webnovel

Menghadapi Akibat (2)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Gu Li Sheng juga membawa para pelajar fakulti Pemulih Roh kembali ke akademi. Setelah menghadapi kejadian yang kacau-bilau, para pelajar Akademi Zephyr menjadi semakin mudah mengikut kata. Tiada siapa yang berani memperkatakan tentang apa yang berlaku tempoh hari dan mereka semua menjalani kehidupan seharian dengan patuh. Situasi ini menyelamatkan Hua Yao daripada berasa pening kepala.

Jun Wu Xie membawa Tuan Embek Embek ke hutan buluh kecil itu untuk menjaganya. Dia menghabiskan masa merawat Fan Jin dan Tuan Embek Embek. Jun Wu Yao tidak ke mana-mana kali ini dan hanya duduk di satu sudut setiap hari. Dia tersenyum memerhatikan Jun Wu Xie yang sibuk ke sana sini.

Tetapi ini merupakan waktu yang sukar buat Ye Sha dan Ye Mei. Selain Fan Jin yang sudah hilang akal itu, mereka tidak berani membenarkan mana-mana lelaki pun datang ke hutan buluh kecil itu. Jadi mereka memikul segala tanggungjawab, daripada mengemas sehinggalah memasak. Ketika mengenangkan kembali rekod gemilang mereka di masa lalu, kemudian melihatkan situasi mereka sekarang yang berhadapan dengan periuk belanga dan pinggan-pinggan kotor, Ye Sha dan Ye Mei hanya mampu menahan air mata dalam diam dan teruskan menyental periuk-periuk itu dengan bersungguh-sungguh!

Ah Jing dibawa kembali ke Akademi Zephyr oleh Fan Zhuo. Luka-luka pada badannya kebanyakannya sudah sembuh. Tetapi mungkin disebabkan pengalaman penuh trauma yang dilaluinya, Ah Jing sudah bertukar menjadi seseorang yang pendiam dan muram.

Fei Yan meninggalkan Akademi Zephyr buat sementara waktu untuk mencari dan mengumpulkan maklumat tentang Negara Yan. Mereka semua bersiap-sedia membuat persiapan untuk bertolak ke Negara Yan sebaik Fan Jin kembali pulih. Ini akan membolehkan mereka mencari semua kepingan peta dan melengkapkan koleksi mereka secepat mungkin.

Masa berlalu hari demi hari. Tubuh badan Fan Jin perlahan-lahan mula pulih hasil penjagaan teliti Jun Wu Xie. Tetapi mindanya masih lagi diselubungi kekeliruan. Kadangkala dia ada menunjukkan kesedaran buat seketika, tetapi kemudian kembali menjadi bingung. Keadaannya masih terlalu tidak stabil.

Fan Zhuo akan datang menemani Fan Jin setiap hari. Dia tidak bercakap, tetapi hanya duduk diam bersama-sama Fan Jin. Fan Zhuo menyuap dan memandikan abangnya, seolah-olah menjaga anak kecil yang tidak tahu apa-apa.

Ada ketikanya ketika Fan Jin sedar, dia dapat mengenali Fan Zhuo. Tetapi setelah bercakap beberapa patah, dia terus kembali pada keadaannya yang tidak memberikan reaksi dan seperti tidak bernyawa itu.

Setiap kali situasi ini berlaku, hati Fan Zho ibarat ditusuk pedang dengan perlahan-lahan.

Fan Zhuo diam sahaja menghadapi segalanya, menyembunyikan keperitan di dalam hatinya.

Dia memikirkan hal yang sama setiap hari, bilakah Fan Jin akan mendapatkan kesedarannya kembali. Tapi pada masa yang sama, Fan Zhuo juga bimbang abangnya akan kembali sedar.

[Bila Fan Jin pulih nanti, dapatkah dia menghadapi segalanya yang telah berlaku?]

Fan Zhuo tidak pasti.

Ketika itu tahun pembelajaran sudah hampir tamat dan pelajar kampus cawangan yang dinaikkan status ke kampus utama sudah pun masuk ke akademi. Tidaklah ramai, hanya dalam berpuluh-puluh orang pelajar sahaja. Mereka tidak sedar apa yang telah berlaku di kampus utama dan datang ke akademi dengan perasaan bingung. Semuanya tertanya-tanya kenapa Guru Besar akademi itu kini ialah seorang pemuda yang sebaya dengan mereka.

Tiada siapa yang memberitahu mereka tentang pengalaman pahit yang dilalui oleh Akademi Zephyr. Memori-memori itu ibarat mimpi ngeri yang tidak mahu diingat.

Tidak lama selepas kemasukan para pelajar baru itu, pelajar-pelajar Akademi Zephyr bersiap-sedia untuk pulang ke rumah. Mereka akan kembali ke akademi dalam masa sebulan lagi.

Selepas kebanyakan pelajar Akademi Zephyr sudah pulang, guru-guru akademi itu juga memberikan alasan masing-masing untuk memohon cuti. Akademi Zephyr yang luas itu menjadi lengang dan sunyi. Keriuhan dan kekecohan yang biasa didengari terus lenyap.

Hua Yao tidak perlu lagi menyamar sebagai Fan Jin dan boleh muncul sebagai dirinya sendiri. Dia duduk bersama-sama Qiao Chu dan yang lain di halaman hutan buluh kecil itu. Mereka memerhatikan Fan Zhuo memapah Fan Jin keluar untuk mendapatkan sedikit cahaya matahari.

"Tahun depan saya rasa agak ramai yang tak akan kembali ke sini lagi." Fan Jin yang sedang perlahan-lahan pulih, mengangkat kepalanya untuk memandang daun-daun luruh yang berterbangan di udara. Dia tersenyum pahit.

Fan Jin telah kembali sedar tiga hari yang lalu. Dia terpaksa melalui mimpi ngeri setelah mengetahui segala yang telah berlaku. Daripada perasaan terkejut menjadi kemarahan membara dan kini penerimaan yang tenang, mereka semua sedar yang pemuda periang ini sudah berubah sepenuhnya. Dia kini kurang naif dan semakin matang.