webnovel

Tak Guna Betul Li Sicheng!

編集者: EndlessFantasy Translation

"Tapi saya rasa ia agak tak bagus. Saya dah lama tinggal di sini. Sebaik saja kamu kembali, kita terus berpindah. Bukankah ia terlalu jelas yang…" Bukankah ia terlalu jelas mereka mahu berasmara! Walaupun ia fakta, Su Qianci masih berasa segan. Ia terlalu jelas…

Li Sicheng ketawa kecil. "Macam harini, dah tengah hari dan kita masih di dalam bilik. Kamu rasa ini bagus?"

Wajah Su Qianci bertambah kemerahan dan dia berpaling dari Li Sicheng.

"Jadi begitulah keputusannya," kata Li Sicheng lalu bangun dan menarik Su Qianci. "Bangun, saya mandikan kamu."

"Tak perlu, saya akan mandi sendiri!" Su Qianci menolak suaminya dengan wajah merah padam.

Li Sicheng tidak menghiraukan bantahan itu dan membawa isterinya ke dalam bilik air. Jam sudah menunjukkan pukul 2 petang apabila mereka selesai mandi. Sebaik keluar dari bilik air, mereka mendengar telefon berdering. Ia panggilan daripada Li Jinnan.

Li Sicheng menjeling sekilas telefon itu dan tidak mengendahkannya. Selepas selesai mencarikan pakaian untuk isterinya, barulah panggilan itu dijawab.

Li Jinnan sedang terlompat-lompat dan nada suaranya kedengaran tidak gembira. Dia merungut, "Abang Ngah, ini dah melampau. Kamu biarkan saya buat semua kerja. Saya pun nak ada kehidupan peribadi!"

Li Sicheng meletakkan panggilan itu dalam mod pembesar suara dan mula mencari pakaiannya. Dia menjawab rungutan Li Jinnan dengan suara malas, "Kamu bukan ada apa-apa nak buat pun. Kenapa tak boleh bantu saya uruskan syarikat? Bukannya saya tak bayar. Macam mana kalau saya tawarkan 10 peratus lagi saham?"

"Tak mahu!" Li Jinnan kedengaran marah. "Saya tak mahu wang! Saya nak ada perniagaan sendiri!"

"Okey, tolong saya buat kerja sekejap saja, nanti saya bantu kamu bila saya senang hati."

"Saya cakap, saya nak ada perniagaan sendiri." Nada Li Jinnan bertukar serius. "Abang, saya mahu buka syarikat filem dan drama di Kingstown. Saya dah mulakan persiapan seperti mengupah beberapa ejen dan bintang. Saya perlu serahkan urusan syarikat kepada kamu, kemudian saya akan tinggalkan syarikat ini."

"Kenapa tiba-tiba?" Li Sicheng sedikit terkejut.

Li Jinnan berasa dirinya hampir gila. Dia cuba menenangkan dirinya lalu berkata, "Tak tiba-tiba. Waktu kamu belum kembali, saya dah beritahu kepada Su Qianci. Apabila kamu kembali, saya terus beritahu tentang ini. Malah saya ada beritahu sekali lagi beberapa hari lalu." Walau bagaimanapun, jelas Li Sicheng tidak menumpukan perhatian kepada kata-katanya.

Li Sicheng mula teringat kembali. "Oh, okey. Saya nak bawa kakak ipar kamu makan dulu. Nanti kita berbual lagi."

Belum sempat Li Jinnan menjawab, Li Sicheng sudah pun memutuskan talian. Li Jinnan memegang telefonnya dengan kaku buat seketika dan hampir menghempaskan telefon itu ke lantai.

Tak guna betul Li Sicheng!

Apabila loceng pintunya berbunyi, Li Jinnan kembali menenangkan dirinya dan berkata, "Sila masuk."

Setiausaha Bai berjalan masuk bersama seseorang dan berkata kepada Li Jinnan, "Tuan Naib Presiden, Mila dah sampai."

Mila ialah salah seorang ejen termahal yang diupah oleh Li Jinnan. Khabar angin mengatakan semua pelakon yang diuruskannya akan menjadi popular dan dia terkenal sebagai salah seorang 'ejen emas' dalam industri hiburan. Walau bagaimanapun, Mila mempunyai perwatakan yang agak pelik dan tidak ramai yang sanggup bekerja dengannya. Disebabkan itulah Li Jinnan berjaya mendapatkannya.

"Masuk." Li Jinnan berdiri lalu membetulkan bajunya dan memandang ke arah pintu.

Setiausaha Bai berjalan masuk bersama seorang lelaki yang berpakaian ranggi. Rambut yang bergaya, solekan yang sangat cantik, jaket warna kulit panjang tanpa lengan bersama baju merah jambu, seluar hitam berkilat, sepasang kasut but kulit yang dramatik serta wangian yang amat kuat yang menusuk ke hidung Li Jinnan.