webnovel

Doktor Genius yang Tiada Tandingan (5)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Jun Wu Xie menghulurkan tangan dan jari-jarinya diletakkan pada pergelangan tangan Qu Ling Yue.

"Kamu buat apa tu?" Sejak dia melangkah masuk melalui pintu bilik itu, Jiang Ying Long memerhatikan setiap gerak-geri Jun Wu Xie. Ketika menyedari Jun Wu Xie semakin merapati Qu Ling Yue, dia sudah berasa curiga. Kemudian apabila terlihat Jun Wu Xie tiba-tiba menghulurkan tangan untuk menyentuh Qu Ling Yue, Jiang Yi Long terus berteriak dengan kuat.

Jeritan itu membuatkan semua orang berpaling. Apa yang mereka lihat ialah seorang gadis muda yang jelita tiada bandingan, sedang meletakkan tangannya di pergelangan Qu Ling Yue. Dia seolah-olah sedang memeriksa nadi Qu Ling Yue.

"Cik Muda ini siapa?" tanya salah seorang Tabib Diraja itu sambil memandang Lei Chen penuh tanda tanya.

Lei Chen membalas, "Cik muda ini ialah Cik Muda daripada Istana Lin di Kerajaan Qi. Kebetulan dia datang melancong ke Negara Yan. Beta dengar dia ada kemahiran perubatan yang agak hebat. Beta kemudian terfikir tentang keadaan Qu Ling Yue dan menjemput dia ke mari untuk memeriksanya." Ketika Lei Chen meluahkan kata-kata itu, tangannya yang tersembunyi di sebalik lengan bajunya telah digenggam menjadi penumbuk.

"Jemput dia datang memeriksa? Benarkah kata-kata Tuanku?" Para tabib itu berasa bingung. Mereka memandang Lei Chen, kemudian berpaling memandang Jun Wu Xie. Semuanya merasakan situasi ini agak lucu.

Mereka tidak peduli dengan identiti Jun Wu Xie. Fikirlah. Seorang gadis muda, tak sampai usia lima belas tahun pun, berani berlagak di hadapan tabib-tabib terkenal seperti mereka. Kelakar betul!

Pada ketika itu, wajah tabib-tabib di situ kelihatan marah.

"Kalau Tuanku rasa kami tak layak, berterus-terang saja. Perlukah bawa budak muda begini untuk mempermainkan kami? Kami semua dah lama mengkaji dan berbincang tentang keadaan Cik Qu, tapi masih lagi tak dapat menentukan kaedah rawatan yang sesuai. Tuanku pula tiba-tiba bawa budak muda yang tak berpengalaman ni. Bukankah ini ibarat Tuanku menampar muka semua tabib terhormat di sini?" kata Tabib Diraja yang paling tua. Dia seperti tidak berpuas hati.

Lei Chen berpaling memandang lelaki tersebut sambil ketawa dingin di dalam hati. Lelaki itu adalah Tabib Diraja peribadi Maharaja. Lei Chen tidak menyangka ayahandanya akan menghantar lelaki itu ke situ.

Kedudukan serta status lelaki itu agak unik dan berbeza dengan Tabib Diraja yang lain. Di hadapan Lei Chen pun dia tidak begitu menunjukkan hormat.

"Kenapa pula Tabib Diraja Li kata begitu? Beta hanya cuba menjalankan peranan sahaja," kata Lei Chen.

Tabib Diraja meneruskan dengan nada mengejek, "Tuanku nak kata yang kami semua ni dah tua dan penglihatan kami pun dah merosot? Berapa umur budak muda ni? Berapa banyak pengalamannya dalam bidang perubatan? Macam mana Tuanku boleh fikir yang budak muda ni boleh bantu rawat kecederaan Cik Qu? Kalau betul, bukankah Tuanku maksudkan semua Tabib Diraja dan doktor terhormat di sini hanyalah si bodoh tak berguna yang sia-sia sahaja memegang jawatan? Sehinggakan kami tak setanding pun dengan budak muda yang tak sampai usia lima belas tahun pun?"

Kata-kata Tabib Diraja Li terus mendapat anggukan setuju daripada tabib-tabib lain.

Wajah Lei Chen semakin berang. Dia yakin Tabib Diraja Li pasti telah menerima arahan terus daripada Maharaja, Sebab itulah lelaki itu berani menggunakan nada biadab dengan Lei Chen.

"Cik Qu adalah Cik Muda Bandar Seribu Binatang. Kalau apa-apa berlaku padanya di Negara Yan, tak ada siapa yang mampu menjawab pada Ketua Besar Bandar Seribu Binatang. Sewaktu orang-orang dari Bandar Seribu Binatang tiba di sini nanti, kita nak beritahu mereka yang Putera Mahkota Negara Yan dah hantar budak muda yang tak tahu apa-apa ni untuk merawat Cik Muda mereka? Tuanku, kalau hal ini tersebar, tidakkah ia kedengaran seperti jenaka?" Tabib Diraja Li amat agresif meluahkan kata-katanya dengan nada memerintah. Dia langsung tidak percaya bahawa Jun Wu Xie ada ilmu perubatan. Apa sajalah yang budak muda seperti itu tahu?

Kemarahan Lei Chen meluap-luap mendengarkan nada Tabib Diraja Li yang agresif dan mencabarnya. Tiba-tiba Jun Wu Xie yang berada di sisinya membuka mulut dan berkata, "Selepas sekian lama memeriksa keadaan Cik Qu, saya tertanya-tanya apa kesimpulan yang kamu semua dah capai?"

Soalan Jun Wu Xie terus menyebabkan mereka semua kembali memberikan perhatian padanya.