webnovel

Doktor Genius yang Tiada Tandingan (10)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Macam mana keadaan Qu Ling Yue sekarang?" tanya Jiang Ying Long dengan gelisah.

Bibir Tabib Diraja Li kelihatan pucat. Dia langsung tidak mahu menjawab.

Namun begitu, seorang tabib yang berdiri di satu sisi, berkata dengan wajah yang bingung, "Kecederaan Cik Qu… berdasarkan nadinya, nampaknya dia dah pulih sepenuhnya. Dia cuma masih tidak sedar kerana telah banyak kehilangan darah…"

"Apa?" Mata Jiang Ying Long terbeliak. Dia tidak percaya dengan apa yang dia dengar.

"Qu Ling Yue cuma banyak kehilangan darah? Tapi… bukankah kamu semua kata dia cedera parah?"

Wajah tabib itu kelihatan keliru. "Memang… itulah hakikatnya. Sewaktu kami ke sini dan mengambil bacaan nadi Cik Qu tadi, nadinya begitu tidak sekata dan kacau-bilau. Tetapi sewaktu kami ambil nadinya buat kali kedua, kami dapati kecederaan dalamannya sudah sembuh. Kami sudah ada berpuluh tahun pengalaman sebagai tabib. Inilah kali pertama saya melihat situasi yang pelik pada nadi seorang pesakit."

Orang yang sedang di ambang maut tiba-tiba menjadi normal dalam sekelip mata. Kalau diberitahu pada orang lain di luar pun, pasti sukar dipercayai.

Jiang Ying Long terdiam seketika sebelum teringatkan tindakan Jun Wu Xie. Dia bergegas ke hadapan Jun Wu Xie dan cepat-cepat bertanya, "Cik Jun. Itu kesan Eliksir Penggumpal Jantung kamu?"

Jun Wu Xie mengangguk dengan tenang.

"Eliksir Penggumpal Jantung itu cuma eliksir biasa. Macam mana eliksir itu boleh menyembuhkan kecederaan parah seperti yang Cik Qu alami?" Kumpulan tabib yang sedang keliru itu terus menyuarakan keraguan mereka.

"Tapi memang pelik. Macam mana sebaik sahaja Cik Qu diberikan Eliksir Penggumpal Jantung, kecederaannya mula menunjukkan tanda-tanda pulih?"

Mereka berdebat dengan riuh tentang keadaan luar biasa ini. Setelah lama berdebat pun mereka tidak dapat membuat kesimpulan. Lagipun, situasi ini tidak pernah mereka dengar pun sebelum ini, apatah lagi untuk mengalami sendiri.

Tabib Diraja Li senyap-senyap memerhatikan Jun Wu Xie. Kemudian dia berpaling memandang Lei Chen yang perlahan-lahan tersenyum. Dia mengetap gigi dengan jengkel lalu tiba-tiba berkata, "Kita tak tahu lagi sama ada keadaan ini disebabkan oleh Eliksir Penggumpal Jantung. Lagipun, ramai di sini yang sudah berusaha sekian lama serta memberikan Cik Qu pelbagai jenis eliksir dan campuran herba. Mungkin ubat-ubat sebelum ini baru saja menunjukkan kesan. Kita tak boleh kata keadaan Cik Qu bertambah baik disebabkan tindakan Cik Jun."

Senyuman yang baru muncul di wajah Lei Chen terus tertahan disebabkan kata-kata Tabib Diraja Li.

Namun begitu, Jun Wu Xie langsung tidak terkesan. Dia juga tidak mahu mempedulikan Tabib Diraja Li. Dia berpaling memandang Jiang Ying Long lalu berkata, "Cik Qu masih perlukan rawatan. Saya rasa tugasan ini mudah saja dengan adanya ramai tabib di sini. Saya minta diri dulu."

Setelah berkata begitu, Jun Wu Xie terus berpusing dan berlalu pergi.

Jiang Ying Long sebenarnya mahu Jun Wu Xie berada di situ lebih lama sedikit supaya dia dapat bertanya lebih lanjut tentang situasi tersebut. Namun Jun Wu Xie berlalu dengan begitu pantas sehinggakan dia tidak sempat mahu membuka mulut dan bertanya.

Lei Chen mengikut Jun Wu Xie dan keluar dari situ. Sewaktu mereka berdua melangkah keluar dari pintu utama rumah tumpangan tersebut dan masuk ke dalam kereta kuda Kediaman Putera Mahkota, Lei Chen akhirnya melepaskan perasaan yang ditahannya selama ini. "Cik Jun, Beta memang buta dan memandang rendah pada kamu. Beta benar-benar tak sangka kemahiran Cik Jun dalam bidang perubatan ini memang sangat hebat. Kalau Beta ada bersikap kurang hormat pada Cik Jun sebelum ini, Beta merayu agar Cik Jun tidak mengambil hati."

"Sebenarnya, sikap acuh tak acuh Cik Jun tadi telah memalukan tabib-tabib di situ. Sewaktu Beta mahu beredar, Beta perasan riak wajah Jiang Ying Long menunjukkan dia mahu Cik Jun berada di situ lebih lama lagi. Puas hati betul dapat lihat wajah Tabib Diraja Li yang pucat dan berang tu."

"Belum tiba masanya lagi untuk berasa terlalu gembira," kata Jun Wu Xie sambil memandang ke luar tingkap.

"Apa maksud kamu?" Lei Chen agak terkejut.

Tetapi Jun Wu Xie tidak ada mood untuk bercakap lebih lanjut.