereka diredakan oleh Tenter Rui Lin, kebanyakan orang yang menyaksikan sendiri letupan itu merasakan peristiwa menggerunkan itu akan menghantui mereka sepanjang hidup.

Ramai di kalangan saksi kejadian jatuh sakit akibat terkejut dengan apa yang mereka lihat hari itu. Mereka mengalami demam panas dan kuasa rohani mereka seperti bergolak dan membuak-buak di dalam badan mereka sehingga menyebabkan kesakitan yang teramat. Semua tabib di seluruh bandar dipanggil tetapi tidak ada seorang sekalipun yang dapat menentukan puncanya.

Disebabkan suhu badan yang tinggi dan mengalami demam, tidak lama kemudian kebanyakan daripada mereka telah terlantar di katil tanpa mengetahui yang mereka telah diracun.

Kesan racun itu muncul lebih lewat di kalangan orang yang mempunyai kuasa rohani yang tinggi. Ini kerana apabila racun itu meningkatkan kuasa rohani, mereka mampu menampung peningkatan kuasa itu. Sebaliknya, ramai di kalangan rakyat hanya mempunyai kuasa rohani tahap merah dan badan mereka tidak mampu menanggung peningkatan yang berlaku.

Di Istana Lin, pedati-pedati yang membawa herba tidak putus-putus tiba. Memandangkan Bandar Diraja berada di bawah kawalan Tentera Rui Lin, pemilik kedai herba dan dewan perubatan tidak ada pilihan selain menurut arahan mereka. Terutamanya apabila askar lengkap berbaju besi berdiri di depan pintu sambil memerhatikan pemilik-pemilik ini mengosongkan gudang mereka.

Lagipun mereka bukannya memberikan sahaja herba-herba ini. Tentera Rui Lin telah memberitahu mereka yang herba ini diminta oleh Putera Mahkota, dan bayaran yang diperlukan akan dihantar dalam masa beberapa hari.

Ini membuatkan mereka melaksanakan arahan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Halaman Jun Wu Xie sudah dipenuhi herba dan bekalan herba yang masih lagi tiba dihantar pula ke halaman Mo Qian Yuan untuk disimpan.

Jun Wu Xie berkurung di dalam dispensari sepanjang pagi hingga tengah hari. Dia menjalankan pelbagai jenis ujian dan analisis ke atas racun dalam badan sepuluh orang askar pengawal Tentera Rui Lin itu. Dengan menggunakan satu cawan kecil darah yang diambilnya daripada askar-askar berkenaan, Jun Wu Xie akhirnya mencapai kejayaan.

Hari bertukar malam dan cahaya bulan yang terang mengintai di sebalik awan gelap, menyinari bumi dengan cahaya yang lembut.

Jun Wu Xie akhirnya dapat menghasilkan penawar dan askar-askar itu meminumnya sebelum dia memeriksa nadi mereka. Denyutan nadi mereka menjadi stabil dan kuasa rohani mereka tidak lagi berpusar-pusar, sebaliknya sudah kembali tenang seperti biasa.

"Kamu boleh pergi. Panggil Long Qi ke mari."

Mereka memberi tabik hormat kepada Jun Wu Xie dan terus keluar. Seketika kemudian, Long Qi masuk ke bilik itu.

Jun Wu Xie sangat sibuk hari ini dan kakinya berasa sakit. Dia duduk di kerusi sambil mengurut-urut lututnya.

Long Qi berjalan menuju Jun Wu Xie dengan senyap. Dia menuang secawan air suam dan memberikan cawan itu kepada Jun Wu Xie sambil menundukkan kepalanya.

Cik Muda memang seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Wajahnya sentiasa dingin dan kelihatan tidak mudah didekati. Tetapi jika dia mahu menolong, dia akan melakukannya sehabis baik. Long Qi sudah memeriksa askar-askar itu sebelum datang ke sini dan dia dapat melihat yang mereka sudah dipulihkan. Jun Wu Xie sudah berjaya menghasilkan penawar.

Sepanjang hidupnya, dia cuma menjadi anggota tentera dan tidak banyak yang boleh dilakukan untuk Cik Muda. Dia hanya boleh menunjukkan rasa berterima kasihnya yang tidak terhingga, dengan caranya yang tersendiri.

Jun Wu Xie tidak menolak dan meneguk sahaja air yang diberikan. Tekaknya yang kering, dibasahi air yang suam itu dan keletihannya hilang sedikit.

"Saya ini tidak berguna, langsung tidak dapat mengenal pasti identiti lelaki-lelaki yang telah meletup itu." Long Qi menundukkan kepalanya kerana berasa malu. Dia tidak mendapat apa-apa maklumat daripada lima puluh kes letupan badan yang Jun Wu Xie mahu dia siasat.

Jun Wu Xie tidak terkejut. "Mereka semua meletup, mestilah tak dapat maklumat." Tulang mereka juga hancur. Siasatan ini tidak akan menemui apa-apa melainkan mereka menggunakan peralatan dan teknologi daripada kehidupan lampaunya.