webnovel

Doktor Genius yang Tiada Tandingan (9)

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Baiklah." Jun Wu Xie terus bersetuju.

Tabib Diraja Li tiba-tiba bersuara dengan nada benci, "Guru Jiang ini memang orang yang penyabar. Kamu benarkan budak kecil tak berpengalaman ini untuk tetap meneruskan tindakannya."

Jiang Ying Long hanya mampu tersenyum lemah pada Tabib Diraja Li.

Selepas mendapat kebenaran Jiang Ying Long, Jun Wu Xie tidak berlengah lagi. Dia terus menuangkan sebiji eliksir ke tangannya. Sebelah lagi tangannya nampak seolah-olah sedang memegang leher Qu Ling Yue untuk menyuapkan eliksir tersebut ke mulutnya. Tanpa disedari sesiapa, Jun Wu Xie telah menyembunyikan sebilah jarum perak di celah-celah jarinya dan menucucukkan jarum tersebut ke belakang leher Qu Ling Yue. Setelah menyuapkan eliksir, Jun Wu Xie menarik kembali jarum peraknya. Kepantasannya terlalu tinggi sehinggakan tiada siapa dapat menyedarinya.

Selepas memberikan eliksir itu kepada Qu Ling Yue, Jun Wu Xie beredar ke tepi. Dia tidak mahu berkata apa-apa lagi. Sementara itu, kumpulan tabib yang diketuai oleh Tabib Diraja Li sedang menuding jari ke arahnya dan berbisik sesama sendiri. Nampaknya mereka cuba meneka niat Jun Wu Xie.

Jiang Ying Long berjalan dengan gelisah ke sisi katil Qu Ling Yue dan memerhatikan wajah gadis itu dengan teliti.

Lei Chen juga memandang ke arah katil itu dengan resah.

Tabib Diraja Li menjeling sekilas dan menyedari bahawa Qu Ling Yue tidak ada menunjukkan sebarang perubahan. Gadis itu masih terlantar dengan nafas yang tersekat-sekat. Hujung mulut Tabib Diraja mula terangkat dan senyuman sinis yang dingin semakin ketara di bibirnya.

"Kelakar betul bila ada orang yang menganggap Eliksir Penggumpal Jantung itu sebagai barang berharga…"

Namun sebelum Tabib Diraja Li dapat menghabiskan ayatnya, Jiang Ying Long tiba-tiba menarik nafas dengan kuat kerana terperanjat!

Qu Ling Yue yang terbaring di atas katil itu tiba-tiba berkerut dan tangan kecilnya di sisi katil itu bergerak sedikit.

Jiang Ying Long merenung dengan tidak percaya. Matanya terbeliak. Sejak Qu Ling Yue berada dalam koma, dia langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Inilah kali pertama Jiang Ying Long melihat gadis itu menunjukkan tanda-tanda akan sedar!

"Ling Yue bergerak! Ling Yue bergerak!" Jiang Ying Long merenung kumpulan tabib di bilik itu dengan gembira.

Kumpulan tabib itu menggelabah setelah mendengar jeritan Jiang Ying Long tetapi mereka cepat-cepat tersedar dan pergi memeriksanya.

Wajah Qu Ling Yue yang sedang terbaring itu mula kelihatan lebih sihat. Keadaan kulitnya yang pucat lesi itu terus lenyap. Walaupun dia masih terbaring di katilnya, nafasnya semakin kuat dan stabil. Wajahnya kembali kemerah-merahan, langsung tidak nampak lesu dan cengkung!

Lei Chen menyedari perubahan yang berlaku pada Qu Ling Yue. Dia senyap-senyap menjeling ke arah Jun Wu Xie. Lei Chen menyedari pandangan mata Jun Wu XIe menyuruh dia bertenang.

"Macam mana ini boleh berlaku!?" Tabib Diraja Li merenung tidak percaya pada Qu Ling Yue yang perlahan-lahan kelihatan semakin sihat. Dia bergegas ke sisi Qu Ling Yue untuk memeriksa nadinya. Nadi yang dirasakan pada pergelangan tangan Qu Ling Yue membuatkan Tabib Diraja Li menjadi pucat.

Nadi Qu Ling Yue yang selama ini tidak sekata dan kacau-bilau, sudah kembali normal. Menurut bacaan nadinya juga, Qu Ling Yue sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan parahnya. Tabib Diraja Li tidak lagi dapat mengesan kecederaan tersebut. Satu-satunya simptom yang masih ada ialah kehilangan darah yang banyak. Selain daripada itu, Qu Ling Yue tidak apa-apa.

Tidak kiralah bagaimana sekalipun nadi tersebut ditafsirkan, tetap tidak sama dengan nadi seseorang yang berada di ambang maut!

Tabib Diraja Li berundur dengan kecewa. Dia merenung kosong pada tangannya yang memeriksa nadi tadi. Seolah-olah tangannya itu tersilap membuat diagnosis.

Jiang Ying Long masih menanti Tabib Diraja Li bersuara. Apabila melihatkan Tabib Diraja Li masih merenung kosong sambil berdiri di sisi, Jiang Ying Long meminta tabib-tabib lain untuk memeriksa nadi Qu Ling Yue. Seorang demi seorang memeriksa nadinya dan reaksi mereka selepas itu sama dengan Tabib Diraja Li. Masing-masing terdiam sambil merenung kosong.