webnovel

Doktor Genius yang Tiada Tandingan (4)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Pemuda itu belum pernah melihat seorang gadis muda yang begitu memukau sebelum ini. Sekali pandang sahaja sudah mampu menyingkirkan segala kekecohan di sekelilingnya. Seluruh derianya hanya tertumpu pada susuk tubuh Jun Wu Xie yang berada di hadapan matanya.

"Zi Xu, kamu tenung apa tu?" Lei Chen menyedari pandangan mata Meng Zi Xu yang tepat merenung Jun Wu Xie. Dia terpaksa bersuara sebagai peringatan.

Meng Zi Xu kembali tersedar dan menggelabah. Ketika matanya bertembung dengan mata Jun Wu Xie yang dingin dan jernih, wajah Zi Xu terus menjadi kemerah-merahan.

"Patik… patik… patik… cuma tengok-tengok saja, Tuanku" Meng Zi Xu menundukkan kepala dan memarahi diri sendiri kerana hilang kawalan tadi. Junior Qu masih terlantar di dalam bilik dan dia pula masih berkeinginan untuk memandang para gadis. Malah dia tadi hampir melopong dengan dungunya sewaktu memandang gadis itu. Dia memang patut ditampar!

"Mmm." Lei Chen tidak ada mood untuk terus berada di situ dan berbual-bual dengan Meng Zi Xu pada ketika itu. Dia terus membawa Jun Wu Xie ke hadapan pintu bilik Qu Ling Yue.

Para doktor dan tabib yang berkumpul di hadapan pintu itu terkejut dengan kemunculan Lei Chen. Mereka tergesa-gesa membongkok hormat. Jiang Ying Long yang sedang menyoal tabib-tabib lain tentang keadaan Qu Ling Yue, menyedari kehadiran Lei Chen.

"Patik tak sedar Tuanku Putera Mahkota dah tiba, maka Patik terlewat mengalu-alukan Tuanku. Mohon ampun, Tuanku," sapa Jiang Ying Long dengan hormat. Dia adalah salah seorang yang bertanggungjawab menguruskan Akademi Panji Perang di kejohanan ini.

"Guru Jiang terlalu bersopan. Beta datang ke sini untuk lihat keadaan Qu Ling Yue," kata Lei Chen sambil tersenyum. Dia tidak begitu rapat dengan Jiang Ying Long. Lelaki itu telah menyertai Akademi Panji Perang selepas Lei Chen meninggalkan akademi tersebut.

"Patik berbesar hati di atas sikap prihatin Tuanku," kata Jiang Ying Long sambil tersenyum sopan. Matanya terpandang sekilas pada susuk tubuh Jun Wu Xie. Satu sinar kebencian terpancar seketika sebelum cepat-cepat disembunyikan. "Para tabib ini baru saja mahu memeriksa kecederaan Qu Ling Yue. Kalau Tuanku tak keberatan, kita boleh masuk bersama-sama."

Lei Chen mengangguk.

Pintu masuk ke bilik Qu Ling Yue dibuka. Dalam kalangan para perawat ini, sebahagiannya merupakan Tabib-tabib Diraja. Mereka dihormati atas kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang perubatan. Sebab itulah mereka mengambil tempat paling hadapan sewaktu mereka semua berjalan masuk.

Jun Wu Xie menuju ke dalam bilik itu. Sebaik melangkah masuk, dia terus dapat menghidu bau hanyir darah yang kuat.

Di sebalik bau darah itu, dia juga dapat mengesan bau herba. Tetapi bau ini tidak begitu ketara.

Qu Ling Yue hanya terlantar di katil tanpa bergerak. Wajahnya pucat lesi. Malah bibirnya yang sebelum ini kemerah-merahan juga kelihatan pucat. Baru satu malam berlalu tetapi badannya sudah kelihatan susut dan lemah.

Mereka telah meletakkan satu besen tembaga di sisi katil Qu Ling Yue. Beberapa helai sapu tangan berlumuran darah terendam di dalamnya. Air di dalam besen itu sudah menjadi merah akibat darah dan tompokan darah kering juga dapat dilihat pada lantai kayu bilik itu.

Tabib-tabib itu bergilir-gilir memeriksa nadi Qu Ling Yue. Selepas memeriksa nadinya, wajah mereka semuanya kelihatan bingung. Setiap seorang menggelengkan kepala sambil mengeluh.

"Macam mana dengan Qu Ling Yue? Keadaannya dah bertambah baik?" Lei Chen bertanya pada para tabib yang kelihatan menggelabah itu.

"Patik ingin laporkan pada Tuanku bahawa kecederaan yang Cik Qi alami agak serius. Kami semua sudah mengkaji dan berbincang sepanjang malam tetapi masih tidak menemui rawatan yang sesuai untuknya. Apa yang kami boleh lakukan sekarang ialah cuba menstabilkan keadaannya bagi mengelakkan daya hidupnya menjadi lebih teruk. Tapi… kalau keadaan berterusan seperti ini, keadaan fizikal Cik Qu mungkin tidak dapat bertahan," kata salah seorang Tabib Diraja itu dengan kecewa dan tidak berdaya.

Kening Lei Chen semakin berkerut.

Ketika Lei Chen sedang bercakap dengan Tabib Diraja itu, Jun Wu Xie sudah ke sisi katil Qu Ling Yue. Dia meneliti wajah Qu Ling Yue yang kelihatan pucat. Ketika itulah dia menemui satu tanda lebam yang amat kecil di belakang telinga Qu Ling Yue. Kesan lebam itu tersembunyi di sebalik helaian rambutnya dan tidak begitu ketara. Jika tidak dilihat dengan teliti, tidak ada siapa yang akan menyedarinya.